Diterbitkan pada 25 Julai 2025, 16:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pembelajaran di luar bilik kuliah atau lebih dikenali sebagai lawatan lapangan merupakan satu pendekatan pedagogi yang menekankan pengalaman secara langsung melalui interaksi dengan persekitaran sebenar. Kaedah ini semakin mendapat perhatian dalam sistem pendidikan masa ini kerana mampu meningkatkan pemahaman pelajar terhadap konsep abstrak yang dipelajari di dalam kelas. Walau bagaimanapun, pelaksanaan pembelajaran di luar bilik kuliah ini turut berhadapan dengan pelbagai cabaran, terutamanya dalam konteks pendidikan abad ke-21 yang menuntut kebolehan untuk berfikir aras tinggi, penggunaan teknologi secara meluas dan keperluan pembentukan kemahiran insaniah yang mantap.

Pembelajaran di luar bilik kuliah yang menekankan pengalaman secara langsung dengan persekitaran untuk memenuhi keperluan pendidikan abad ke-21.

Cabaran Pembelajaran Abad ke-21 di Luar Bilik Kuliah

Satu daripada cabaran utama dalam pembelajaran di luar bilik kuliah ialah pengurusan logistik dan masa. Lawatan lapangan kebiasaannya melibatkan perjalanan ke lokasi yang jauh dari institusi pengajian dan hal ini memerlukan perancangan yang rapi berkaitan dengan pengangkutan, makanan, keselamatan dan penginapan sekiranya terdapat keperluan untuk bermalam. Kelewatan dalam perjalanan, perubahan cuaca yang tidak menentu dan kesesakan lalu lintas boleh menjejaskan jadual asal lawatan, seterusnya mengurangkan keberkesanan sesi pembelajaran. Di samping itu, jadual akademik yang padat menyukarkan pensyarah dan pelajar untuk memperuntukkan masa yang secukupnya untuk menjalankan aktiviti di luar, terutamanya ketika semester pendek.

Seterusnya, faktor kewangan juga menjadi halangan besar untuk mengadakan lawatan lapangan. Kebiasaannya, lawatan ini memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk menampung kos pengangkutan, bayaran masuk, makan minum serta kos pengurusan keseluruhan. Oleh itu, tidak semua institusi atau pelajar berkemampuan untuk menanggung beban kewangan tersebut. Dalam kes tertentu, pelajar daripada latar belakang keluarga yang berpendapatan rendah mungkin terpaksa menarik diri kerana tidak mampu menampung kos tambahan, sekali gus mewujudkan jurang akses kepada peluang pembelajaran yang sepatutnya bersifat inklusif. Baru-baru ini, Berita Harian melaporkan bahawa Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) memohon agar kerajaan mengkaji semula bajet yang disalurkan kepada universiti awam untuk memastikan kualiti perkhidmatan institusi pendidikan berkenaan terus terjamin dan kekal beroperasi dengan mapan.

Selain itu, keselamatan pelajar merupakan tanggungjawab utama pendidik semasa melakukan aktiviti di luar bilik kuliah. Aktiviti di lapangan seperti melawat tapak industri, kawasan hutan, sungai atau kawasan terpencil boleh mendatangkan risiko kecederaan atau kemalangan. Risiko kesihatan juga semakin meningkat dalam era pasca pandemik COVID-19 dengan penularan penyakit berjangkit yang membimbangkan masyarakat. Oleh itu, pensyarah perlu mengambil kira aspek pengambilan insurans, prosedur kecemasan dan langkah berjaga-jaga yang rapi dalam perancangan aktiviti. Terkini, tular berita menyayat hati apabila sebanyak 15 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut dalam kemalangan Lebuh Raya Timur-Barat berhampiran dengan Tasik Banding, Gerik, Perak. Walaupun berita ini melaporkan kemalangan maut melibatkan penumpang yang baru pulang bercuti bersempena dengan perayaan Aidiladha, namun tragedi seperti ini juga berisiko untuk berlaku kepada rombongan pelajar yang dalam perjalanan menyertai aktiviti lawatan lapangan.

Elemen keselamatan merupakan aspek penting dalam pelaksanaan pembelajaran di luar bilik kuliah.

Walaupun pembelajaran di luar bilik kuliah dilihat sebagai kaedah yang praktikal dan aktif, keterbatasan akses kepada teknologi boleh menjejaskan pengalaman tersebut. Sebagai contohnya, semasa di lapangan, pelajar mungkin tidak dapat mengakses Internet untuk menyemak data atau menggunakan perisian yang diperlukan. Kekurangan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi bergerak seperti tablet, dron atau sensor mudah alih mengehadkan pengumpulan data secara masa nyata. Dalam konteks pendidikan digital masa ini, akses kepada teknologi yang mencukupi adalah penting bagi memastikan pembelajaran di lapangan sejajar dengan keperluan era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan Masyarakat 5.0 (Society 5.0) dalam memenuhi aspirasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Sebagai contohnya, pelajar dalam bidang sains alam sekitar boleh berdepan dengan situasi keterbatasan akses kepada Internet apabila mereka berada di tengah-tengah hutan belantara, di kaki gunung atau di persekitaran laut dalam yang jauh dari pesisiran pantai.

Pelajar mengalami kesukaran mendapatkan akses Internet dan bahan pembelajaran semasa mengikuti pembelajaran di luar bilik kuliah.

Antara cabaran lain termasuklah tahap keterlibatan pelajar semasa program di luar bilik kuliah. Tidak semua pelajar mempunyai tahap minat dan komitmen yang sama. Ada yang melihat lawatan lapangan sebagai aktiviti sosial atau percutian singkat sahaja dan bukannya peluang pembelajaran yang serius. Sikap ini boleh menjejaskan objektif lawatan serta pengalaman pelajar lain. Dalam kes tertentu, pelajar mungkin tidak memahami tujuan lawatan lapangan tersebut kerana kurang mendapat penjelasan awal atau penyediaan bahan pembelajaran yang relevan. Satu daripada cara untuk menilai keterlibatan dan motivasi pelajar semasa aktiviti di luar bilik kuliah adalah dengan menganalisis borang maklum balas keberkesanan program yang diberikan kepada pelajar sejurus program selesai. Selain itu, pensyarah pengiring juga boleh melakukan pemantauan dan pemerhatian terhadap pelibatan pelajar ketika program berlangsung bagi memastikan perancangan program pada masa hadapan akan menjadi lebih berimpak kepada golongan ini.

Tambahan lagi, pembelajaran di luar bilik kuliah juga menghadapi kesukaran untuk dinilai. Tidak seperti kelas formal yang membolehkan kuiz, ujian atau tugasan diuruskan secara sistematik, pembelajaran di luar memerlukan kaedah penilaian alternatif seperti laporan, refleksi atau portfolio. Penilaian yang dilakukan oleh pensyarah juga memerlukan kepastian dari sudut keaslian, keadilan dan cerminan pembelajaran yang sebenar. Selain itu, dokumentasi pembelajaran melalui foto, video atau nota lapangan perlu disusun rapi agar boleh digunakan semula semasa proses refleksi dan pembentangan.

Dalam sesetengah kursus pula, kurikulum yang disediakan tidak memberikan ruang yang cukup untuk melakukan aktiviti luar. Sukatan pelajaran yang padat dengan kandungan teori menyebabkan lawatan lapangan hanya boleh dijalankan sebagai aktiviti tambahan dan bukannya sebagai sebahagian daripada kurikulum utama. Keadaan ini menyebabkan lawatan lapangan tidak diberikan keutamaan oleh pelajar mahupun pensyarah. Dalam pendidikan semasa, wujud keperluan untuk merombak struktur kurikulum agar lebih fleksibel dan memberikan ruang kepada pendekatan pengalaman langsung. Oleh hal yang demikian, institusi pengajian tinggi perlu melaksanakan semakan kurikulum kerana proses ini penting dalam usaha penambahbaikan sesuatu program akademik yang mesti dijalankan secara berkala dan sistematik bagi memastikan keberkesanan, kualiti dan kelestarian program akademik seperti mana yang digariskan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Di samping itu, pensyarah yang terlibat dalam pembelajaran di luar bilik kuliah juga perlu mempunyai kemahiran mengurus lapangan, memudah cara dan menyelesaikan masalah secara spontan. Namun begitu, tidak semua pensyarah mendapat latihan yang secukupnya dalam aspek ini. Kekurangan kemahiran boleh menjejaskan keberkesanan pelaksanaan aktiviti dan mengurangkan potensi pembelajaran yang sepatutnya diraih oleh pelajar. Oleh itu, latihan profesional yang berkala dan menyeluruh perlu diberikan kepada pensyarah agar mereka lebih bersedia dan yakin untuk menguruskan aktiviti luar.

Sementara itu, pelajar berkeperluan khas sering menghadapi cabaran untuk menyertai aktiviti di luar bilik kuliah kerana kekangan fizikal, persekitaran yang tidak mesra dengan orang kurang upaya (OKU) atau kekurangan fasiliti sokongan. Dalam usaha untuk memastikan pendidikan yang inklusif, lawatan lapangan perlu dirancang dengan mengambil kira keperluan semua pelajar. Hal ini termasuklah penyediaan pengangkutan yang mesra OKU, tempat lawatan yang selamat dan mudah diakses serta penggunaan bahan pembelajaran yang sesuai.

Dalam dunia yang semakin dipengaruhi oleh perubahan iklim, pelaksanaan lawatan lapangan juga perlu menekankan aspek kelestarian alam sekitar. Aktiviti luar yang tidak dirancang dengan sebaik-baiknya boleh memberikan kesan yang negatif terhadap alam sekitar seperti pencemaran, kerosakan habitat atau pembaziran sumber. Oleh itu, pembelajaran di luar perlu disusun dengan prinsip pendidikan untuk pembangunan lestari atau Education for Sustainable Development (ESD) agar pelajar dapat belajar daripada alam, sekali gus menjaga alam dan kepentingannya.

Walaupun pembelajaran di luar bilik kuliah menawarkan pelbagai manfaat seperti peningkatan pemahaman konsep, pengembangan kemahiran insaniah dan pendedahan kepada dunia sebenar, kaedah ini tetap berdepan dengan pelbagai cabaran. Dalam konteks pendidikan terkini yang menekankan kemahiran abad ke-21, pembelajaran sepanjang hayat dan penggunaan teknologi, cabaran ini perlu ditangani dengan strategi yang inovatif dan bersepadu. Penyelesaian boleh merangkumi perancangan yang lebih sistematik, penyediaan dana yang mencukupi, latihan yang berterusan kepada pendidik, pelibatan komuniti serta penggubalan kurikulum yang fleksibel dan inklusif. Melalui pendekatan yang menyeluruh ini, pembelajaran di luar bilik kuliah dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pelengkap kepada pendidikan formal untuk membentuk insan holistik yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Kredit Foto: Sharir Aizat Kamaruddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi