Diterbitkan pada 1 November 2025, 10:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sekolah wajar menjadi medan pembentukan insan yang berilmu dan berjiwa. Namun begitu, beberapa tahun kebelakangan ini, berita tentang kes membuli, merogol dan membunuh rakan sebaya semakin kerap menjadi paparan tajuk utama. Setiap kejadian mengundang pertanyaan yang mendalam, yakni ke manakah hilangnya rasa peri kemanusiaan dalam diri generasi muda yang bakal memimpin bangsa?

Data terkini Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) menunjukkan bahawa sebanyak 7681 kes buli dilaporkan pada tahun 2024. Kes ini meningkat sebanyak 1153 kes dari tahun sebelumnya. Kebanyakan kes salah laku ini berlaku dalam kawasan sekolah, tempat yang sepatutnya menjadi ruang selamat bagi membentuk akal budi dan sahsiah murid. Peningkatan angka ini menandakan bahawa budaya keganasan dalam kalangan murid bukan lagi kes terpencil, sebaliknya telah menjadi gejala sosial yang kian membarah.

Dalam tempoh yang singkat, negara digemparkan dengan pelbagai insiden menyayat hati. Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemui maut akibat ditikam oleh rakannya di tandas sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya. Laporan bedah siasat mendedahkan terdapat lebih daripada 200 kesan luka tikaman pada tubuh mangsa, antaranya termasuklah luka besar dan tusukan halus di beberapa bahagian badan. Kes tersebut telah membuka mata masyarakat bahawa keganasan dalam kalangan murid telah mencapai tahap yang amat mengerikan.

Manakala di Melaka, empat pelajar lelaki telah ditahan kerana disyaki merogol seorang pelajar perempuan secara bergilir-gilir. Dua lagi pelajar berusia 17 tahun didakwa atas pertuduhan rogol berkumpulan, amang seksual fizikal dan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap pelajar perempuan tingkatan tiga. Di Baling, Kedah, tiga pelajar serta seorang bekas pelajar turut ditahan kerana disyaki merogol seorang pelajar perempuan di kawasan sekolah. Dalam satu kejadian lain yang tular, pelajar senior dipercayai merogol pelajar junior di dalam kelas sementara perbuatan keji itu dirakam dan disebarkan melalui media sosial.

Kes kematian pelajar, Allahyarham Zara Qairina di Sabah yang jatuh dari bangunan asrama sekolah agama masih menjadi tanda tanya. Banyak pihak percaya bahawa tekanan akibat dibuli menjadi punca tragedi tersebut, sekali gus memperlihatkan kelemahan sistem perlindungan pelajar di asrama. Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menegur tindakan sesetengah sekolah yang didapati menyembunyikan kes buli demi menjaga imej institusi, sambil menegaskan bahawa perlindungan sedemikian merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap tanggungjawab mendidik.

Rangkaian peristiwa ini bukan sekadar laporan jenayah, tetapi cerminan kepada keruntuhan nilai dalam kalangan generasi muda. Kehilangan empati, belas kasihan dan hormat terhadap maruah manusia menunjukkan bahawa wujudnya krisis insaniah yang parah. Pendidikan yang sepatutnya melahirkan insan beradab kini berhadapan dengan tugas berat untuk memulihkan jiwa yang semakin beku.

Krisis Insaniah dan Hilangnya Nurani

Generasi baharu sedang dibesarkan dalam dunia digital yang mempercepat kehilangan nilai kemanusiaan. Media sosial memperlihatkan penderitaan manusia sebagai hiburan dan tontonan awam. Video penderaan dan penghinaan sering dijadikan bahan tular tanpa sedikit pun rasa bersalah. Budaya ini menyebabkan murid tidak lagi peka terhadap kesakitan orang lain.

Perbuatan merakam dan menyebarkan tindakan ganas terhadap rakan dianggap sebagai cara untuk mencari perhatian, bukannya kesalahan moral. Keadaan ini melahirkan remaja yang tidak lagi tahu membezakan antara gurauan dengan kezaliman. Anak-anak yang membesar dalam dunia yang menormalisasikan kekerasan akhirnya membesar tanpa rasa hormat terhadap nyawa dan maruah manusia lain.

Manakala, sistem pendidikan yang terlalu menyanjung pencapaian akademik turut menyumbang kepada kehilangan nilai kemanusiaan. Murid dilatih untuk bersaing, bukannya untuk memahami nilai kemanusiaan. Kejayaan diukur melalui markah dan sijil, bukan kehalusan budi atau kekuatan emosi. Ketika penekanan terlalu tertumpu pada peperiksaan, pembinaan sahsiah dan nilai moral semakin terpinggir dan kesannya, murid menjadi cerdas akal, tetapi kosong jiwanya.

Sekolah, yang sepatutnya menjadi ruang pembinaan akal dan hati, kini berubah menjadi medan penilaian tanpa henti. Apabila setiap kejayaan hanya diukur melalui keputusan peperiksaan, nilai kasih sayang, tolong-menolong dan hormat terhadap sesama manusia semakin terhakis. Sekolah akhirnya melahirkan pelajar yang bijak berhujah tetapi gagal berempati.

Guru sebagai Benteng Kemanusiaan

Guru merupakan benteng terakhir dalam mempertahankan nilai kemanusiaan di sekolah. Dalam dunia yang semakin keras dan individualistik, guru masih menjadi harapan untuk menyalakan kembali cahaya nurani ke dalam jiwa murid. Peranan guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah turut membentuk peribadi, membimbing perasaan dan menegakkan kebenaran.

Seorang guru yang berjiwa pendidik memahami bahawa setiap kata dan tindakan boleh meninggalkan kesan terhadap jiwa murid. Teguran berhemah, senyuman tulus dan perhatian ikhlas daripada seorang guru mampu mengubah arah hidup pelajar yang tersasar. Dalam kelas yang sarat dengan tekanan, kelembutan dan kesabaran guru sering menjadi benteng terakhir yang menjaga kewarasan pelajar.

Namun begitu, tanggungjawab ini tidak mudah dipikul. Guru berhadapan dengan beban kerja yang berat, keperluan pentadbiran yang banyak dan tekanan untuk menepati sasaran akademik. Situasi bertambah sukar apabila wujud pentadbiran sekolah yang lebih mengutamakan reputasi berbanding kesejahteraan murid. Guru yang cuba melapor kes buli atau gangguan sering berhadapan dengan tekanan dan stigma daripada pihak atasan. Apabila kejujuran dan keberanian dihalang, pendidikan kehilangan makna yang sebenarnya.

Guru juga berhadapan dengan generasi kini yang terdedah kepada budaya kasar, sinis dan cepat memberontak. Pengaruh media sosial menjadikan kebanyakan pelajar sukar menerima teguran serta tidak menghargai adab dalam komunikasi. Dalam keadaan ini, guru perlu berani menegakkan prinsip dengan kebijaksanaan dan kasih sayang. Pendidikan tidak boleh lagi bersifat menghukum semata-mata, tetapi harus mendidik jiwa dan membimbing hati.

Bahasa Melayu sebagai Teras Pendidikan Insaniah

Bahasa Melayu memiliki kekuatan yang luar biasa dalam pembinaan akal budi bangsa. Bahasa bukan sekadar alat berkomunikasi, tetapi wadah nilai, estetika dan kehalusan rasa. Melalui bahasa, manusia belajar memahami, menghargai dan menzahirkan empati terhadap orang lain.

Guru Bahasa Melayu mempunyai peranan besar dalam usaha membina semula jiwa murid. Teks sastera seperti cerpen, puisi dan drama boleh dijadikan medium untuk menanam nilai kemanusiaan. Karya sastera yang memaparkan kasih sayang, pengorbanan, penderitaan dan keinsafan mampu membuka mata murid terhadap erti kehidupan sebenar.

Pendekatan pengajaran yang reflektif, penulisan diari emosi dan perbincangan watak dapat membantu murid memahami makna tindakan manusia. Apabila pelajar membaca kisah seorang ibu yang berkorban demi anak atau seorang rakan yang dikhianati, mereka diajak untuk berfikir, “apakah yang akan kamu lakukan jika berada di tempat watak tersebut?” persoalan yang ditimbulkan itu secara tidak langsung dapat membuka ruang empati dan refleksi.

Pendidikan Bahasa Melayu harus dilihat sebagai pendidikan kemanusiaan. Setiap perkataan membawa makna, setiap ayat mengandungi jiwa dan setiap karya menanam nilai. Keindahan bahasa mampu menundukkan kekerasan jiwa. Oleh itu, bahasa perlu dikembalikan kepada peranan asalnya untuk membentuk manusia yang berfikir dengan akal dan merasa dengan hati.

Menjana Semula Jiwa Insan

Krisis kemanusiaan yang melanda sekolah tidak akan pulih dengan hukuman semata-mata. Murid yang membuli atau melakukan kekerasan perlu dididik untuk memahami akibat perbuatannya terhadap orang lain. Setiap program sekolah haruslah berteraskan nilai kasih, hormat dan tanggungjawab.

Aktiviti khidmat masyarakat seperti ceramah reflektif atau projek empati “Rakan Penyayang” dapat menjadi ruang untuk murid merasai makna kemanusiaan melalui tindakan. Sekolah juga perlu menyediakan saluran aduan yang selamat dan telus agar murid berani melapor tanpa rasa takut. Peranan guru kaunselor harus diperkasakan dengan latihan psikologi dan kemahiran mendengar secara empatik.

Latihan profesional guru perlu diberikan tumpuan kepada kecerdasan emosi dan kemahiran bimbingan nilai. Seorang guru yang mampu membaca hati murid lebih berkesan dalam menyalurkan kasih dan mendidik dengan hikmah. Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menekankan pembentukan insan seimbang dan berakhlak perlu dihidupkan semula dalam setiap dasar dan amalan sekolah.

Peranan ibu bapa tidak kurang pentingnya. Rumah yang dipenuhi kasih sayang akan melahirkan anak yang penyayang. Jika rumah menjadi tempat tekanan dan kekasaran, anak akan membawa luka itu ke sekolah. Oleh itu, usaha membina generasi berperikemanusiaan memerlukan kesepaduan antara guru, ibu bapa dan masyarakat.

Tragedi buli, rogol dan bunuh dalam kalangan murid sekolah bukan lagi amaran, tetapi petanda bahawa sistem nilai bangsa sedang rapuh. Setiap kali pelajar menyakiti rakan sekelas, seluruh sistem pendidikan perlu menyoal dirinya tentang apa-apa yang telah gagal diajarkan.

Guru merupakan tiang terakhir yang mempertahankan nurani bangsa. Dengan ilmu dan kasih, mereka mampu menyalakan kembali cahaya kemanusiaan yang kian pudar. Pendidikan Bahasa Melayu harus diangkat sebagai nadi pembentukan jiwa bangsa kerana dalam bahasa terkandung roh budi, santun dan kasih.

Negara tidak akan makmur jika generasinya kehilangan hati. Dunia boleh melahirkan manusia berilmu dan berteknologi tinggi, tetapi tanpa nilai kemanusiaan, mereka hanyalah jasad tanpa jiwa. Pendidikan harus kembali kepada tujuannya yang sejati membina manusia yang berakal, beradab dan berhati.

Apabila hati menjadi dingin, jiwa bangsa akan membarah. Namun begitu, selama masih ada guru yang mengajar dengan kasih, bahasa yang ditutur dengan adab dan pendidikan yang berpaksikan nilai insaniah, bangsa ini akan terus hidup dengan jiwa yang luhur dan bermaruah.

Dr. Mohd. Zikri Ihsan Mohamad Zabhi, ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi