Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar – Sebanyak 200 peserta yang terdiri daripada pensyarah, kakitangan dan pelajar dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengikuti Program “Bicara Tokoh: Tun Abdullah Ahmad Badawi Legasi Kepemimpinan dan Wawasan” yang telah berlangsung di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen UUM, Sintok, kelmarin.
Program ini merupakan anjuran bersama Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamed (IPDM), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Akademik Profesor Malaysia dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Tujuan program ini diadakan adalah bagi memperingati sumbangan besar Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam pembangunan negara, khususnya dalam memperkenalkan konsep Islam Hadhari sejurus selepas mengambil alih tampuk pentadbiran negara selepas penyerahan kuasa oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau merupakan antara individu yang memperkukuh institusi antirasuah dan mempromosikan kepimpinan berteraskan integriti ke arah kesederhanaan.
Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, 85 tahun, telah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 14 April 2025 lalu kira-kira pukul 7.10 malam akibat masalah pernafasan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Yang Berusaha (YBrs.) Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani bertindak sebagai moderator program pada hari tersebut.
Program tersebut disertai tiga orang ahli panel termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Johor, Yang Berhormat (YB) Dato’ Haji Jefridin Hj. Atan; mantan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato’ Haji Othman Desa dan Pensyarah Kanan UUM, YBrs. Dr. Teoh Ai Hua yang sebelum ini pernah bertugas sebagai Setiausaha Akhbar kepada Tun Abdullah.
Menurut Dato’ Haji Jefridin, Tun Abdullah tidak gemar mendengar cerita yang berkaitan dengan orang lain, bahkan beliau lebih suka merancang perkara yang baik setelah memperkenalkan Islam Hadhari kepada masyarakat di negara ini.
Mantan Setiausaha Politik Tun Abdullah, Datuk Haji Othman Desa turut berkata, sesiapa sahaja mampu menjadi seorang tokoh yang baik apabila pandai menyesuaikan diri di mana-mana sahaja.
Katanya,
Pak Lah mempunyai banyak sahabat, termasuklah di UUM. Allahyarham tidak pernah bercakap perkara yang bukan-bukan. Sifat kesederhanaan yang ada itu membuatkan beliau menjadi seorang insan yang hebat semasa bertugas sebagai Menteri Luar.
Manakala, Pensyarah Kanan di UUM, YBrs. Dr. Teoh Ai Hua pula berkata, Tun Abdullah banyak terlibat dalam kerja-kerja sosial dan semasa bertugas sebagai Setiausaha Akhbar, beliau mempunyai banyak rakan dari pelbagai media.
Menurut YBrs. Dr. Teoh Ai Hua,
Pak Lah juga tidak gemar mencari masalah dan dia tidak berminat untuk memberikan komen apabila timbulnya isu tertentu yang meragukan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah IPDM, YBrs. Prof. Madya Dr. Azlina Kamaruddin berkata, maklumat yang disampaikan oleh ahli panel boleh dijadikan panduan kepada mahasiswa memandangkan Pak Lah sendiri pernah bekerja sebagai seorang penjawat awam, kemudian berkecimpung dalam lapangan politik sehingga berjaya menjadi seorang Perdana Menteri.