Diterbitkan pada 1 Oktober 2025, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Dataran Pantai Teluk Cempedak bergema dengan bacaan puisi, nyanyian lagu dan pameran foto kemanusiaan sebagai tanda sokongan serta solidariti terhadap misi Global Sumud Flotilla yang sedang dijayakan oleh sukarelawan dan aktivis dari seluruh dunia.

Misi Solidariti Kuantan: Palestin Merdeka telah berlangsung pada malam 22 September 2025 dengan kerjasama deklamator Pahang dan Pasal Seni dalam menjayakan program tersebut.

Seorang usahawan dan deklamator Pahang, Puan Amaruszati Noor Rahim berkata, usaha solidariti dalam menyokong misi kemanusiaan terhadap penindasan rakyat Palestin disifatkan terlalu kecil jika dibandingkan dengan mereka yang berjuang dengan mencagarkan nyawa meredah samudera, membawa makanan, ubat-ubatan, semangat dan cinta bagi mereka yang memerlukan di Palestin.

“Hanya dalam masa tiga hari, susunan Allah SWT itu cukup indah. Kami ditakdirkan bergabung dengan Pasal Seni, mendapat kebenaran tempat untuk penganjuran di dataran Teluk Cempedak dan diberikan kerjasama yang amat baik daripada anak seni yang sudi menyumbangkan bakat.

Tandatangan dan ucapan solidariti memenuhi kain rentang daripada peserta dan pengunjung yang berada di sekitar dataran Teluk Cempedak.

“Alhamdulillah, ini merupakan permulaan yang sangat bagus untuk menyemarakkan suara puisi, menyeru perpaduan, kecintaan dan kemanusiaan,” ujarnya yang menjadi tonggak utama dalam menjayakan program tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Pasal Seni, Encik Muhammad Muslimi Abd. Rahim, berkata sokongan berterusan daripada semua pihak dan kerjasama masyarakat serta komuniti Pasal Seni, acara sebegini sentiasa dapat mengembangkan potensi bandar Kuantan untuk menjadi pusat seni dan budaya.

“Sejajar dengan solidariti, golongan komuniti seni menjadikan bandar Kuantan sebagai ruang ekspresi melalui bacaan puisi, muzik dan pameran foto kemanusiaan berkaitan dengan Palestin untuk dihayati.

“Seni bukan sekadar wadah hiburan, tetapi memainkan peranan penting dalam menyampaikan luahan demi kemerdekaan Palestin,” ujar beliau.

Selain itu, Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman, deklamator Pahang yang menyampaikan puisi nukilannya berjudul “Gaza Sengsara” meluahkan rasa syukurnya kerana solidariti tersebut dapat direalisasikan meskipun dalam waktu yang terbatas.

Seterusnya, seorang daripada peserta yang turut hadir, Encik Salman Mohd Zaki meluahkan sokongannya terhadap para pejuang Global Sumud Flotilla yang membawa harapan ke Palestin. Semoga usaha kecil ini menjadi penggerak kepada langkah yang lebih besar untuk membela mereka yang tertindas.

Pameran gambar bertemakan kemanusiaan mencetuskan suasana hiba.

Pada malam itu, antara pemuisi yang turut hadir membaca puisi ialah Shafiq Azli, AK Hidayat, Amaruszati Noor Rahim, HM Nordin, Azah Jalil, Muhammad Amirull Afiqq, Aiman, Ali (Ah Lee), Dee UniPSAS, Amirul Teater Rajuk dan Zulaikha Adam.

Selain itu, pengunjung turut didendangkan dengan nyanyian lagu-lagu kemanusiaan daripada Boey Buskers TC, Ya Thora, Rostam, Aku Arejak dan Man Kayan.

Acara yang berlangsung selama hampir tiga jam itu berjaya mengumpulkan tandatangan dan ucapan solidariti yang memenuhi kain rentang daripada peserta dan pengunjung yang berada di sekitar dataran Teluk Cempedak.

Lebih menyentuh hati, tembikai yang dipotong berbentuk segi tiga diedarkan kepada pengunjung sebagai simbolik protes senyap apabila disekat, ditindas dan dinafikan kepada negara yang menolak kewujudan negara Palestin.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi