Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Setakat ini, sebanyak 12 orang sukarelawan kemanusiaan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) telah disahkan ditahan oleh tentera Israel selepas kapal yang mereka naiki dipintas ketika menghampiri perairan Gaza, pagi ini.
Kesemua mereka ditahan sekitar pukul 10.00 pagi waktu tempatan selepas kapal Huga, Sirius, Alma, Grand Blu dan Hio melepasi Zon Merah sebelum dipintas pihak tentera Israel.
Sukarelawan yang ditahan ialah Zizi Kirana, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin, Rusydi Ramli, Iylia Balqis, Musa Nuwayri, Sul Aidil, Danish Nazram, Farah Lee, Hazwani Helmi dan Heliza Helmi.
Seawal pagi tadi, laman sosial rasmi Sumud Nusantara Official berkongsi mesej kecemasan mengesahkan penahanan tersebut, selain memaparkan detik cemas ketika kapal dipintas. Beberapa buah kapal dilaporkan terputus hubungan selepas insiden itu, manakala sebahagian lagi berada dalam isyarat kecemasan.
Difahamkan bahawa terdapat sukarelawan Malaysia lain yang tidak dapat dihubungi dipercayai kerana telefon mereka telah dibuang ke laut oleh tentera Israel, sekali gus menandakan situasi semakin genting.
Misi GSF disertai kira-kira 44 bot dan kapal dari seluruh dunia bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan berupa makanan serta ubat-ubatan ke Gaza. Setakat ini, sebanyak 13 kapal dilaporkan telah dipintas oleh tentera Israel.
