Diterbitkan pada 8 Ogos 2025, 14:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam dunia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), komitmen pembelajaran atau learning engagement sering menjadi penanda aras kepada keberkesanan pembelajaran. Komitmen pembelajaran bukan sekadar kehadiran di dalam kelas, malah merangkumi pelibatan pelajar secara mendalam dari segi kognitif (pemikiran), afektif (emosi) dan psikomotor (kemahiran fizikal).

Jika kita meneliti cabaran pendidikan pada hari ini, jelas menunjukkan bahawa pembelajaran tidak boleh bergantung kepada kaedah tradisional semata-mata. Pelajar generasi kini yang membesar dengan teknologi digital mempunyai keupayaan visualisasi yang pantas, kecenderungan kepada maklumat segera serta pola pemikiran yang lebih terbuka. Namun begitu, mereka juga mudah hilang fokus dan cepat bosan jika pengajaran disampaikan secara konvensional. Inilah cabaran sebenar bagi pendidik, khususnya guru TVET yang perlu beradaptasi dengan realiti baharu ini.

Generasi Digital: Antara Cabaran dengan Peluang

Generasi pelajar pada hari ini merupakan generasi digital. Mereka terbiasa dengan visual yang pantas, maklumat di hujung jari dan pelbagai bentuk interaksi dalam media sosial. Kandungan sosial media yang berasaskan video telah banyak memberikan stimulasi kepada kecerdasan individu (kecerdasan pelbagai), sekali gus merubah kecerdasan dan kecenderungan pembelajaran dalam kelas. Maka, pendekatan syarahan dan tunjuk cara semata-mata tidak lagi memadai.

Pengajaran yang berkesan harus mampu menghubungkan isi kandungan dengan cara pelajar berfikir, merasa dan berinteraksi. Mereka perlu dibimbing melalui pengalaman pembelajaran yang menggabungkan teori dan amali, yang relevan dengan kehidupan seharian serta kerjaya masa depan. Namun begitu, mereka perlu dimaklumkan terlebih dahulu tentang tujuan dan peranan sesuatu kemahiran dan pengetahuan yang akan dipelajari agar mereka lebih menghargai dan memberikan sepenuh tumpuan.

Sebagai contoh, pelajar bidang TVET banyak belajar melalui pengalaman amali. Mereka memerlukan pengajaran yang bukan sahaja memberikan pengetahuan, malah membolehkan mereka meneroka, mencuba dan membuat kesilapan dalam suasana pembelajaran yang selamat. Dalam istilah yang mudah difahami, “Guru bukan sekadar penyampai ilmu, namun pereka bentuk pengalaman pembelajaran yang menarik dan bermakna”.

Peranan Kreatif Guru Mengubah Dinamik Kelas

Menjadi pendidik yang hebat bukan mudah untuk dicapai. Menjadi pendidik yang kreatif memerlukan minat, naluri serta jiwa sebagai seorang guru. Hendak mengajar boleh, namun hendak mendidik itu sukar. Hampir semua guru atau pensyarah mampu untuk menyampaikan ilmu berdasarkan slaid, memberikan kuliah, menunjuk cara atau menunjukkan langkah penyelesaian. Namun begitu, untuk melakukan perkara tersebut dengan jiwa, perasaan, harapan dan doa kepada pelajar, bukanlah amalan yang dapat dilakukan oleh semua orang dengan ikhlas. Minat juga memainkan peranan dalam menimbulkan keterujaan mengajar dengan bersungguh-sungguh. Apabila kesemua perkara tersebut dapat dipenuhi, barulah kerjaya sebagai pendidik memberikan manfaat dan tidak membosankan.

Kebolehan menarik minat dan perhatian pelajar untuk terus “engage” atau terlibat dengan sesi pengajaran memerlukan kemahiran dan pengalaman. Penulis teringat dengan akan pesanan seorang guru pedagogi sewaktu mengikuti Sarjana Pendidikan Teknikal dan Vokasional (MBV), di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Beliau mengatakan bahawa “guru merupakan pelakon yang hebat”  kerana marahnya tidak sampai ke hati, geramnya tidak sampai ke jantung dan jeritnya tidak sampai ke perut. Jika semua ini gagal diamalkan oleh seorang guru, mungkin ramai guru yang akan jatuh sakit lebih awal.

Falsafah utama dalam pengajaran dan pembelajaran yang harus guru pegang ialah, pengajaran dan pembelajaran sepatutnya memberikan fokus yang seimbang kepada pembangunan sahsiah selain pengetahuan isi kandungan. Kita tidak mahu jurutera yang dihasilkan hanya bijak dalam menghasilkan robot yang boleh membunuh manusia. Kita juga tidak mahu menghasilkan guru cemerlang yang hanya mengejar gaji bulanan dan pendapatan sampingan. Oleh itu, guru boleh mengamalkan pengajaran yang diselitkan dengan tazkirah, penerapan nilai murni, kemahiran insaniah dan perkongsian pengalaman hidup yang dapat membantu pelajar pada masa hadapan.

Proses pengajaran dan pembelajaran mestilah direka bentuk sejajar dengan keperluan generasi. Pendekatan pada hari ini sangat berbeza dengan pendekatan yang diamalkan pada lima hingga 10 tahun yang lalu. Oleh itu, pendekatan dan pedagogi juga mesti berkembang seiring dengan perkembangan teknologi serta perubahan kecenderungan generasi. Mendidik dan menghadapi generasi baharu pastinya lebih mencabar dengan kedatangan generasi Alpha dan generasi Strawbery ke menara gading.

Guru TVET dituntut untuk kreatif dalam mengolah kaedah pengajaran agar selari dengan keperluan generasi ini. Antara pendekatan yang terbukti berkesan termasuklah:

  • Pembelajaran berasaskan projek (Project-Based Learning): Pelajar didedahkan dengan situasi dunia sebenar yang menuntut mereka menggunakan pengetahuan dan kemahiran secara praktikal.
  • Gamifikasi (Gamification): Unsur permainan seperti mata ganjaran, cabaran dan tahap pencapaian yang menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan dan kompetitif secara sihat.
  • Pembelajaran kolaboratif: Aktiviti berkumpulan menggalakkan komunikasi, kerjasama dan pemikiran kritis, yang penting untuk kejayaan dalam industri.
  • Perbincangan dan refleksi: Memberikan ruang kepada pelajar untuk menyuarakan pandangan dan menilai proses pembelajaran mereka.

Teknologi: Alat Sokongan, Bukan Fokus Utama

Penggunaan teknologi dalam pengajaran sering dilihat sebagai jalan penyelesaian, namun perkara tersebut hanyalah alat, bukan pengganti kreativiti guru. Kuiz interaktif, video demonstrasi atau simulasi asas boleh digunakan untuk menyokong pengajaran, namun keberkesanannya bergantung kepada bagaimana guru menggabungkan teknologi ini dengan pendekatan pedagogi yang sesuai.

Sebagai contoh, pelajar boleh diberikan tugasan projek yang memerlukan mereka menggunakan perisian reka bentuk asas, disusuli dengan perbincangan kelas mengenai proses penyelesaian masalah. Di sini, teknologi berperanan sebagai pemudah cara, sementara guru mengawal hala tuju pembelajaran melalui bimbingan dan soalan kritis.

Komitmen Pembelajaran sebagai Keperluan, Bukan Pilihan

Pengajaran yang berkesan ialah pengajaran yang berjaya mengekalkan keterlibatan pelajar sepanjang proses pembelajaran. Komitmen pembelajaran yang kukuh bukan sahaja memastikan penguasaan kemahiran teknikal, namun turut membentuk kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, penyelesaian masalah dan etika kerja, iaitu kemahiran yang amat dihargai oleh industri.

Dalam era generasi digital, guru yang mampu beradaptasi dengan perubahan dan menerapkan kreativiti dalam pengajaran akan memastikan pelajar TVET terus terlibat, bermotivasi dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan. Komitmen pembelajaran bukan sekadar pilihan, namun keperluan mutlak untuk membentuk tenaga kerja yang berdaya saing.

Guru Penggerak Komitmen Pembelajaran

Guru berperanan sebagai penggerak utama kepada proses pembelajaran pelajar dan meningkatkan komitmen pembelajaran serta memastikan kejayaan pelajar pada masa hadapan. Keupayaan mereka membaca keperluan generasi digital, mempelbagaikan pendekatan pengajaran, serta menggabungkan kreativiti dengan elemen teknologi akan menentukan keberkesanan pendidikan TVET kepada pelajar.

“Generasi digital belajar dengan cara yang berbeza. Guru perlu berinovasi untuk mengubah pembelajaran menjadi pengalaman yang hidup.”

Komitmen pembelajaran bukan sekadar sebuah konsep pendidikan, namun menjadi asas kepada pembentukan pelajar TVET yang berdaya tahan, kompeten dan bersedia menghadapi realiti dunia pekerjaan yang sentiasa berubah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi