Diterbitkan pada 2 Oktober 2025, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan tentera Israel yang menahan sukarelawan Malaysia dan antarabangsa misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang sedang berlayar bagi menyalurkan bantuan makanan dan perubatan kepada rakyat Palestin.

Beliau turut menggesa agar semua aktivis serta sukarelawan yang ditahan tersebut dibebaskan dengan segera memandangkan mereka ialah orang awam yang tidak bersenjata yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza.

Beliau berkata, “Dengan menyekat misi kemanusiaan ini, Israel bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah telah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama Israel.”

Jelas beliau lagi,

“Misi tersebut bukan sekadar konvoi bantuan, tetapi simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang sesama umat manusia yang membawa sinar harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang terus dipaksa hidup melarat di bawah sekatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan akan melakukan tindakan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan serta mengambil segala langkah yang sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban Israel.

“Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan serta kita tidak akan sama sekali bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli. Selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin terus dinafikan, Malaysia kekal berdiri teguh dan tidak akan berundur daripada terus mendesak dan menuntut agar kezaliman dan perampasan yang telah berlarutan sejak sekian lama dihentikan,” ujar beliau lagi.

Dalam perkembangan terkini, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa pihak kerajaan Malaysia sedang giat berhubung dengan pihak berkepentingan termasuk saluran diplomatik dalam usaha memastikan sukarelawan dan aktivis Malaysia, ASEAN dan antarabangsa dibebaskan dengan segera.

“Kepada ahli keluarga semua aktivis dan sukarelawan, semoga terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik mencabar ini. Perkembangan setiap proses menuju pembebasan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa agar semua tahanan, khususnya warga Malaysia berada dalam keadaan selamat dan terpelihara,” ujar beliau.

Kredit Foto: Facebook Perdana Menteri

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi