Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAyer Keroh – Program Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat atau HEBAT setiap dua bulan sekali di Kompleks Seri Negeri menjadi platform bagi rakyat untuk menyuarakan isu secara langsung kepada pentadbiran tertinggi negeri.
Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata pendekatan berkenaan membolehkan rakyat membawa terus sebarang permasalahan, termasuk isu tanah, kebajikan, cukai dan cadangan penambahbaikan dasar kepada portfolio Exco yang berkaitan.
“Pelaksanaan HEBAT secara berkala membolehkan kerajaan negeri menilai kesan dan keberkesanan dasar dengan lebih responsif serta inklusif.
“Setiap aduan direkodkan dan ditangani sama ada secara serta-merta atau selepas penelitian lanjut, sekali gus membuktikan kerajaan negeri serius menyantuni rakyat,” katanya.
Menurut Datuk Seri Utama Ab Rauf, HEBAT berbeza daripada Program Wakil Rakyat untuk Rakyat (WRUR) yang dianjurkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana WRUR bersifat turun ke lokaliti, manakala HEBAT pula membawa rakyat ke pusat pentadbiran negeri bagi mendengar aduan dan mengambil tindakan segera.
“Pendekatan ini memberikan peluang kepada rakyat melihat sendiri proses pentadbiran, membolehkan tindakan segera diambil terhadap isu yang mampu diselesaikan serta-merta, manakala isu yang lebih kompleks akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco.
“HEBAT bukan sekadar sesi mendengar keluhan rakyat, sebaliknya menjadi medan utama menambah baik dasar kerajaan berdasarkan suara dan keperluan sebenar rakyat.
“Pandangan, cadangan dan aduan yang diterima akan dijadikan input penting dalam penyemakan dasar sedia ada, katanya.
“Kita tidak mahu dasar dibuat hanya di atas kertas, tetapi dasar mesti berasaskan pada realiti dan keperluan masyarakat.
“Saya berharap HEBAT dapat menjadi jambatan yang lebih kukuh antara rakyat dengan kerajaan negeri,” tambahnya lagi.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa sesi pertama HEBAT menerima 200 aduan yang meliputi isu pindah milik tanah, pengurangan harga premium tanah, kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU), pertanian, lesen peniaga kecil serta urusan cukai tanah.
“Maklum balas terhadap siri pertama HEBAT sangat positif dengan kehadiran rakyat bukan sekadar untuk mengadu, tetapi juga menyumbang idea, memberikan cadangan serta menyampaikan penghargaan.
Ujar beliau, inisiatif itu akan diteruskan setiap dua bulan sekali sebagai komitmen kerajaan menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang responsif terhadap permasalahan rakyat.
Turut hadir sama dalam sesi pertama itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, YBhg. Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.
