Diterbitkan pada 19 November 2025, 11:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam era globalisasi yang semakin rancak, program mobiliti pelajar ke luar negara muncul sebagai satu daripada inisiatif penting dalam pendidikan tinggi. Universiti bukan sekadar institusi terasing, sebaliknya menjadi pemangkin dalam proses pemerkasaan jaringan global. Melalui program mobiliti antarabangsa, para pelajar berpeluang menambah pengetahuan, menyertai latihan industri, menjalankan penyelidikan atau mengikuti program pertukaran di negara asing. Fenomena ini bukan sahaja memberikan pengalaman unik kepada pelajar, malah mengangkat martabat institusi dan memberikan pulangan besar kepada negara.

Program mobiliti pelajar antarabangsa menyemarakkan hubungan silaturahim dan penghayatan budaya berbeza.

Manfaat paling ketara dengan penganjuran program mobiliti ialah peluang untuk memupuk aktiviti pertukaran budaya. Apabila pelajar Malaysia berada di luar negara, mereka bukan sahaja mempelajari ilmu di dalam bilik kuliah tetapi turut menyerap nilai, adat dan gaya hidup masyarakat tempatan. Pendedahan ini meluaskan perspektif, memupuk toleransi dan menjadikan mereka lebih berfikiran terbuka.

Pada masa yang sama, pelajar juga bertindak sebagai duta kecil negara yang membawa bersama warisan budaya Malaysia melalui makanan, pakaian, seni dan adat istiadat. Kehadiran mereka akan menambah kefahaman rakan antarabangsa terhadap identiti Malaysia yang berbilang kaum dan berjiwa harmoni.

Peserta program mobiliti pelajar antarabangsa berpeluang merasa kulinari makanan tradisional negara yang dikunjungi oleh mereka.

Lebih penting lagi, program mobiliti antarabangsa juga memberikan peluang untuk memperkenalkan bahasa Melayu dalam slot budaya. Bahasa kebangsaan merupakan lambang jati diri bangsa dan aset penting dalam diplomasi budaya. Pelajar boleh memperkenalkan ungkapan mudah seperti “selamat pagi” atau “terima kasih”, sekali gus menarik minat rakan antarabangsa mengenali bahasa Melayu dengan lebih mendalam. Usaha ini secara tidak langsung memperkukuh kedudukan bahasa Melayu pada peringkat global, di samping menonjolkan identiti nasional pelajar Malaysia.

Peserta program mobiliti pelajar antarabangsa boleh meneroka kemajuan teknologi dan infrastruktur moden dari negara maju.

Program mobiliti antarabangsa juga menjadi wahana penting dalam membangunkan pelajar yang holistik. Dari sudut kemahiran teknikal, mereka akan mendapat pendedahan kepada teknologi terkini, infrastruktur moden serta pendekatan pengajaran berasaskan inovasi. Sebagai contoh, seorang pelajar dalam bidang kejuruteraan yang mengikuti program di negara Jerman, misalnya, dapat menguasai sistem automasi industri canggih, manakala pelajar perubatan di Australia boleh mempelajari kaedah rawatan berteknologi tinggi. Kepakaran yang didapati menerusi program mobiliti ini dapat dibawa pulang untuk dikongsikan bersama-sama dengan warga tempatan sekali gus meningkat kecekapan organsasi dan ilmu pengetahuan.

Selain itu, kemahiran insaniah yang merupakan satu daripada kemahiran yang diperlukan oleh graduan pada hari ini akan turut berkembang. Hidup di negara asing menuntut kebolehan menyesuaikan diri, berkomunikasi dalam bahasa lain dan menyelesaikan masalah secara berdikari. Para pelajar dapat belajar mengurus masa, mengatasi tekanan, dan berinteraksi dengan pelbagai latar budaya. Nilai kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan dan daya tahan mental terasah sepanjang pengalaman mobiliti. Gabungan kemahiran teknikal dan insaniah ini melahirkan graduan yang seimbang, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja global yang semakin kompetitif.

Peserta program mobiliti pelajar antarabangsa boleh mengetahui penyelidikan berimpak terkini yang sedang dijalankan di negara yang dilawati.

Walaupun program mobiliti sering dikaitkan dengan pelajar, namun pensyarah juga turut menerima manfaat secara langsung. Pensyarah yang terlibat sebagai penyelia, mentor atau koordinator mendapat pendedahan kepada pendekatan antarabangsa dalam pengajaran dan penyelidikan. Mereka berpeluang untuk mewujudkan kerjasama dengan rakan sejawat luar negara dalam menghasilkan modul, menyelia pelajar antarabangsa atau mengendalikan seminar bersama-sama.

Pendedahan ini meningkatkan profesionalisme pensyarah dalam aspek pedagogi, kepimpinan akademik serta penerbitan. Sebagai contoh, pensyarah yang pernah menjadi penyelia mobiliti di Eropah mungkin membawa pulang pendekatan pengajaran dan pembelajaran terkini atau terancang di sana untuk diaplikasikan di Malaysia. Dalam jangka panjang, keadaan ini akan memperkayakan ekosistem pendidikan universiti tempatan.

Peserta program mobiliti pelajar antarabangsa boleh meningkatkan kemahiran praktikal dan pengetahuan teknikal dalam usaha memenuhi keperluan industri.

Satu daripada pulangan besar program mobiliti ialah potensi menjalin kerjasama akademik dan industri. Universiti lazimnya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan institusi luar negara bagi membolehkan pelajar dihantar dan diterima. MoU ini sering melibatkan lebih daripada sekadar pertukaran pelajar, malah turut merangkumi kerjasama penyelidikan, pembangunan kurikulum dan pertukaran staf akademik.

Bagi pelajar, kehadiran mereka dapat membuka ruang bagi membina rangkaian profesional yang berterusan selepas tamat pengajian. Hubungan ini boleh berkembang menjadi kerjasama penyelidikan, perniagaan atau projek inovasi. Bagi universiti pula, jaringan antarabangsa meningkatkan reputasi global, memudahkan akses kepada dana penyelidikan bersama dan menambah peluang penjenamaan di persada antarabangsa.

Pensyarah program mobiliti antarabangsa boleh menganjurkan jaringan kerjasama dengan industri gergasi luar negara.

Mobiliti pelajar juga membuka peluang memperoleh geran dan pembiayaan. Banyak agensi antarabangsa menawarkan dana khas untuk menyokong pertukaran pelajar, antaranya termasuklah program Erasmus+ di Eropah atau program Fulbright di Amerika Syarikat. Dana ini merangkumi pembiayaan kos sara hidup, pembelian tiket penerbangan, malah yuran pengajian yang boleh memberikan manfaat berguna kepada pelajar.

Universiti yang aktif dalam mobiliti juga berpeluang memperoleh dana tambahan untuk penyelidikan rentas sempadan dan pembangunan kapasiti akademik. Dana ini boleh digunakan untuk menaik taraf makmal, menambah koleksi perpustakaan atau menjalankan projek inovasi bersama. Secara tidak langsung, universiti tempatan dapat meningkatkan keupayaan tanpa menanggung kos besar. Selain itu, program mobiliti turut menyemarakkan aktiviti akademik di kampus. Kehadiran pelajar antarabangsa ke Malaysia melalui program pertukaran mendorong universiti menganjurkan seminar, bengkel, kolokium dan simposium bersama. Aktiviti ini memberikan ruang kepada pelajar untuk mempersembahkan hasil penyelidikan dan berinteraksi dengan pemikir antarabangsa.

Peserta program mobiliti pelajar antarabangsa boleh menyemai kemahiran insaniah dan pembentukan sahsiah menerusi lawatan ke kompleks kebudayaan di negara asing.

Manfaat mobiliti tidak hanya berhenti pada peringkat individu atau universiti, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan negara. Graduan yang pulang membawa ilmu, kemahiran dan jaringan antarabangsa mampu menjadi agen perubahan. Mereka boleh memperkenalkan teknologi baharu, menyumbang kepada dasar kerajaan atau memacu sektor industri strategik. Sebagai contoh, pelajar yang mengikuti mobiliti dalam bidang alam sekitar di Belanda mungkin membawa pulang pengetahuan tentang pengurusan air bersepadu. Ilmu ini boleh digunakan untuk mengatasi cabaran banjir dan kemarau di Malaysia. Dengan cara ini, mobiliti pelajar memberikan pulangan nyata kepada penyelesaian masalah negara.

Peserta program mobiliti pelajar antarabangsa boleh menilai aspek gaya hidup dan pembangunan sosioekonomi setempat untuk disesuaikan di Malaysia.

Namun begitu, program mobiliti juga berdepan dengan cabaran. Kos yang tinggi sering menjadi halangan kepada pelajar yang berasal daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Isu penyesuaian budaya, keselamatan dan perbezaan sistem akademik turut menimbulkan kesukaran. Bagi mengatasi cabaran ini, kerajaan perlu menyediakan biasiswa, tabung khas atau skim pinjaman pendidikan. Universiti pula harus memberikan kursus bahasa, latihan pramobiliti serta sokongan kaunseling agar pelajar lebih bersedia. Dengan perancangan rapi, cabaran ini boleh diatasi dan manfaat mobiliti dapat diperluas kepada lebih banyak pelajar.

Secara keseluruhannya, program mobiliti pelajar ke luar negara membawa pelbagai manfaat besar, bukan sahaja memperkukuh pertukaran budaya dan mengangkat bahasa Melayu ke pentas antarabangsa, tetapi juga membangunkan pelajar secara menyeluruh dari aspek teknikal dan insaniah. Pensyarah yang terlibat mendapat pendedahan profesional, manakala universiti pula menikmati kerjasama global, dana penyelidikan serta suasana akademik yang lebih rancak. Akhirnya, negara turut meraih pulangan melalui generasi muda yang berpengetahuan global, berkemahiran tinggi dan berdaya saing.

Dalam dunia yang semakin terhubung, program mobiliti pelajar bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan strategik. Malaysia harus terus memperkukuh dasar dan menyediakan sokongan supaya lebih banyak pelajar dapat menyertai program ini. Hanya dengan itu, kita benar-benar dapat menuai manfaat mobiliti untuk melahirkan warganegara global yang berilmu, beridentiti dan mampu memacu kemajuan negara di persada antarabangsa.

Kredit Foto: Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi