Diterbitkan pada 9 September 2025, 08:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Fenomena buli bukanlah isu baharu dalam masyarakat, sebaliknya merupakan penyakit sosial yang semakin membarah dalam pelbagai lapisan masyarakat, sama ada dalam institusi pendidikan, tempat kerja, mahupun dalam ruang maya. Buli bukan hanya merujuk tindakan fizikal, tetapi turut melibatkan elemen psikologi, emosi dan sosial yang memberikan kesan mendalam kepada mangsa. Dalam konteks Malaysia moden yang menuju wawasan Malaysia MADANI, gejala buli menggugat usaha pembinaan masyarakat sejahtera, harmoni dan inklusif.

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (2022), sebanyak 3,887 kes buli dilaporkan dalam kalangan pelajar sekolah sepanjang tahun 2021, menandakan peningkatan berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.  Data ini menjadi bukti bahawa buli bukan sekadar isu terpencil, tetapi merupakan manifestasi kegagalan sistemik dalam menangani aspek pembentukan sahsiah, nilai dan empati dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya generasi muda.

Takrifan dan Bentuk Buli

Buli merujuk perbuatan yang disengajakan untuk menyakiti, mengancam atau merendahkan martabat individu lain secara berulang-ulang, sama ada secara fizikal, lisan, emosi atau siber.  Menurut Smith et al. (2008), buli ditakrifkan sebagai “sebarang bentuk tingkah laku agresif yang melibatkan ketidakseimbangan kuasa antara pelaku dengan mangsa”.  Dalam Islam, tindakan menyakiti orang lain secara sengaja adalah dilarang keras, sebagaimana sabda Nabi SAW:  “Seorang Muslim ialah yang mana Muslim lain selamat daripada lidah dan tangannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Buli dapat diklasifikasikan kepada beberapa bentuk:

  1. Buli Fizikal – melibatkan kekerasan seperti memukul, menendang atau merosakkan harta benda.
  2. Buli Lisan – termasuk ejekan, penghinaan, ugutan dan kata-kata yang menjatuhkan harga diri.
  3. Buli Sosial – meminggirkan individu daripada kumpulan, menyebar fitnah atau mencemarkan imej sosial.
  4. Buli Siber – dilakukan melalui media sosial, mesej teks atau platform digital lain dengan niat menyakiti secara emosi atau mental.

Punca Buli

Fenomena buli tidak berlaku secara rawak, namun berpunca daripada gabungan faktor individu, keluarga, institusi dan masyarakat.

  1. Faktor Psikologi dan Individu

Individu yang terlibat dalam perlakuan buli lazimnya mempunyai sejarah trauma, kurang kasih sayang atau menghadapi masalah pengurusan emosi.  Menurut kajian oleh Ahmad dan Sulaiman (2021), sebanyak 65 peratus pembuli mempunyai latar belakang keluarga yang bermasalah, termasuk penderaan rumah tangga dan ketiadaan komunikasi positif.

  1. Pengaruh Persekitaran Sosial

Persekitaran yang membenarkan atau tidak menolak buli secara aktif akan memperkukuh budaya tersebut. Sebagai contoh, pelajar yang melihat rakan-rakannya membuli dan tidak ditegur oleh guru cenderung untuk menormalisasikan tingkah laku tersebut. Menurut Bandura (1977) dalam Teori Pembelajaran Sosialnya, manusia belajar melalui pemerhatian, oleh itu, model negatif dalam persekitaran sosial boleh menyebabkan buli membiak.

  1. Kegagalan Institusi Pendidikan

Institusi pendidikan berperanan penting dalam membentuk keperibadian pelajar. Namun begitu, apabila guru, pentadbir atau kaunselor gagal mengesan atau bertindak terhadap kes buli, perkara ini akan memberikan mesej bahawa perlakuan tersebut boleh diterima. Menurut Ismail (2019), kekurangan modul intervensi yang berfokus kepada nilai empati dan asertif menyumbang kepada kegagalan pencegahan awal.

  1. Kesan Media dan Teknologi

Media arus perdana dan digital sering menayangkan adegan keganasan dan bahasa kesat yang kemudiannya ditiru oleh remaja tanpa penapisan nilai.  Tambahan pula, penggunaan media sosial secara tidak terkawal telah membuka ruang kepada buli siber.  Kajian oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC, 2020) menunjukkan bahawa sebanyak 58 peratus pengguna media sosial muda pernah menjadi mangsa buli siber.

Kesan Buli

Kesan buli bukan sahaja terhad kepada mangsa, tetapi turut melibatkan pelaku, institusi dan masyarakat secara keseluruhan.

  1. Kesan terhadap Mangsa

Mangsa buli sering mengalami tekanan emosi, kemurungan, hilang keyakinan diri dan dalam kes yang ekstrem, kecenderungan membunuh diri. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2021, buli merupakan satu daripada faktor utama yang menyebabkan berlakunya peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan remaja global. Hal ini demikian kerana, buli menyebabkan gangguan emosi yang berlarutan sehingga boleh memusnahkan struktur jiwa dan akal seseorang, menjadikan mangsa seperti “mayat yang hidup”.

2.  Kesan terhadap Pelaku

Pelaku buli biasanya akan membawa tabiat agresif tersebut sehingga alam dewasa, menjadi individu yang sukar bekerjasama, autoritarian dan berpotensi tinggi terlibat dalam jenayah. Hal ini demikian kerana, sebanyak 70 peratus pelaku buli di sekolah cenderung mempunyai rekod salah laku apabila dewasa.

3. Kesan kepada Institusi

Sekolah atau organisasi yang dicemari dengan budaya buli akan hilang kepercayaan masyarakat, wibawa moral dan sukar menarik bakat baharu.  Apabila pelajar berasa tidak selamat, motivasi dan prestasi akademik mereka juga akan turut terjejas.

4. Kesan terhadap Negara

Negara yang gagal menangani buli akan berhadapan dengan generasi yang lemah dari segi nilai, empati dan integriti. Keadaan ini akan menggugat matlamat negara untuk membangunkan masyarakat madani yang progresif dan inklusif. Kes buli yang berlaku secara berleluasa telah menjejaskan indeks kesejahteraan sosial dan memperlihatkan kegagalan sistem pendidikan sebagai wahana pembinaan bangsa.

Pendekatan Penyelesaian: Membina Budaya Antibuli

Mengatasi gejala buli memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan pelbagai pihak, antaranya termasuklah ibu bapa, guru, institusi, kerajaan dan masyarakat umum.

  1. Pendidikan Nilai dan Empati

Program pendidikan yang menekankan nilai empati, ihsan, hormat dan asertif perlu diperkuatkan sejak peringkat prasekolah. Modul pendidikan karakter yang dijalankan secara konsisten dan berstruktur dapat membina budaya saling menghargai. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Attas (1979), pendidikan bukan semata-mata pemindahan ilmu, tetapi proses penyucian jiwa dan pembentukan akhlak.

  1. Intervensi Berasaskan Komuniti

Pendekatan komuniti seperti program mentor menti, forum keibubapaan dan kempen kesedaran antibuli harus diperluas di sekolah dan kawasan perumahan.  Pendekatan ini bukan sahaja melibatkan pelajar, malah ibu bapa dan masyarakat setempat serta membentuk jaringan sokongan yang lebih holistik.

  1. Penguatkuasaan dan Polisi Tegas

Institusi pendidikan dan organisasi kerja perlu mempunyai polisi antibuli yang jelas dan tegas. Laporan kes mesti diambil serius dan tidak ditutup demi menjaga imej. Contohnya, Universiti Malaya (2021) memperkenalkan “Polisi Bebas Gangguan dan Buli” yang melibatkan mekanisme pelaporan dan perlindungan saksi. Undang-undang seperti Akta Kanak-kanak 2001 dan Kanun Keseksaan (Seksyen 323 dan Seksyen 506) juga perlu digunakan secara efektif bagi mendidik dan menghukum pelaku.

  1. Sokongan Psikologi

Mangsa dan pelaku buli memerlukan bantuan psikologi dan kaunseling.  Rawatan awal dapat mengelakkan masalah berpanjangan.  Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (2022), sesi intervensi bersama-sama dengan kaunselor berlesen meningkatkan kadar pemulihan emosi dan sosial pelajar mangsa buli sebanyak 47 peratus dalam tempoh enam bulan.

Cabaran Menangani Isu Buli

Walaupun pelbagai langkah telah diambil, terdapat beberapa cabaran besar yang masih membelenggu usaha membanteras isu buli, iaitu:

  1. Sikap tidak ambil peduli oleh pihak sekolah atau organisasi yang memandang ringan kes buli, menyebabkan mangsa terus tertekan.
  2. Stigma terhadap mangsa yang melaporkan kejadian buli menjadikan ramai yang memilih untuk berdiam diri.
  3. Ketirisan dalam pelaksanaan polisi, di mana dasar antibuli tidak diterjemahkan dengan tuntas dalam tindakan sebenar.
  4. Kecanggihan teknologi menjadikan buli siber sukar dikesan dan pelakunya sering bersembunyi di sebalik identiti palsu.

Dimensi Agama dan Falsafah dalam Mencegah Buli

Dalam wacana ketamadunan dan pembinaan akhlak, pendekatan spiritual dan falsafah amat penting bagi membentuk kesedaran dalaman yang kukuh dalam diri individu. Islam, misalnya, telah lama menekankan keharusan menjaga maruah, tidak menyakiti serta membina hubungan yang berasaskan kasih sayang dan amanah. Buli merupakan suatu bentuk pengkhianatan terhadap prinsip ukhuwah dan keadilan yang menjadi teras dalam syariat Islam.

Al-Ghazali (2019) dalam karya Ihya’ Ulumuddin menegaskan bahawa akhlak yang tercela lahir daripada hati yang gelap dan jiwa yang tidak disucikan. Oleh itu, pembentukan spiritual perlu menjadi teras dalam pendidikan dan intervensi sosial.  Pendidikan agama yang berkesan bukan sekadar hafalan atau ritual, tetapi suatu proses pembinaan kesedaran batin yang menjadikan manusia lebih berhati-hati dalam setiap tindakan.

Buddhisme pula mengajarkan konsep Metta (kasih sayang sejagat) dan Ahimsa (tidak menyakiti) yang menyeru manusia untuk berbelas kasihan terhadap semua makhluk. Dalam konteks Malaysia yang berbilang agama, nilai ini boleh menjadi asas kepada pendidikan sivik dan moral yang merentas batas kepercayaan, demi menyemai sikap antibuli dalam kalangan remaja dan dewasa.

Buli Siber: Wajah Baharu Kekerasan

Teknologi, meskipun mempercepatkan akses kepada maklumat dan jaringan sosial, turut menjadi medan subur kepada buli jenis baharu, iaitu buli siber. Tidak seperti buli tradisional yang bersifat fizikal dan berlaku dalam ruang nyata, buli siber berlaku dalam ruang maya tetapi meninggalkan kesan yang tidak kurang parahnya.

Mangsa buli siber sering menghadapi kesukaran untuk mendapatkan keadilan kerana pelaku menggunakan identiti palsu, menyembunyikan lokasi dan mengambil kesempatan atas kelemahan sistem penguatkuasaan siber. Menurut kajian oleh UNICEF Malaysia (2021), satu daripada lima remaja di Malaysia pernah mengalami buli siber, manakala satu daripada sepuluh mengaku pernah menjadi pelaku.

Tambahan pula, buli siber sering berlaku tanpa saksi langsung, menyebabkan mangsa mengalami tekanan psikologi secara bersendirian. Kesan jangka panjang termasuk hilang keyakinan, fobia sosial dan dalam kes tertentu, tindakan mencederakan diri.

Oleh itu, pembangunan dasar literasi digital yang kukuh menjadi keperluan mendesak. Pendidikan berkaitan keselamatan siber, etika penggunaan media sosial serta kemahiran pengurusan tekanan digital perlu diperkenalkan sejak di bangku sekolah.  Seperti yang disarankan oleh Osman (2023), kurikulum pendidikan moden mesti menyepadukan dimensi emosi digital untuk memastikan pelajar bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga celik emosi dan akhlak.

Buli di Tempat Kerja: Ancaman kepada Produktiviti

Isu buli tidak terbatas dalam kalangan pelajar sahaja. Di tempat kerja, gejala ini hadir dalam bentuk gangguan beramai-ramai, diskriminasi, manipulasi dan penghinaan oleh majikan atau rakan sekerja. Buli pekerjaan menyebabkan tekanan emosi, kemerosotan prestasi dan dalam banyak kes, membawa kepada peletakan jawatan atau kemurungan.

Kajian oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH, 2020) menunjukkan bahawa 38 peratus pekerja di Malaysia mengaku pernah mengalami bentuk buli secara langsung atau tidak langsung di tempat kerja. Antara bentuk yang lazim termasuklah memperlekehkan hasil kerja, menyebar khabar angin, mengecualikan daripada mesyuarat dan memberikan tugasan yang tidak munasabah.

Dalam dunia korporat, buli sering dikaitkan dengan budaya autoritarian, persaingan toksik dan sistem pengurusan yang gagal membina suasana kerja yang inklusif.  Oleh itu, organisasi perlu membangunkan polisi tempat kerja yang mesra psikososial dan menyediakan saluran pelaporan tanpa ancaman terhadap kerjaya.

Pihak majikan disarankan untuk menubuhkan Jawatankuasa Kesejahteraan Emosi Pekerja, menyediakan latihan kesedaran dan kaunseling korporat.  Sistem ganjaran dan kenaikan pangkat juga mesti bebas daripada unsur pilih kasih atau intimidasi.

Peranan Media dalam Menolak Buli

Media memainkan peranan besar dalam menormalisasi keganasan atau menjadi agen pembentuk kesedaran. Filem, drama dan iklan yang menggambarkan watak pembuli sebagai kuat atau berkuasa secara tidak langsung mengukuhkan tanggapan bahawa buli ialah simbol dominasi sosial. Sebaliknya, naratif yang meletakkan mangsa sebagai lemah atau pasrah pula menjadikan masyarakat kurang empati terhadap penderitaan mangsa.

Namun begitu, media juga mempunyai potensi besar dalam membentuk norma baharu yang menolak buli. Kempen kesedaran seperti “#KitaBersama” oleh Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia telah memperlihatkan keberkesanan dalam menyampaikan mesej antibuli melalui saluran arus perdana dan media sosial.  Penceritaan yang berfokus kepada keberanian mangsa bangkit, reformasi pembuli, dan sokongan komuniti wajar diperluas.

Media harus bertanggungjawab menyaring kandungan dan memastikan setiap naratif yang dipaparkan selari dengan nilai masyarakat madani, iaitu kasih sayang, keadilan dan hormat antara manusia.  Pelaburan dalam media pendidikan juga perlu diperbanyakkan bagi memberikan alternatif hiburan yang membina.

Menuju Masyarakat MADANI Bebas Buli

Fenomena buli merupakan petunjuk kepada kegagalan membina masyarakat yang sihat dari segi mental, emosi dan rohani. Dalam konteks Malaysia MADANI, pembinaan peradaban tidak dapat dicapai tanpa masyarakat yang saling menghormati, berempati dan menolak kekerasan dalam sebarang bentuk. Oleh itu, usaha membanteras buli mestilah menjadi agenda bersama, bukan sekadar retorik dasar.

Sebagaimana digariskan oleh Ibn Khaldun (1377) dalam Muqaddimah, masyarakat yang rosak akhlaknya tidak akan bertahan lama meskipun ekonominya makmur.  Oleh itu, kita harus kembali kepada nilai-nilai murni, memperkukuh institusi sosial dan memperkasakan pendidikan sahsiah demi membina masyarakat yang benar-benar sejahtera dan berperikemanusiaan.

 Buli sebagai Isyarat Sosial

Akhirnya, fenomena buli bukan hanya soal perlakuan jahat individu, tetapi refleksi kepada ketidakseimbangan nilai, ketempangan sistem pendidikan dan kegagalan institusi sosial membentuk masyarakat penyayang.  Oleh itu, untuk menyelesaikan isu buli ini memerlukan pendekatan holistik dari segi dasar, pendidikan, psikologi, keagamaan hingga budaya popular.

Usaha membina Malaysia MADANI harus dimulakan dengan menjadikan sekolah, tempat kerja dan ruang siber sebagai zon selamat yang mengangkat nilai empati dan keadilan. Buli tidak boleh dianggap  sebagai asuhan keras, proses pembelajaran atau gurauan kasar, sebaliknya mesti dikenali, ditolak dan diatasi melalui mekanisme kolektif.

Sebagaimana ditegaskan oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas (1980), masyarakat hanya akan maju jika “setiap individu menyedari nilai dirinya serta menghormati nilai orang lain”. Tanpa kesedaran ini, kita akan terus hidup dalam bayang-bayang kekerasan yang dibungkus dalam normalisasi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi