Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBukit Keteri – Dalam usaha memperkasakan pelajar wanita sebagai ejen perubahan pada masa hadapan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah menganjurkan program Girl Empowered 2025: Program Pemberdayaan Pelajar Wanita yang melibatkan sebanyak 80 pelajar wanita Tingkatan 4 di bawah subjek MGT538 Pembangunan Peribadi dan Etika dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Jaafar Hassan.
Program sehari ini menampilkan pelbagai aktiviti interaktif yang memfokuskan kepada pembangunan jati diri, keyakinan, kesedaran sosial dan kemahiran insaniah, iaitu selaras dengan Misi UiTM untuk memperkasa komuniti melalui pendidikan berimpak tinggi, serta menyokong Aspirasi Kerajaan Malaysia di bawah Dasar Wanita Negara dan Dasar Pembangunan Belia Negara.
Pengetua SMK Dato’ Jaafar Hassan, Yang Berusaha (YBrs.) Puan Euw Mooi Guik, berkata penganjuran program ini sangat bertepatan dengan keperluan semasa pelajar, khususnya dalam memperkukuh keupayaan remaja perempuan menghadapi cabaran era digital dan sosial.
“Saya amat berbangga kerana pihak sekolah diberikan peluang menjadi tuan rumah kepada program yang bermakna ini. Program ini bukan sahaja dapat membina keyakinan dan jati diri dalam kalangan pelajar perempuan, malah turut menjadi platform untuk mereka menyuarakan pandangan, membina jaringan sokongan dan menyedari potensi diri mereka yang sebenar,” kata beliau.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini termasuklah sesi Zumba, Jejak Kenalan (ice-breaking), Bengkel Keyakinan Diri dan Bahasa Badan, permainan Catch the Compliment, Aktiviti Vision Board, Lukisan Bertali, serta ceramah motivasi bertajuk Remaja Hebat, Dunia Berkat.
Selain itu, aktiviti pengumpulan dana turut dijalankan oleh para pelajar UiTM bagi menampung perbelanjaan program, termasuk aktiviti jualan dan tayangan amal yang diadakan beberapa kali dalam tempoh dua bulan sebelum program.
Dana yang terkumpul digunakan sepenuhnya bagi menampung kos bahan aktiviti, cenderahati dan jamuan ringan. Inisiatif ini menggalakkan semangat keusahawanan, pengurusan projek dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.
Menurut wakil pelajar SMK Dato’ Jaafar Hassan, adik Sukcitra A/P Som Phon, program ini sangat bermakna dan meninggalkan kesan mendalam kepada semua peserta.
“Saya rasa lebih yakin dengan diri saya sendiri selepas menyertai bengkel dan aktiviti yang dijalankan. Saya juga seronok dapat berkenalan lebih dekat dan mesra dengan rakan-rakan dari kelas lain serta fasilitator dalam kalangan pelajar UiTM dan belajar cara untuk menghargai diri sendiri. Saya harap program macam ini akan terus diadakan untuk bantu pelajar perempuan jadi lebih berani dan berdikari,” ujarnya.

Sementara itu, pengawai pengiring, YBrs. Puan Nur Khairani Kamarudin ketika ditemui berkata, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen universiti untuk memindahkan ilmu dan nilai kepada masyarakat secara inklusif dengan memberikan tumpuan khas kepada golongan remaja perempuan yang merupakan tulang belakang masa hadapan negara.
“Program ini membina lebih daripada sekadar pengetahuan kerana menyentuh hati, membuka fikiran dan menyemai harapan. Kami percaya inilah asas kepada transformasi yang sebenar,” ujar beliau lagi.
Tambah beliau, program ini diharapkan dapat menjadi perintis kepada lebih banyak kolaborasi pendidikan komuniti pada masa hadapan, serta menyokong matlamat negara untuk membangunkan generasi wanita muda yang berani, berkualiti dan seimbang dari segi emosi, intelek dan sahsiah.