Diterbitkan pada 24 Mei 2025, 23:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Langkawi – Timbalan Menteri Pertahanan, Tuan Haji Adly Zahari meluangkan masa menyantuni veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sekitar Langkawi sempena Program Peduli Veteran MADANI (PVM) bersempena dengan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa 2025 (LIMA’25) yang berlangsung bermula 20 hingga 24 Mei 2025.

PVM merupakan program inisiatif Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang dianjurkan bersama-sama dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dalam usaha mendekati dan mengenal pasti keperluan para veteran ATM serta mendapatkan maklum balas terhadap inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan oleh MINDEF.

Program tersebut juga bertujuan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi veteran ATM melalui inisiatif Program Outreach Veteran ATM dalam usaha memperkasakan kebajikan veteran ATM dan keluarga.

Tuan Haji Adly Zahari berkesempatan menyantuni tujuh veteran ATM di Langkawi daripada pelbagai latar belakang termasuklah veteran hilang upaya, sakit kronik, balu dan usahawan.

Tuan Haji Adly Zahari (kiri) menyantuni salah seorang veteran ATM dalam sesi lawatannya.

Dalam program tersebut, beliau turut menganugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) serta menyampaikan kad veteran ATM, bantuan peralatan kesihatan dan kemudahan kepada usahawan veteran ATM yang dilawati.

Pengarah JHEV ATM cawangan Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Mejar Mohd Izmer Ghazali menyifatkan program ini sebagai sebuah program kemasyarakatan yang digarap melalui persefahaman dengan kerjasama awam dan swasta yang menyaksikan pelibatan antara MINDEF dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Langkawi.

Ujar beliau,

Terima kasih kepada semua pihak kerana memberikan kerjasama dalam program yang diadakan dan diharapkan usaha ini dapat diteruskan.

PVM mendukung usaha dalam memperkukuh kerjasama awam dan tentera melalui Civil Military Corporation (CIMIC), iaitu mempertingkatkan daya ketahanan dalam negara melalui Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) dengan menggunakan pendekatan Keseluruhan Kerajaan dan Keseluruhan Masyarakat (WoGoS).

Turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM; Encik Sophian Isswandy  Ismail.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi