Diterbitkan pada 2 Jun 2025, 19:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kedah − Sebagai sebuah inisiatif kemasyarakatan yang memberikan impak positif kepada komuniti, program kayuhan amal yang dianjurkan oleh Titimerah Sdn. Bhd. dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu, “Alor Mengkudu Charity Ride 2025 telah berjaya dilaksanakan dengan penyertaan lebih 80 peserta di sekitar kawasan Alor Mengkudu, semalam.

Program ini selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Kedah dalam memperkukuh semangat perpaduan, menggalakkan pelibatan sukarelawan serta mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.

ADUN Alor Mengkudu, YB Radhi Mat Din dalam acara kayuhan amal “Alor Mengkudu Charity Ride 2025″.

Sesi kayuhan amal ini turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu, YB Radhi Mat Din serta Ahli Parlimen Pokok Sena, Ustaz Ahmad Yahya sebagai tanda sokongan terhadap usaha kebajikan melalui pendekatan bersama-sama rakyat yang mesra dan inklusif.

YB Radhi Mat Din menyantuni warga yang diuji kesihatan.

Melalui kayuhan ini, para peserta bukan sahaja berpeluang menyantuni masyarakat setempat, malah turut menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada sebanyak 30 penerima, termasuklah pesakit terlantar dan keluarga kurang berkemampuan di sekitar Alor Mengkudu.

Aktiviti ini mencerminkan semangat “beramal sambil bersukan” yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Titimerah Sdn. Bhd., Encik Muhd Amirun Azhar, program ini lahir daripada keinginan untuk menggerakkan nilai kemanusiaan secara praktikal pada peringkat komuniti.

Menurut beliau,

Setiap langkah, setiap kayuhan dan setiap senyuman yang terukir pada hari ini adalah satu sumbangan besar kepada perpaduan dan kasih sayang sesama insan.

“Alor Mengkudu Charity Ride bukan sekadar sebuah acara sukan; tetapi sebagai platform untuk kita berbakti dan menyemai nilai keprihatinan dalam suasana yang santai dan harmoni. Ahli Titimerah Sdn. Bhd. berasa amat berbesar hati dapat bersama-sama menjayakan program yang menyentuh hati dan memberikan impak kepada masyarakat,” tambah beliau.

Program ini secara langsung mendukung aspirasi Kerajaan Negeri Kedah seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 (Kedah2035). Hal ini dapat menekankan aspek kesejahteraan rakyat, kelestarian sosial dan pelibatan aktif masyarakat dalam agenda pembangunan negeri.

Titimerah Sdn. Bhd. menzahirkan komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporat melalui penyampaian sumbangan kepada penerima yang memerlukan.

“Alor Mengkudu Charity Ride” memberikan penekanan kepada tiga teras utama pelan tersebut, iaitu pemerkasaan komuniti dan semangat kesukarelawan, peningkatan taraf kesihatan melalui gaya hidup aktif serta pembentukan masyarakat penyayang dan inklusif.

Melalui pendekatan kolaboratif antara sektor swasta, pemimpin setempat dengan rakyat, program ini membuktikan bahawa dasar dan hasrat kerajaan negeri dapat diterjemahkan secara efektif pada peringkat akar umbi serta mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat yang menjadi jambatan kasih sayang dalam menghubungkan pemimpin dan komuniti dalam suasana harmoni dengan penuh nilai insaniah.

Kredit Foto: Eliy Nazira Mat Nazir
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi