Diterbitkan pada 6 Ogos 2025, 20:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Gajah – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka menyasarkan untuk memperluas Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak: Kasih Kanak-kanak ke 20 buah sekolah lagi di seluruh negeri menjelang akhir tahun ini.

Pengarah JKM Melaka, YBrs. Puan Halyjah Muhamad berkata, inisiatif ini dilihat penting bagi memastikan kanak-kanak diberikan pendedahan awal tentang hak mereka dan membesar dalam persekitaran yang selamat.

“Sepanjang tahun lalu, program ini telah dilaksanakan di 30 buah sekolah, dan bagi tahun ini kita sasarkan untuk menjayakan program ini di 20 buah sekolah lagi bagi memperluas impaknya kepada lebih ramai murid,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berlangsungnya program tersebut di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Gajah I, bersempena dengan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia yang disempurnakan oleh Penyelaras DUN Rembia, YBhg. Datuk Fairul Nizam Roslan, baru-baru ini.

Pengarah JKM Melaka, YBrs. Puan Halyjah Muhamad bersama YBhg. Datuk Fairul Nizam Roslan bergambar bersama-sama dengan murid dan guru bersempena dengan Program Advokasi Perlindungan Kanak-kanak: Kasih Kanak-kanak Tahun 2025.

Menurut YBrs. PAuan Halyjah, objektif utama program itu adalah untuk meningkatkan kesedaran murid tentang hak perlindungan mereka serta memperkenalkan Talian Kasih 15999 sebagai medium bantuan sekiranya mereka berdepan dengan situasi kecemasan.

“Anak-anak perlu tahu bahawa mereka tidak keseorangan. Mereka ada tempat untuk mengadu dan saluran yang boleh membantu sekiranya berdepan dengan penderaan atau pengabaian,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, JKM sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan kanak-kanak dan menekankan bahawa setiap anak berhak dilindungi daripada segala bentuk penderaan sama ada secara fizikal, emosi, seksual mahupun pengabaian sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta Kanak-kanak.

“Kita mahukan anak-anak ini membesar dalam suasana yang penuh dengan kasih sayang, selamat dan seimbang, kerana dari sinilah akar masa depan negara bermula,” tambah beliau.

Mengulas lanjut, YBrs. Puan Halyjah mendedahkan bahawa setakat Julai 2025, JKM Melaka telah menerima sebanyak 27 aduan membabitkan kanak-kanak, termasuklah sebanyak 17 kes penderaan.

“Setiap maklumat yang diterima tidak diambil ringan. Pasukan kami akan turun padang untuk menjalankan siasatan dan memastikan setiap kes diberikan perhatian wajar. Walau bagaimanapun, tidak semua aduan sahih, kami tetap menyantuni setiap kes dengan penuh tanggungjawab,” ujar beliau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi