Diterbitkan pada 25 Mei 2025, 16:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Baling – Selaras dengan dasar kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu supaya setanding dengan bahasa utama dunia, penghasilan karya ilmiah yang berkualiti dapat dilakukan melalui inisiatif yang sesuai.

Demikian ulasan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Encik Sharrul Rizal Hashim dalam Program Bimbingan Penulisan Buku Ilmiah: Daripada Tesis kepada Buku 2025 yang berlangsung di Perpustakaan Syeikh Abdul Majid, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) Kuala Ketil, Baling.

Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara dengan kerjasama Bahagian Buku Umum DBP dan Perpustakaan Syeikh Abdul Majid, UniSHAMS melibatkan penyertaan sebanyak 30 orang pensyarah dari pelbagai fakulti.

Selain mampu mengasah bakat penulisan dalam kalangan pensyarah di universiti, program ini dilaksanakan bertujuan untuk membolehkan peserta lebih memahami proses penghasilan buku daripada tesis.

Ujar Encik Sharrul Rizal Hashim,

Peserta yang ingin menghasilkan karya berkualiti perlulah memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh DBP.

Menurutnya lagi, tesis ilmiah yang telah disiapkan pada peringkat sarjana atau kedoktoran merupakan khazanah ilmu yang amat berharga dan boleh diubah suai untuk diterbitkan dalam bentuk buku.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Encik Sharrul Rizal Hashim menyampaikan cenderamata kepada Ketua Pustakawan UniSHAMS, Dr. Lee Ii Li sempena program tersebut.

Sementara itu, Ketua Editor Bahagian Buku Umum DBP, YM Tengku Fauziah Ku Mat dalam sesi ceramahnya berkata, banyak perkara terkini dan menarik boleh dihasilkan oleh pensyarah universiti termasuklah tentang ekonomi dan teknologi Islam.

Editor Kanan Bahagian Buku Umum DBP, Puan Siti Maizatul Rozihani Ikhsan pula menjelaskan bahawa tesis yang hendak dihasilkan dalam bentuk buku perlulah diolah dengan baik bagi membolehkan masyarakat pembaca memahaminya.

Urus setia program, Encik Anas Morad pula menyatakan bahawa ceramah dan perkongsian yang disampaikan seharusnya dijadikan sebagai panduan, selain memberikan semangat baharu kepada pensyarah dalam menghasilkan tesis kepada buku yang berkualiti sebagai bahan bacaan di negara ini.

Turut hadir dalam program tersebut termasuklah Ketua Unit Penerbit UniSHAMS Perpustakaan Syeikh Abdul Majid, YBrs. Dr. Lee Ii Li; Ketua Pustakawan UniSHAMS, Encik Muhammad Lukman Harun dan Pegawai Perancang Bahasa DBP Wilayah Utara, Encik Zainal Abidin Mohd Zin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi