Diterbitkan pada 22 Jun 2025, 18:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Majlis Konvokesyen Ke-16 Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) menyaksikan sebanyak 829 orang graduan daripada pelbagai bidang diraikan dalam satu majlis penuh bermakna yang berlangsung di Dewan Besar Universiti AIMST semalam.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 550 orang menerima ijazah sarjana muda yang merangkumi 167 orang daripada Fakulti Perubatan, 76 orang daripada Fakulti Pergigian, 76 orang daripada Fakulti Farmasi, 50 orang daripada Fakulti Sains Gunaan, 20 orang daripada Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Komputer serta 161 orang daripada Fakulti Perniagaan dan Pengurusan.

Selain itu, majlis tersebut turut meraikan 247 orang graduan daripada Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, termasuk penerima Sijil Pasca Asas dalam Kejururawatan Penjagaan Kritikal dan Sijil Pasca Asas Kejururawatan Buah Pinggang, di samping penganugerahan kepada 10 orang graduan bagi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan 22 orang bagi ljazah Sarjana.

Naib Canselor Universiti AIMST, YBrs. Dr. Kathiresan V. Sathasivam dalam ucapannya berkata, konvensyen pada kali ini turut mengiktiraf pencapaian para graduan antarabangsa dari India, Pakistan, Sudan dan Nigeria, sekali gus menyerlahkan impak global universiti serta komitmennya terhadap kecemerlangan dalam pelbagai disiplin pengajian.

“Dalam usaha mencapai sasaran sebagai 500 universiti terbaik di dunia dan 200 universiti terbaik di Asia, Universiti AIMST akan terus melahirkan graduan masa hadapan dengan kemahiran merentas disiplin dan berwawasan global,” ujarnya.

Tambah beliau, para graduan diseru agar terus bergerak dengan penuh keberanian, memimpin dengan integriti, berkhidmat dengan rendah hati serta berusaha dengan empati apabila melangkah ke dunia luar kelak.

Penerima Pingat Emas Universiti, Tan You Pheng

Bersempena dengan konvokesyen itu, pelajar Program Bioteknologi dari Fakulti Sains Gunaan, Tan You Pheng, 24, dari Georgetown diumumkan sebagai penerima Pingat Emas Universiti atas kecemerlangan akademik dan pelibatan aktif beliau dalam pelbagai kegiatan sepanjang tempoh pengajian.

Sementara itu, Majlis Konvokesyen Ke-16 Universiti AIMST juga mengiktiraf kecemerlangan para pelajar menerusi penyampaian empat anugerah utama, iaitu Anugerah Canselor, Anugerah Pencapaian Profesional, Anugerah Khidmat Komuniti dan Anugerah Masa Hadapan.

Majlis penyampaian anugerah dan sijil kepada semua graduan telah disempurnakan oleh Canselor Universiti AIMST, YBhg. Tan Sri Dr. SA Vigneswaran yang juga merupakan Pengerusi Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED).

Majlis turut diserikan dengan kehadiran ibu bapa para graduan untuk menyaksikan sendiri detik penuh bermakna kejayaan anak-anak mereka yang berjaya menamatkan pengajian di menara gading tersebut.

Kredit Foto: Abd Razak Osman
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi