Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSungai Petani – Universiti Asean of Medicine, Science & Technology (AIMST) di Kedah berjaya mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBR) setelah menamatkan acara 24 Jam Kecemerlangan (24 Hours of Excellence) dengan mengadakan sebanyak 50 segmen menarik melibatkan pelajar, alumni dan tetamu khas.
Naib Canselor dan Ketua Eksekutif Universiti AIMST, YBhg. Profesor Dr. Kathiresan V. Sathasivam berkata, sehingga ini pelbagai program terus diadakan oleh pihak universiti setelah beroperasi di Semeling pada tahun 2007.
Pada ketika itu, sebanyak 18,000 pelajar telah mengikuti pelbagai bidang pengajian di Fakulti Perubatan, Farmasi, Pergigian, Fisioterapi dan Kejururawatan, Kejuruteraan dan Teknologi Komputer, Sains Gunaan dan lain-lain dalam tempoh itu.
“Ini merupakan detik bersejarah bagi Universiti AIMST apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records,” ujarnya.
Semasa berlangsungnya program itu, berbagai acara diadakan seperti persembahan kebudayaan, kuiz interaktif, temu bual pelajar serta aktiviti kesihatan senaman yoga dan senamrobik.
Selepas berakhirnya acara, sijil perakuan telah disampaikan oleh Pegawai Rasmi MBR YBrs. Encik Megat Faris Hussein Megat Mudzaffar Shah kepada Profesor Dr. Kathiresan dengan disaksikan oleh ketua-ketua pelbagai jabatan di fakulti tersebut.
“Terima kasih kepada semua pihak kerana terus memberikan kerjasama kepada Universiti AIMST, termasuk Canselornya, YBhg. Tan Sri Dr. S.A. Vigneswaran selaku Presiden Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED),” tambah Dr. Kathiresan.
Oleh sebab itu, Dr. Kathiresan menegaskan pencapaian begini secara tidak langsung telah berjaya menjadikan Universiti AIMST sebagai perintis dalam penyediaan penjagaan kesihatan canggih, inovasi digital dengan penglibatan pelajar, selaras dengan landskap pendidikan tinggi di negara ini.