Diterbitkan pada 1 Julai 2025, 18:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gunung Rinjani yang terletak di Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia merupakan gunung berapi kedua tertinggi di negara itu dengan ketinggian 3,726 meter dari paras laut. Gunung Rinjani termasuk dalam bahagian Taman Nasional Gunung Rinjani yang memiliki keluasan sekitar 41,330 hektar. Gunung Rinjani merupakan antara gunung yang popular dalam kalangan pendaki dan merupakan gunung berapi yang masih aktif. Gunung Rinjani pada kali terakhir meletus pada tahun 2016. Di puncaknya ada danau yang indah, iaitu Danau Segara Anak yang berada di kawah gunung dan juga gunung kecil di tengah danau itu dengan nama Gunung Baru Jari.

Gunung ini menjadi tarikan pendaki kerana pemandangan ketika pendakian serta di puncaknya yang indah dan menawan. Puncaknya yang megah dan memukau pandangan juga dapat dilihat dari gunung berdekatan seperti di Gunung Sempana. Dengan pemandangan yang cantik dengan memiliki keindahan yang luar biasa menjadikan gunung tersebut menawan mata dari sudut mana pun Gunung Rinjani itu dilihat. Tarikan inilah yang menjadikan gunung ini begitu popular dalam kalangan para pendaki gunung tegar dari serata dunia untuk menawan puncaknya. Rinjani dianggap sebagai gunung yang memiliki trek pendakian ekstrem dan terbaik di Asia Tenggara dan pernah dikatakan sebagai “syurga yang tersembunyi di Lombok”.

Rinjani yang baru saja meragut nyawa pendaki Malaysia di laluan Banyu Urip pada Mei lalu, kini “memakan” korban lagi. Dunia dikejutkan pula dengan insiden yang menyayat hati apabila terbunuhnya seorang pendaki Brazil, Juliana Marins (26 tahun), setelah kira-kira empat hari terperangkap selepas terjatuh di jurang dalam serta merbahaya di gunung itu. Juliana dilaporkan terjatuh ke dalam gaung Gunung Rinjani pada sabtu, 21 Jun.

Juliana mula mendaki Gunung Rinjani pada 21 Jun 2025 sewaktu dinihari sekitar pukul 6:00 pagi bersama-sama lima rakannya yang dipimpin oleh seorang pemandu tempatan, Ali Musthofa. Mereka memilih laluan Sembalun untuk mendaki ke puncak Gunung Rinjani melalui jalur “Letter E”. Ketika pendakian di sekitar kawasan berdekatan Cemara Nunggal, Juliana dikatakan memberitahu pemandunya ingin beristirahat seketika kerana kepenatan.

Namun begitu, selepas tiga minit mendahului di hadapan Juliana, Ali mendapati pendaki Brazil itu tidak juga muncul setelah 15 minit dan hampir setengah jam menunggu. Ali kembali semula ke tempat Juliana berhenti sebelumnya, namun yang tinggal hanyalah beg galasnya kerana pendaki Brazil itu sudah pun tergelincir ke dalam gaung sejauh 200 meter. Keberadaan Juliana dicam melalui cahaya lampu suluh yang ada bersamanya. Ali membantah apabila dikatakan meninggalkan Juliana bersendirian kerana Juliana sendiri yang meminta untuk berhenti rehat seketika.

Imej awal yang dirakamkan menerusi dron sebelum mangsa terjatuh ke jurang yang lebih dalam.

Kelewatan kumpulan penyelamat yang mengambil masa sehingga empat hari untuk membawa naik jasad Juliana yang tidak lagi bernyawa menjadi perdebatan hangat warga maya dalam media sosial. Ada warganet yang mencemuh kumpulan penyelamat Indonesia yang dikatakan lambat menghulurkan bantuan dalam operasi menyelamat. Malah ada yang membandingkan kelewatan bantuan terhadap kematian tragis Juliana dengan peristiwa kematian mengejut pemain badminton dari China dalam satu perlawanan pada Jun 2024 di negara itu juga gara-gara lewatnya bantuan diberikan.

Kumpulan pendaki Malaysia merupakan kumpulan pertama yang dapat membuat rakaman video (footage) keadaan Juliana setelah terperosok di jurang bahaya Rinjani. Dia dilihat masih bergerak dan satu pesanan dilekatkan pada dron yang diterbangkan ke tempat Juliana berada dengan tulisan “WAIT”. Ada warga maya yang mencadangkan sepatutnya ditulis “WAIT & DON’T MOVE” agar Juliana tidak melakukan apa-apa pergerakan untuk memastikan dia benar-benar selamat di situ sehinggalah bantuan sampai. Namun sebaliknya yang terjadi, sewaktu para penyelamat tiba di lokasi pertama dia dilihat jatuh, Juliana sudah tidak ada lagi di situ. Dia telah terjatuh sedalam 400 meter lebih jauh ke bawah. Hal ini berlaku kerana dia barangkali bergerak oleh sebab panik dan mahu segera menyelamatkan diri, atau keadaan tanah dan pasir kawah gunung berapi yang halus serta tidak stabil membuatkan dia terjatuh semakin jauh.

Dalam hal ini, mudahnya warga maya menghamburkan kejian dan cercaan kepada kumpulan penyelamat Indonesia yang dikatakan lambat melakukan operasi membawa naik jasad Juliana sehingga menyebabkan kematiannya kerana terlalu lama berada di jurang merbahaya Gunung Rinjani dalam tempoh empat hari. Walhal kebanyakan yang mencemuh itu cuma duduk santai di rumah masing-masing dan sekadar melihat peristiwa tragik itu dengan hanya menyentuh skrin telefon. Hal ini diaktakan demikian kerana, hanya yang biasa mendaki gunung sahaja tahu betapa sukarnya trek laluan Gunung Rinjani melalui jalur “Letter E” yang dikatakan ‘sekali melangkah naik, tiga kali menggelongsor turun’ disebabkan oleh pasir dan debu halus gunung berapi sepanjang laluan pendakian.

Mengakui akan realiti kesukaran itu, Amanda Omeychua seorang pendaki tegar dari Malaysia yang sudah sebanyak 87 kali mendaki puncak Gunung Kinabalu menegaskan agar warganet yang celopar dengan mencela kumpulan penyelamat Indonesia itu agar hanya mendoakan yang baik-baik dan berdiam diri sahaja. Jika tidak tahu keadaan sebenar, atau tidak pernah naik gunung maka berdiam itu lebih baik daripada berkata-kata perkara yang tidak sewajarnya.

Selain Kinabalu, Amanda yang berpengalaman mendaki Rinjani juga tahu mengenai selok-belok dan tahap kesukaran pendakian gunung berapi aktif itu yang tidak sesuai untuk pendaki pemula. Malah persediaan rapi seperti latihan yang cukup diperlukan untuk mendaki gunung yang mempunyai trek laluan yang sangat mencabar dan terlalu merbahaya seperti Rinjani. “Pendaki perlu beringat dengan apa-apa yang kita pijak, kena hati-hati dan di mana-mana gunung pun ada risikonya yang tersendiri,” kata Amanda lagi.

Helikopter juga tidak dapat digunakan semasa operasi menyelamat Juliana kerana jurang yang merbahaya, keadaan cuaca yang tidak menentu serta kabus tebal. Orang yang tidak tahu keadaan sebenar Gunung Rinjani nampaknya tidak habis-habis menyalahkan pihak berkuasa Indonesia kerana semua itu berlaku di negara mereka. Walhal usaha yang dilakukan oleh sukarelawan dan kumpulan penyelamat amat mencabar dengan mempertaruhkan nyawa sendiri untuk membawa naik mayat Juliana.

Kesukaran dan halangan itulah yang menjadikan tempoh empat hari diperlukan oleh kumpulan penyelamat untuk berjaya membawa naik mayat Juliana Marins. Mendiang yang jatuh pada 21 Jun hanya berjaya dibawa keluar dari cerun curam Rinjani pada Rabu, 25 Jun berikutnya dalam keadaan “MD”, iaitu meninggal dunia.

Agam Rinjani, pemuda dari Makassar yang mula menjadi sukarelawan dan penyelamat di Gunung Rinjani sejak tahun 2015 mengakui sudah pun melakukan kerja menyelamat kepada 11 mangsa setakat ini. Beliaulah hero sebenar dalam kisah korban tragis Rinjani pada kali ini. Agam bersama-sama beberapa teman dalam kumpulan penyelamat terpaksa tidur dengan hanya menggantungkan badan hanya pada satu tali statik sahaja semasa berada di tebing jurang semata-mata untuk menemani mayat Juliana kerana operasi menyelamat tidak dapat diteruskan akibat suasana yang gelap pada sebelah malam.

Detik-detik merbahaya dan sangat mendebarkan itu diceritakan sendiri oleh Agam tatkala diwawancara oleh pihak YIM OFFICIAL yang disiarkan melalui saluran YouTube. Jika malam itu hujan, mereka tentu sahaja sudah mati kerana di tebing jurang Rinjani itu ada pasir gelongsor dan batu-batu besar yang mudah jatuh serta para penyelamat mudah diserang hipotermia. Biarpun begitu, nasib mereka baik kerana hujan tidak turun dan tidak ada apa-apa bencana yang menghalang operasi menyelamat apabila mayat Juliana berjaya dikeluarkan dari jurang dalam Rinjani untuk dibawa ke Rumah Sakit Bali Mandara (RSBM) seterusnya dibedah siasat.

Kini, mengikut laporan detik.com, mayatnya baru sahaja selesai dibedah siasat pada Isnin, 30 Jun 2025 dan telah pun diserahkan kepada pihak Yayasan Antar Bangsa untuk dibawa pulang ke negara asalnya Brazil. Jenazah Juliana dijangka tiba di Brazil pada Rabu, 2 Julai 2025.

Gunung Rinjani yang beberapa hari berduka kerana terkorbannya pendaki dari Brazil, Juliana Marins dan setelah operasi menyelamat selesai, laluan dari Pelawangan 4 (Sembalun) kini mula dibuka kembali untuk pendakian bermula pada 28 Jun 2025 lalu. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan menegaskan agar pelawat mengutamakan keselamatan semasa mendaki, mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pendakian dan melakukan pendakian melalui laluan rasmi sahaja.

Semoga kisah tragis kematian pendaki Brazil ini akan mengingatkan para pendaki gunung agar dapat memastikan kesihatan masing-masing berada pada tahap yang memuaskan dan mementingkan keselamatan diri lebih daripada segala-galanya. Memilih untuk menjadi pendaki gunung ibarat memilih untuk berada dalam risiko yang merbahaya, sekali gus mengancam nyawa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi