Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penaiktarafan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan (AHA Centre) dijangka memperkukuh kesiapsiagaan ASEAN ketika menghadapi bencana alam dan krisis kemanusiaan, sekali gus memastikan rantau ini lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan global.
Penyelaras Program Pengurusan Bencana dan Pensyarah Kanan, Sekolah Kepimpinan dan Ketahanan, Universiti Kepimpinan Penguatkuasaan dan Pengurusan (ELMU), YBrs. Dr. Rabieahtul Abu Bakar berkata, inisiatif itu selaras dengan aspirasi “Satu ASEAN, Satu Respons” yang menjadi tonggak solidariti negara anggota dalam pengurusan bencana.
Menurut beliau, tiga fokus utama perlu diberikan perhatian bagi memperkukuh mekanisme tindak balas ASEAN, iaitu penganjuran latihan bersama, pengukuhan rantai logistik serta pendigitalan sistem amaran awal.
“Latihan bersama serta keseragaman prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan serta Pelan Tindak Balas Bencana Bersama ASEAN memastikan setiap agensi kebangsaan, AHA Centre dan rakan antarabangsa dapat bertindak secara teratur dan serentak apabila krisis berlaku.
“Pengukuhan rantai logistik pula memendekkan masa tindak balas, manakala sistem amaran awal berasaskan teknologi dapat meningkatkan keberkesanan operasi,” katanya ketika diwawancara dalam rancangan Apa Khabar Malaysia Bernama TV pada Rabu.
Rabieahtul menegaskan bahawa pemimpin ASEAN memainkan peranan penting bagi menjayakan misi pengurusan bencana menerusi penetapan dasar bersama yang jelas, peruntukkan sumber yang mampan serta pengukuhan tadbir urus berasaskan data.
Beliau turut mengingatkan kepentingan komunikasi risiko yang tepat, jelas dan telus kepada masyarakat bagi memastikan mereka sentiasa bersiap siaga sebelum bencana berlaku.
“Kita perlu beralih daripada pendekatan reaktif kepada proaktif.
“Komunikasi risiko yang mantap membantu rakyat menerima maklumat sahih serta mengelakkan kekeliruan dan panik,” katanya.
AHA Centre yang ditubuhkan sejak tahun 2011 menjadi platform utama negara anggota ASEAN menyelaras kerjasama dan bantuan kemanusiaan, sejajar dengan komitmen rantau ini memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan rakyat.