Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSungai Petani – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah dan Chulalongkorn University Language Institute (CULI) telah memeterai satu Memorandum Perjanjian (MoA) sebagai langkah strategik untuk memperkukuh hubungan akademik serantau.
Chulalongkorn University Language Institute (CULI) merupakan universiti nombor satu di Thailand yang turut tersenarai dalam Top 300 QS World University Rankings.
Rektor UiTM Kedah, Yang Berbahagia (YBhg.) Prof. Dr. Roshima Said berkata, perjanjian itu membuka satu lembaran baharu dalam kerjasama penyelidikan, pembangunan kurikulum serta mobiliti pensyarah dan pelajar antara Malaysia dengan Thailand.
“Pemeteraian perjanjian ini adalah penghormatan besar untuk saya dan delegasi UiTM Kedah kerana berpeluang menyampaikan hasrat untuk terus bekerjasama dengan YBhg. Prof. Dr. Wilert Puriwat selaku Presiden universiti itu,” kata beliau.

Pada masa yang sama, beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan pensyarah kanan dari Akademi Pengajian Bahasa pimpinan YBrs. Dr. Nur Syazwanie Mansor yang telah berjaya membantu UiTM Kedah memeterai MoA bersama-sama dengan universiti Top 300 (PI 082) dan memperoleh Geran Penyelidikan Antarabangsa (PI International Research Grant) (PI 066).
Beliau juga berharap agar pencapaian itu menjadi pemangkin semangat buat seluruh warga UiTM untuk terus mencipta lebih banyak kejayaan cemerlang, sekali gus mengharumkan nama universiti di persada antarabangsa.
UiTM merupakan universiti komprehensif terbesar di Malaysia yang menyediakan pendidikan inovatif dengan infrastruktur dan teknologi terkini merangkumi 34 kampus, 24 fakulti dan sembilan pusat akademik di seluruh negara.
Universiti ini juga menawarkan lebih daripada 500 program akademik peringkat Asasi, Pra Diploma, Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah serta Program Profesional. UiTM sentiasa meluaskan akses pendidikan tinggi dan memainkan peranannya dalam pembinaan negara dengan menyerlahkan potensi untuk pembentukan masa hadapan.
Antara pencapaian terhebat UiTM termasuklah menduduki tangga ke-542 dalam QS World University Rankings 2026, menduduki tangga ke-101 dalam QS Asia University Rankings 2025, serta berada pada tangga ke-607 dalam QS World University Rankings: Sustainability 2025, tangga ke-151 pada peringkat Asia dan tangga ke-11 pada peringkat Malaysia.
Dalam UI GreenMetric World University Rankings 2024 pula, UiTM mencapai kedudukan ke-107 dunia dan berada pada kedudukan keenam antara institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia.
Dengan penghasilan lebih daripada 700,000 orang alumni dalam bidang sains, teknologi, kemanusiaan dan keusahawanan, UiTM juga menawarkan peluang dalam pembentukan pemimpin pada peringkat kebangsaan, industri dan global untuk mencapai aspirasi sebagai sebuah universiti terkemuka di dunia menjelang tahun 2025.