Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Satu sidang media telah diadakan selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Wakil Rakyat untuk Rakyat (WRUR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu berlangsung penuh meriah di Kompleks Japerun, Lendu bagi menandakan kejayaan penutup siri jelajah WRUR di empat DUN terpilih kawasan Alor Gajah baru-baru ini.
Kejayaan Program WRUR di empat Kawasan DUN, iaitu Kuala Linggi, Pengkalan Batu, Sungai Udang dan Lendu menjadi bukti jelas bahawa komitmen Kerajaan Negeri Melaka dalam mendekati rakyat serta menyelesaikan permasalahan pada peringkat akar umbi.
Ketua Menteri Melaka, Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja memperlihatkan kesungguhan pentadbiran negeri dalam memahami denyut nadi rakyat, malah berjaya membina semula keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang prihatin dan bertindak pantas.

“WRUR bukan sekadar program biasa kerana merupakan platform kukuh yang merapatkan jurang antara rakyat dengan kerajaan. Wakil rakyat memainkan peranan sebagai jambatan suara rakyat dengan menyampaikan, menyalurkan dan memastikan tindakan segera diambil terhadap setiap isu yang dibangkitkan,” ujar beliau.

Menurut YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf, pelaksanaan WRUR terbukti berkesan apabila pelbagai isu rakyat berjaya diselesaikan secara langsung, termasuk masalah infrastruktur, kebajikan setempat, peluang ekonomi serta peningkatan mutu perkhidmatan awam yang semuanya dilaksanakan dengan pendekatan mesra rakyat.
Beliau turut berkongsi,
Bukan hanya ingin menjadi pendengar. Kita hadir, dengar dan selesaikan. Inilah pendekatan WRUR yang menjadi lambang keprihatinan Kerajaan Negeri Melaka. Keberkesanan program ini bukan sekadar angka, tetapi hasil yang dapat dirasai oleh rakyat sendiri.
Tambah beliau lagi, WRUR adalah sebahagian daripada usaha transformasi pentadbiran negeri yang menekankan pendekatan menyeluruh, cekap dan berteraskan keperluan komuniti. Rakyat tidak lagi berasa jauh daripada pemimpin, sebaliknya melihat kerajaan sebagai rakan dalam usaha mencari penyelesaian.

Dengan kejayaan program ini, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memperluas pendekatan WRUR ke kawasan lain secara berperingkat demi memastikan tiada rakyat Melaka yang terpinggir daripada perhatian dan bantuan sewajarnya.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran mantan Ketua Menteri Melaka yang juga ADUN Lendu, YB Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, YB Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Azhar Arshad serta barisan Exco termasuk YB Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.