Diterbitkan pada 18 Jun 2025, 10:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) menyalurkan biasiswa berjumlah RM18 juta kepada 726 pelajar Universiti AIMST di Kedah pada tahun ini.

Biasiswa berjumlah RM16 juta diberikan kepada 168 pelajar perubatan, 78 pelajar pergigian, 81 pelajar farmasi, 33 pelajar fisioterapi, 20 pelajar bioperubatan dan 152 pelajar yang mengikuti program ijazah lain. Sementara itu, 194 pelajar Asasi menerima biasiswa berjumlah RM2 juta.

Pengerusi MIED merangkap Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, inisiatif murni tersebut adalah sebahagian daripada usaha MIED untuk memastikan pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh pelajar dalam kalangan semua kaum, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.

Menurutnya, dalam usaha murni untuk mencipta kehidupan yang lebih baik dalam kalangan generasi muda, MIED mendapat sokongan padu daripada kerajaan dan sejak mengambil alih kepimpinan MIC, lebih RM60 juta telah disalurkan setakat ini.

Katanya, “Saya bangga dengan pencapaian MIED. Saya igin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas kesudian meneruskan pemberian geran tahunan sebanyak RM25 juta untuk memajukan lagi Universiti AIMST dan menyokong MIED.”

Sejak MIED ditubuhkan pada tahun 1984 oleh mendiang Tun S Samy Vellu, lebih 14,000 pelajar telah menerima manfaat lebih RM216 juta dalam bentuk bantuan pendidikan.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Cek MIED 2025 yang berlangsung di Kampus AIMST Semeling, Merbok baru-baru ini.

Menurut Vigneswaran, menerusi Universiti AIMST, impian anak-anak untuk menjadi doktor, doktor gigi atau ahli farmasi akan tercapai apabila pelajar serius dalam pengajian masing-masing.

Tambahnya lagi, “Saya ingin menyatakan bahawa AIMST akan terus mempromosikan kebolehcapaian pendidikan tinggi kepada semua, terutamanya dalam kalangan pelajar kurang berkemampuan tanpa mengira bangsa, warna kulit atau kepercayaan.”

Naib Canselor AIMST, Dr. Kathiresan V. Sathasivam pula berkata, biasiswa seumpama ini akan memberikan semangat baharu kepada semua pelajar untuk mengejar kejayaan yang terbaik semasa menuntut di AIMST.

Sementara itu, penerima biasiswa, Ain’nur Huda Fatihah Abdul Rahmat, 21, dari Kuala Lumpur berkata, beliau mengikuti pengajian farmasi di universiti itu.

Katanya, “Sebagai pelajar dalam bidang ini, saya dan rakan-rakan sangat gembira kerana menerima biasiswa sebanyak RM53,900.”

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi