Diterbitkan pada 3 Jun 2025, 19:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Gajah – Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan sejumlah RM54,000 melalui Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) bagi menghargai kecemerlangan sebanyak 122 orang pelajar dari Parlimen Masjid Tanah dan Tangga Batu yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 68 orang pelajar memperoleh keputusan semua A, manakala sebanyak 100 orang  pelajar mendapat gred A+ dalam subjek Sejarah.

Dalam majlis tersebut, Ketua Menteri Melaka, Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sumbangan itu disampaikan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap kejayaan pelajar yang amat membanggakan.

“Sesungguhnya, majlis ini merupakan  manifestasi keprihatinan dan penghargaan Kerajaan Negeri Melaka kepada para pelajar yang telah berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai keputusan yang cemerlang dan membanggakan,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM 2024 dan Program Town Hall sempena inisiatif Wakil Rakyat untuk Rakyat (WRUR) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Masjid Tanah, baru-baru ini.

Dalam intipati ucapannya, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menegaskan bahawa pendidikan kekal menjadi agenda utama kerajaan negeri dalam usaha mentransformasikan Melaka sebagai hab pendidikan unggul pada peringkat nasional dan antarabangsa.

“Kerajaan Negeri tidak akan pernah memandang ringan tentang peranan pelajar serta golongan muda yang merupakan nadi masa hadapan di negeri ini. Penghargaan yang diberikan pada hari ini diharapkan dapat menjadi motivasi untuk para pelajar terus mencipta kejayaan yang lebih besar,” tambah beliau.

Ketua Menteri, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyampaikan ucapan perasmian Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM 2024 Kerajaan Negeri Melaka dan Program Town Hall bersempena dengan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Lendu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Masjid Tanah, di sini, baru-baru ini.

Pada masa yang sama, beliau turut menekankan bahawa Program WRUR bukan sekadar satu inisiatif rutin, tetapi sebagai lambang komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyantuni setiap lapisan rakyat termasuk golongan pelajar, mahasiswa dan belia.

“Setiap usaha ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam melahirkan pelapis pemimpin pada masa hadapan yang berkualiti, berilmu dan berwawasan demi kelangsungan pembangunan negeri Melaka yang lebih gemilang,” katanya.

Antara pelajar cemerlang yang menghadiri Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM 2024 Kerajaan Negeri Melaka dan Program Town Hall bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Lendu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Masjid Tanah, di sini, baru-baru ini.

 

Ketua Menteri,  YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang daripada pelajar cemerlang di Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM 2024 Kerajaan Negeri Melaka dan Program Town Hall bersempena Program Wakil Rakyat untuk Rakyat (WRUR) DUN Lendu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Masjid Tanah.

Turut hadir dalam majlis apresiasi ini ialah mantan Ketua Menteri Melaka yang juga ADUN Lendu, YB Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, YB Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka,YB Datuk Rosli Abdullah; Timbalan Exco Perumahan dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Datuk Zulkiflee Mohd Zin, Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Wira Salhah Saleh; Pengurus Besar TAPEM, YBhg. Encik Abdul Aziz Baba serta Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, YBrs. Encik Mahfudzah Mohamed Noor.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi