Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis terus komited dalam melahirkan mahasiswa yang seimbang dan holistik menerusi penganjuran Colour Explorun 2025, sebuah program berbentuk sukan yang digerakkan sepenuhnya oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Pemasaran), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan.
Program yang berlangsung pada 14 Jun 2025 dari jam 7:30 pagi hingga 12:00 tengah hari di sekitar kampus UiTM Arau itu berjaya menghimpunkan sebanyak 120 orang pelajar dari pelbagai fakulti dan latar belakang, seiring dengan matlamat kerajaan untuk memperkasakan belia sebagai tunjang masa depan negara.
Colour Explorun 2025 bukan sekadar acara larian, malah turut menjadi platform komprehensif untuk memupuk semangat kesukanan, disiplin dan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar.
Program ini juga memberikan ruang kepada pengembangan sahsiah, kemahiran kepimpinan dan kerjasama rentas disiplin, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kesejahteraan, keterangkuman dan keharmonian sosial.

Yang menariknya, acara ini turut mengetengahkan elemen inovatif seperti explorasi kampus, sekaligus menjadikannya bukan sekadar pertandingan, tetapi pengalaman interaktif dan menyeronokkan.
Para peserta turut diberikan peluang untuk membangunkan kemahiran pengurusan acara dan keusahawanan sosial melalui aktiviti pendanaan yang dijalankan sendiri oleh pelajar bagi membiayai program ini. Sebahagian dana juga diperoleh daripada sumbangan individu dan tajaan pihak luar.
Menurut Pengarah Program, Saudara Ahmad Aiman, penganjuran Colour Explorun 2025 merupakan bukti nyata kebolehan pelajar dalam menjayakan program berskala besar melalui semangat kerjasama dan perancangan yang tersusun.
“Kami amat berbangga dengan sambutan yang diterima dan kerjasama luar biasa daripada semua pihak. Program ini bukan sahaja mencabar dari segi fizikal, tetapi juga menjadi medan untuk kami menimba pengalaman sebenar dalam pengurusan acara, kepimpinan, serta jaringan bersama-sama komuniti kampus dan luar. Harapan kami, Explorun akan terus menjadi acara tahunan yang membina nilai tambah kepada para pelajar.”
Turut berkongsi pandangan ialah pensyarah pengiring, YBrs. Dr. Noraini Ismail yang menyifatkan program ini sebagai pencetus kepada pembelajaran holistik berasaskan pengalaman.
“Program seperti Colour Explorun 2025 amat bertepatan dengan pendekatan pembelajaran abad ke-21 yang menekankan pelibatan aktif pelajar, kerja berpasukan, serta penyelesaian masalah secara kreatif. Saya lihat pelajar bukan sahaja belajar tentang perancangan dan pelaksanaan acara, tetapi juga kaedah untuk mengurus masa, komunikasi, serta menjalin hubungan dengan pelbagai pihak. Ini merupakan elemen penting dalam membina graduan berkualiti tinggi,” ujarnya.
Penganjuran Colour Explorun 2025 ini juga selari dengan Visi UiTM, iaitu untuk menjadi universiti unggul yang menerajui kecemerlangan Bumiputera dalam semua bidang bertaraf global serta untuk meningkatkan taraf sosioekonomi Bumiputera melalui pendidikan berkualiti berlandaskan ilmu, amal dan integriti.

Melalui program seperti ini, pelajar diberikan peluang mengembangkan potensi diri secara seimbang antara kecemerlangan akademik dengan kemahiran insaniah yang merupakan ciri-ciri penting graduan global yang kompetitif dan beretika.
Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah kepada pemenang dalam lima kategori utama? iaitu tempat pertama, kedua, ketiga, pakaian terbersih dan video terbaik. Sebanyak 20 hadiah cabutan bertuah turut disampaikan kepada peserta bertuah.
Secara keseluruhannya, Colour Explorun 2025 mencerminkan komitmen UiTM dalam menyediakan ruang pembelajaran yang menyeluruh, berimpak tinggi dan berorientasikan masa depan, seterusnya menyokong agenda pembangunan belia negara serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.