Diterbitkan pada 1 Jun 2025, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Edisi pertama Kejohanan Sukan antara Media Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2025 yang telah berlangsung di Sports Arena Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) semalam berjaya mencapai matlamat penganjuran.

Anjuran julung kali bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-69 DBP itu bertujuan mengeratkan silaturahim antara DBP dengan pengamal media selain dilihat mampu mewujudkan budaya hidup sihat dalam kalangan peserta.

Begitupun, penganjurannya masih mampu menyajikan persaingan sengit dan kompetitif membabitkan pelbagai agensi media termasuk DBP selaku tuan rumah bagi merebut kejuaraan dalam empat jenis sukan yang dipertandingkan.

Ketua Pengarah DBP, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Hazami bin Jahari merakamkan penghargaan kepada rakan media yang selama ini banyak membantu pihak DBP khususnya dalam aspek pengembangan bahasa kebangsaan.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari merakamkan penghargaan kepada rakan media yang selama ini banyak membantu pihak DBP.

“Tahun lalu kami meraikan hari jadi kami di Pulau Mutiara, Pulau Pinang. Tahun ini kami akan bergerak ke negeri di bawah bayu di Kota Kinabalu pada 28 Jun 2025 bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-69 DBP.

“Sebagai tanda persahabatan dan permuafakatan, kita anjurkan satu sukan untuk eratkan hubungan serta silaturahim antara sesama kita. Hal ini merupakan satu cara untuk kita mengukuhkan hubungan antara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Prapelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-69 DBP yang bakal diadakan di negeri Sabah pada bulan ini.

Dari kiri, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP, Puan Norhasmanalinda binti Mustapa, Pengarah Jabatan Dasar dan Perancangan Strategik, Puan Fauzilahyatun binti Mustafa, Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami bin Jahari dan Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani binti Omar dalam acara gimik Prapelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-69 DBP.

Sementara itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) membuktikan kehebatan dengan menewaskan Astro Arena 3-1 dalam perlawanan akhir untuk menjuarai acara futsal, manakala tempat ketiga dikongsi bersama antara Astro Awani dengan DBP.

FINAS terus mengungguli acara regu sepak takraw, diikuti Karangkraf sebagai naib juara sementara DBP dan Astro Awani sekali lagi berkongsi kedudukan di tempat ketiga.

Sungguhpun demikian, DBP juga tidak kurang hebatnya apabila muncul juara acara bola tampar menerusi DBP B, naib juara menjadi milik RTM A dan tempat ketiga dikongsi bersama antara DBP A dengan RTM B.

Dua pasukan RTM muncul juara serta naib juara bagi sukan bola jaring diikuti Media Prima dan DBP di tempat ketiga.

Setiap pemenang tempat pertama membawa pulang piala dan wang tunai berjumlah RM1,500.00, diikuti RM1,000.00 untuk naib juara dan RM700.00 bagi tempat ketiga.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi