Diterbitkan pada 25 Jun 2025, 19:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Penjawat awam daripada kumpulan sokongan serta pengurusan dan profesional merupakan nadi penting dalam pentadbiran negara. Tanpa mereka, perkhidmatan kerajaan tidak dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan. Namun begitu, setelah lama mencurah bakti, dengan ada yang berkhidmat selama 25 hingga 30 tahun, malah ada yang mencecah 40 tahun, ramai kini berada di persimpangan dengan persoalan, haruskah mereka bersara awal atau terus menyumbang khidmat sehingga umur persaraan wajib?

Semakin ramai yang mula mempersoalkan hala tuju kerjaya mereka apabila usia semakin meningkat dan beban tugas bertambah berat. Dilema sama ada untuk bersara awal atau meneruskan kerja bukanlah sesuatu yang mudah kerana melibatkan pelbagai pertimbangan, termasuklah soal kesihatan, kewangan dan kesejahteraan mental.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beban kerja penjawat awam dilihat semakin meningkat. Tuntutan tugasan yang kompleks, keperluan untuk sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan dasar dan tekanan prestasi yang berterusan menyebabkan ramai yang mula mengalami keletihan fizikal dan mental. Tambahan pula, sesetengah perkhidmatan memerlukan kehadiran dan tumpuan penuh sepanjang masa, tanpa mengira soal kekangan peribadi atau keluarga.

Persoalan ini bukan sekadar melibatkan soal kerja hakiki semata-mata, malah berkaitan rapat dengan soal kelangsungan hidup, kesihatan fizikal dan mental, serta tanggungjawab terhadap keluarga. Dalam dunia pekerjaan pada hari ini, beban tugas semakin mencabar dengan arahan yang berubah-ubah mengikut peredaran semasa, sistem yang kerap ditambah baik serta tekanan prestasi yang berterusan. Ramai dalam kalangan penjawat awam mengalami keletihan yang berpanjangan, namun memilih untuk terus bertahan demi keperluan ekonomi dan tanggungjawab sosial.

Namun begitu, bagi kebanyakan penjawat awam, keputusan untuk bersara lebih awal bukanlah satu pilihan mudah. Keperluan ekonomi dan komitmen keluarga sering menjadi faktor penghalang. Dengan kos sara hidup yang terus meningkat dan tanggungan seperti pendidikan anak-anak atau penjagaan ibu bapa yang lanjut usia, ramai yang merasakan bahawa mereka perlu terus bekerja demi kelangsungan hidup. Malah, ada yang sanggup memendam tekanan demi memastikan kestabilan kewangan keluarga tidak tergugat.

Bersara lebih awal mungkin dilihat sebagai satu kelegaan. Walau bagaimanapun, bagi kebanyakan penjawat awam, hal ini tidak semudah yang disangka. Tanpa pencen penuh, kehidupan selepas persaraan boleh menjadi beban yang menyesakkan jiwa kecuali mereka yang ingin bersara awal mempunyai perancangan yang tersendiri misalnya telah menyediakan beberapa perancangan penting dalam kehidupan mereka agar tidak berhadapan dengan krisis kewangan apabila bersara secara pilihan. Tambahan pula, dalam budaya masyarakat kita, penjawat awam sering menjadi tonggak kewangan kepada keluarga, yakni perlu menyara anak-anak, ibu bapa, malah kadangkala turut melibatkan ahli keluarga yang lain. Oleh itu, keputusan untuk bersara bukan sekadar melibatkan isu peribadi, tetapi menyentuh kepentingan banyak pihak.

Dari perspektif Islam, Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286 menyatakan:

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya…”

Ayat ini jelas memberikan isyarat bahawa apabila sesuatu bebanan kerja mula melebihi kemampuan, adalah wajar untuk menilai semula keupayaan diri. Islam menggalakkan kerja yang dilakukan dengan niat yang baik dan penuh amanah, namun tidak sehingga mengorbankan kesihatan tubuh dan akal. Rasulullah SAW sendiri bersabda: “Sesungguhnya tubuhmu mempunyai hak atasmu.” (Riwayat Bukhari).

Budayawan dan pemikir tempatan seperti Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas turut menekankan peri pentingnya kehidupan yang beradab dan seimbang, iaitu bukan hanya bekerja semata-mata, tetapi perlu memastikan hidup yang teratur dan tenang agar akal dapat berkembang dan jiwa dapat beristirahat.

Walau bagaimanapun, aspek kesihatan mental dan emosi tidak boleh dipandang ringan. Ramai yang terus bekerja dalam keadaan tertekan sehingga menjejaskan kualiti hidup dan hubungan sosial. Keseimbangan antara kerja dengan kehidupan peribadi sering terabai. Dalam jangka masa panjang, keadaan ini boleh membawa kepada keletihan melampau (burnout), masalah kesihatan kronik, serta kemurungan.

Justeru, keputusan sama ada untuk bersara awal atau meneruskan kerjaya seharusnya dibuat secara rasional dan berimbang. Penjawat awam wajar menilai keadaan kesihatan diri, tahap motivasi kerja, sokongan sosial yang ada, serta keadaan kewangan semasa. Bantuan daripada kaunselor, pakar kewangan dan keluarga terdekat boleh membantu dalam proses membuat keputusan ini dengan lebih objektif.

Selain itu, pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan proaktif dengan menyediakan pilihan yang lebih fleksibel kepada penjawat awam yang berada di ambang persaraan. Skim kerja separuh masa, peluang kerja fleksibel atau program persediaan persaraan yang komprehensif boleh membantu mereka membuat peralihan dengan lebih tenang, sekali gus dapat memberikan ruang kepada penjawat awam untuk terus menyumbang mengikut kemampuan tanpa mengorbankan kesejahteraan diri.

Keputusan untuk bersara awal atau meneruskan kerja perlu dibuat secara bijaksana. Pertimbangan kewangan, kesihatan, minat bekerja dan keperluan keluarga harus diambil kira. Bagi yang masih bertenaga dan ingin menyumbang bakti, khidmat secara kontrak, separuh masa atau dalam bentuk latihan dan bimbingan kepada generasi baharu masih boleh dipertimbangkan.

Pada hakikatnya, sama ada bersara awal atau meneruskan kerja, pilihan itu mestilah berpaksikan pada nilai murni, berpandukan iman, rasional dan realiti kehidupan semasa. Dalam usaha mengejar kelangsungan hidup, jangan abaikan ketenangan jiwa dan kesihatan diri. Semoga setiap langkah yang diambil diberkati oleh Allah SWT dan memberikan manfaat berterusan kepada masyarakat dan negara. Perjuangan mungkin perlu diteruskan, tetapi tidak harus mengorbankan aspek kesihatan dan kebahagiaan yang hakiki, sama ada dari segi fizikal atau mental.

Penulis, Penolong Pendaftar Kanan di Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi