Diterbitkan pada 24 Oktober 2025, 17:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Baru-baru ini, Malaysia digemparkan dengan beberapa kes jenayah yang berlaku di beberapa buah sekolah. Kes jenayah tersebut membimbangkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah. Antara kes jenayah yang berlaku di sekolah termasuklah kes pencabulan kehormatan di dalam kelas yang berlaku di Melaka dan kes pelajar perempuan tingkatan tiga yang maut ditikam oleh pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya.

Kes-kes yang berlaku di kawasan sekolah ini menunjukkan bahawa akhlak dan minda pelajar kini sudah semakin tenat. Sekolah yang sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk menimba ilmu dan melakukan aktiviti bersama-sama dengan rakan, menjadi “perangkap halimunan” kepada pelajar. Perasaan ibu bapa yang sepatutnya gembira menghantar anak-anak ke sekolah bertukar menjadi ketakutan dan kerisauan kerana peningkatan kes jenayah tersebut. Perkara yang lebih mengejutkan masyarakat adalah apabila pelaku kepada kes-kes tersebut merupakan pelajar yang berumur bawah 18 tahun. Kes yang terjadi ini telah membuka mata banyak pihak untuk tidak mengambil mudah akan masalah akhlak dan kelakuan buruk dalam kalangan pelajar sekolah.

Rentetan daripada isu ini, banyak pihak mula menunding jari sesama sendiri untuk mencari salah. Namun begitu, jika diselidik dengan lebih mendalam, kebanyakan pelaku jenayah ini masih di bawah umur dan majoritinya masih berada di bawah pengawasan ibu bapa. Oleh itu, bukankah akhlak, kelakuan dan minda pelajar ini dipengaruhi oleh perkara yang dilakukan dan dipelajari di rumah? Memang tidak dapat disangkal bahawa pihak sekolah dan kerajaan juga memainkan peranan besar dalam mengawal dan mengawasi para pelajar. Namun begitu, mereka ini masih di bawah jagaan ibu bapa dan pengawasan keluarga. Oleh itu, agen pemerhati pertama mereka sudah semestinya ibu bapa dan pasti bermula daripada didikan di rumah.

Anak-anak yang dilahirkan seperti kain putih, ibu bapa lah yang perlu mencorakkan mereka mengikut cara didikan yang tersendiri. Setiap isi rumah mesti mempunyai sistem atau cara didikan yang berbeza untuk anak-anak. Namun begitu, adakah perkara itu cukup untuk membentuk anak-anak yang berakhlak mulia dan tidak melakukan keganasan? Artikel ini bukanlah ingin membincangkan tentang cara spesifik untuk mendidik anak-anak, namun ingin memaklumkan bahawa didikan dari rumah itulah yang membentuk anak-anak sebelum keluar ke dunia bertemu dengan masyarakat.

Pada masa ini, keadaan ekonomi yang semakin menghimpit menyebabkan ibu bapa dalam setiap isi rumah terpaksa keluar bekerja untuk menampung kos sara hidup keluarga yang semakin meningkat. Perkara sebegini juga menyebabkan ibu bapa kurang meluangkan masa bersama-sama dengan anak mereka. Anak-anak yang terabai mungkin meluangkan masa sendiri melayari telefon bimbit atau melepak bersama-sama dengan rakan. Hal ini menyebabkan tiada pengawasan daripada orang dewasa terhadap kelakuan anak-anak. Sudah pasti ibu bapa yang bekerja tidak boleh disalahkan sepenuhnya kerana kesempitan kos sara hidup juga tidak dapat dibendung dan mungkin membawa kepada masalah yang lain. Perkara ini merupakan satu daripada punca anak-anak kurang mendapat didikan yang sebenar dan kasih sayang daripada ibu bapa. Hasilnya, anak-anak terabai dan mula melakukan perkara yang terlarang.

Selain itu, selari dengan arus pemodenan negara pada hari ini, setiap anak pasti mempunyai telefon bimbitnya sendiri. Sesetengah ibu bapa kini mungkin tidak setegas ibu bapa pada masa dahulu yang mengawal ketat penggunaan permainan atau telefon bimbit anak-anaknya. Jika dilihat pada hari ini, anak-anak yang baru berumur lima tahun hingga enam tahun sudah diberikan alat seperti tablet yang menyebabkan mereka sentiasa fokus kepada tablet tersebut daripada bersosial dengan rakan sebaya. Penggunaan tablet tanpa pengawasan akan menyebabkan anak-anak mudah dipengaruhi dengan perkara yang ditontonnya, seperti perkara yang berunsur keganasan dan yang tidak sesuai dengan had umur di bawah 18 tahun.

Minda anak-anak di bawah umur ini lebih mudah terpengaruh daripada orang dewasa kerana sesetengah mereka ini tidak dapat menilai sesuatu perkara yang baik atau yang buruk melalui video yang ditontonnya. Oleh itu, tanggungjawab ini berpindah kepada ibu bapa yang perlu tegas mengawal penggunaan tablet dalam kalangan anak-anak. Ibu bapa tidak boleh mengambil ringan akan isu ini kerana jika anak-anak tidak dikawal, mungkin akan menyebabkan perkara yang memudaratkan kepada anak-anaknya. Disebabkan itu, pengawasan terhadap kelakuan anak-anak merupakan tanggungjawab yang besar kepada ibu bapa.

Daripada isu di atas, pasangan yang baru berkahwin perlu mempunyai kesedaran yang mendalam tentang kepentingan melakukan persediaan yang kukuh sebelum menjadi ibu bapa. Tanggungjawab untuk membesarkan dan mendidik anak-anak tidak boleh diambil ringan. Pasangan yang baru berkahwin perlu melakukan perancangan keluarga dengan sebaik-baiknya agar anak-anak yang lahir dapat dididik dan dijaga dengan baik. Sekiranya ibu bapa perlu keluar bekerja, pastikan mengambil pengasuh yang bertanggungjawab untuk menjaga anak-anak. Sekiranya ibu bapa mengambil ringan akan cara membesarkan anak-anak, mungkin akan membuatkan anak-anak mudah melakukan perkara yang menjangkau akal fikiran manusia yang berumur 18 tahun ke bawah. Ibu bapa tidak boleh memilih untuk menunding jari kepada pihak lain jika sebarang masalah timbul sekiranya ibu bapa sendiri tidak cakna dengan kelakuan anak-anak. Keadaan ini bukanlah tanggungjawab kerajaan atau pihak sekolah semata-mata. Pihak sekolah hanya agen yang mengajar anak-anak untuk menimba ilmu pengetahuan. Sebaliknya, didikan seperti kelakuan yang baik, fikiran yang positif dan akhlak yang mulia semuanya bermula daripada rumah. Ibu bapa perlu menjadi contoh yang baik kepada anak-anak kerana mereka melihat setiap perbuatan dan pergerakan ibu bapa mereka.

Kesimpulannya, semua pihak memainkan peranan dalam membentuk jiwa dan minda anak muda pada hari ini. Anak-anak yang berada di sekolah merupakan produk untuk pembangunan negara kelak. Oleh itu, sekiranya sejak awal persekolahan lagi pelajar sudah melakukan perbuatan jenayah, apakah yang akan terjadi kepada masa hadapan? Siapakah yang akan memimpin negara dan menyumbang kepada kemaslahatan negara, masyarakat dan keluarga? Jika setiap pihak, terutamanya ibu bapa cakna akan isu ini, lebih banyak anak muda yang berakhlak mulia akan dilahirkan. Setiap ahli masyarakat perlu tahu bahawa masyarakat yang mundur juga merupakan masyarakat dan negara yang tidak selamat dan sentiasa dipenuhi dengan perbuatan jenayah. Oleh itu, ibu bapa sebagai pendidik terawal anak-anak perlu memainkan peranan dengan lebih jelas dan tegas. Jangan disebabkan cara didikan yang sambil lewa, menyebabkan anak-anak yang lain menjadi mangsa korban dan sekolah tidak lagi menjadi tempat yang selamat pada masa hadapan.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi