Diterbitkan pada 27 Ogos 2025, 16:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Penganjuran Karnival Keusahawanan Sekolah Kebangsaan Permatang Badak (SePerB) 2025 yang diadakan pada 23 Ogos lalu, bertujuan untuk memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan warga SePerB yang dihadiri oleh guru, ibu bapa, murid dan para alumni.

Sehubungan dengan itu, pelibatan murid dan guru menyertai aktiviti jualan, perkhidmatan dan pameran secara langsung telah menggalakkan budaya celik kewangan serta menunjukkan teladan yang baik kepada murid terutamanya dalam menguruskan perniagaan dan kewangan.

“Pelbagai aktiviti menarik yang diadakan untuk memeriahkan karnival ialah pameran kraftangan, urutan percuma, zoo mini, rumah hantu, permainan kereta api dan jualan makanan dan minuman. Selain itu, jualan rahmah, pameran agensi kerajaan, aktiviti mencanting batik, tayangan pawagam mini, cabutan bertuah dan pemeriksaan kesihatan serta pemeriksaan pergigian secara percuma,” ujar Guru Besar SePerB, Yang Berusaha (YBrs.) Encik Saizilaruni Mohd Sidek .

Guru Besar SePerB YBrs. Encik Saizilaruni (tengah) semasa mengunjungi karnival berkenaan.

Walau bagaimanapun banyak aktiviti jualan, Encik Saizilaruni menasihati murid-murid agar berbelanja dengan bijak, berhemah dan tidak boros. Urus niaga yang menggunakan seratus peratus kupon sebagai menggantikan wang tunai semasa karnival merupakan satu daripada kaedah memupuk kesedaran kepada murid-murid berhubung kaedah perbelanjaan tanpa tunai.

Karnival tersebut turut dimeriahkan dengan pameran dan jualan buku daripada Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP). Aktiviti seumpama ini bukan sahaja memberikan keseronokan, malah dapat mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga SePerB daripada pelbagai generasi.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada barisan pentadbir sekolah, Kelab Kebajikan Guru dan Staf SePerB, ahli jawatankuasa terlibat, wakil agensi, murid-murid, guru, alumni dan komuniti setempat yang hadir memeriahkan karnival ini,” kata Encik Saizilaruni yang turut merakamkan penghargaan.

Turut hadir bagi memeriahkan Karnival Keusahawanan ialah barisan pentadbir SePerB  dan tetamu-tetamu jemputan.

 

 

Kredit Foto: PIBKS SK Permatang Badak
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi