Diterbitkan pada 22 Mei 2025, 15:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gombak – Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat Daerah Petaling Utama berjaya merangkul gelaran johan keseluruhan Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Peringkat Negeri Selangor 2025 setelah memenangi tiga acara utama sepanjang program tersebut.

Pasukan ini muncul johan dalam acara ikatan dan simpulan kategori campuran, cabaran brain and brawn kategori lelaki dan cabaran asas pertolongan cemas kategori perempuan. 

Selain itu, pasukan ini turut meraih tempat ketiga bagi acara kawad kaki kategori campuran, tempat keempat bagi cabaran brain and brawn kategori perempuan serta tempat keempat bagi cabaran asas pertolongan cemas kategori lelaki.

Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat Daerah Petaling Utama berjaya merangkul gelaran johan keseluruhan Perkhemahan Kadet Bomba dan Penyelamat Peringkat Negeri Selangor 2025.

Kadet Bomba Arissa Ahmad Azhar dari Petaling Utama turut menerima pengiktirafan sebagai kadet perempuan terbaik pada perkhemahan kali ini.

Menurut Ketua Zon 2 Petaling Jaya, YBrs. Tuan Wan Syariman Wan Saleh, kejayaan ini merupakan hasil kerjasama erat antara guru-guru penasihat, jurulatih kadet serta semangat juang tinggi dalam kalangan anggota kadet sendiri.

“Latihan berterusan tanpa mengenal erti putus asa akhirnya membuahkan hasil. Jurulatih dan guru kadet turut memainkan peranan penting dalam memberi tunjuk ajar serta bimbingan sehingga pasukan kadet dari Petaling Utama berjaya dinobatkan sebagai johan keseluruhan,” katanya.

Pengarah JBPM Selangor, YBrs. Tuan Wan Md Razali Wan Ismail sedang memeriksa baris semasa acara kawad kaki kategori lelaki dijalankan.

Perkhemahan yang berlangsung di Taman Rimba Bukit Lagong, Gombak dari 19 hingga 21 Mei 2025 ini disertai seramai 250 kadet bomba dari seluruh Selangor. Perkhemahan ini dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Sebanyak lapan acara dipertandingkan, iaitu kawad kaki campuran, ikatan dan simpulan (kategori campuran), kawad operasi kering berhalangan (kategori lelaki dan perempuan), cabaran asas pertolongan cemas (kategori lelaki dan perempuan), serta cabaran brain and brawn (kategori lelaki dan perempuan).

Pengarah JBPM Selangor merakamkan gambar kenangan bersama-sama dengan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Perkhemahan Kadet Bomba Selangor.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah JBPM Selangor, YBrs. Tuan Wan Md Razali Wan Ismail dan Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid JPN Selangor, YBrs. Puan Nor Fadzilah Rosdi.

Turut hadir adalah pegawai kanan JBPM Selangor serta wakil-wakil dari JPN Selangor.

Kredit Foto: Unit Perhubungan Awam JBPM Selangor
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi