Diterbitkan pada 24 November 2025, 14:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sejak kebelakangan ini, negara kita sering digemparkan dengan rentetan insiden tragis yang melibatkan pelajar sekolah. Daripada kes buli yang meragut nyawa di Sabah, kes rogol yang membabitkan pelajar di Melaka dan di Kedah, sehinggalah peristiwa menyayat hati di sebuah sekolah di Lembah Klang, di mana seorang pelajar perempuan maut ditikam oleh rakan sekelasnya sendiri. Kejadian seumpama ini sewajarnya perlu menjadi satu panggilan “kecemasan“ kepada semua pihak, bahawa keselamatan pelajar tidak boleh dikompromi dan mesti menjadi keutamaan dalam setiap dasar pendidikan negara, dan bukan sekadar perincian dalam dokumen pentadbiran. Sekolah, yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk menimba ilmu dan membina sahsiah, kini menimbulkan persoalan yakni sejauh manakah pelajar kita benar-benar selamat di dalamnya?

Apabila terdapat segelintir pelajar yang tidak bermoral ini sudah berani melakukan jenayah seperti rogol, buli dan membunuh di dalam kawasan sekolah, sekali gus membuktikan bahawa terdapat banyak kelompongan tertentu.Kelemahan ini perlu ditangani segera melalui reformasi menyeluruh terhadap dasar keselamatan, pendidikan moral dan pemantapan aspek psikologi pelajar.

Jika dahulu kebimbangan ibu bapa hanya berkisar pada kerja rumah atau keputusan peperiksaan. Kini, keresahan itu berubah wajah. Setiap kali anak melangkah ke pagar sekolah, ada doa yang diiringi dengan penuh debaran dan kerisauan, seperti “Ya Allah, lindungilah anakku pada hari ini.” Sekolah yang dahulunya sinonim dengan keceriaan dan tawa pelajar kini sering dikaitkan dengan tragedi yang tragis seperti buli yang membawa maut, gangguan seksual, bahkan kes pembunuhan. Sudah tiba masanya keselamatan pelajar dilihat bukan sebagai isu sampingan, sebaliknya sebagai teras utama dasar pendidikan nasional yang menajadi satu komitmen moral dan sosial yang tidak boleh dikompromi.

Mewujudkan Sekolah yang Selamat

Keselamatan merupakan asas penting dalam persekitaran pembelajaran. Kawasan dan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif menjadi perkara penting dalam menjamin keselamatan dan kesejahteraan pelajar. Bukan sahaja penekanan aspek keselamatan di rumah malah di sekolah juga turut memainkan peranan penting dalam memastikan kawasan pembelajaran selamat digunakan oleh pelajar. Apakah yang dimaksudkan dengan sekolah yang selamat? Sekolah yang selamat didefinisikan sebagai persekitaran sekolah yang selamat di mana seluruh warganya berasa selamat tanpa gangguan daripada mana-mana pihak sama ada dari dalam atau luar sekolah. Kementarian Pendidikan Malaysia pula menghuraikan sekolah yang selamat sebagai “Sekolah yang sentiasa berada dalam keadaan selamat dan bebas daripada insiden yang tidak diingini seperti murid dibuli, diculik, diugut, diperkosa, pelibatan dalam penagihan dadah, gengster dan melibatkan diri dalam “tired society”, atau dalam kes yang lebih serius, seperti membunuh.

Krisis Keyakinan Sosial

Realiti kini, kepercayaan ibu bapa terhadap sistem persekolahan semakin goyah. Jika dahulu menyerahkan anak ke tangan guru sebagai tanda kepercayaan yang tinggi, namun kini, menjadi suatu tindakan yang penuh dengan waspada. Ada ibu bapa yang memasang kamera kecil pada beg anak, ada yang menyoal anak setiap hari tentang apa yang berlaku di sekolah dan ada juga yang mula mempertimbangkan alternatif seperti persekolahan di rumah atau “homeschooling” demi keselamatan.

Fenomena ini bukan sekadar paranoia semata-mata, namun merupakan refleksi daripada realiti yang sering dipaparkan dan tular dalam media sosial, antaranya termasuklah video rakaman pelajar dipukul, dibuli tanpa belas kasihan, dirogol dan dirakam secara terbuka. Setiap paparan itu menambah luka psikologi dalam kalangan masyarakat dan akhirnya mewujudkan rasa tidak percaya terhadap institusi pendidikan.

Dalam konteks psikologi sosial, keadaan ini dikenali sebagai collective fear, iaitu ketakutan bersama yang terbentuk akibat pendedahan berulang terhadap tragedi. Apabila kepercayaan terhadap institusi pendidikan runtuh, bukan hanya hubungan antara ibu bapa dengan sekolah yang terjejas, malah motivasi pelajar untuk belajar juga turut merosot. Sekolah tidak lagi dianggap sebagai ruang pembelajaran untuk membina masa hadapan, tetapi sebagai tempat yang berisiko dan menakutkan.

Di manakah Silap Kita?

Kita sering menyempitkan perbincangan tentang keselamatan pelajar kepada soal disiplin. Seolah-olah semuanya selesai apabila pelaku dihukum atau digantung sekolah. Namun begitu, realitinya jauh lebih rumit. Masalah ini berpunca daripada pelbagai aspek sosial, budaya dan sistem itu sendiri.  Kita juga kerap menuding jari kepada pelajar yang “nakal” atau guru yang “tidak tegas” apabila sesuatu tragedi itu berlaku. Namun begitu, hakikatnya isu keselamatan di sekolah merupakan masalah sistemik yang berpunca daripada kegagalan kolektif dalam mendidik generasi yang berjiwa empati dan berakhlak. Masalah ini tidak boleh diselesaikan dengan hukuman semata-mata, namun memerlukan perubahan menyeluruh terhadap nilai, dasar dan budaya sekolah. Oleh itu, di manakah silap kita semua? Apakah permasalahan yang sering diabaikan?

  1. Krisis Nilai dan Empati: Generasi yang Hilang Sensitiviti

Generasi kini dibesarkan dalam dunia yang menyanjung pencapaian akademik, tetapi mengabaikan nilai kemanusiaan dan perasaan belas ihsan. Anak-anak belajar untuk bersaing, bukan memahami. Mereka bijak menilai markah, tetapi gagal membaca emosi rakan sendiri. Bila hati kering daripada sifat empati, manusia lebih mudah menganggap penderitaan orang lain sebagai satu hiburan atau permainan.

Cadangan penambahbaikan:

  • Mengintegrasikan pendidikan emosi dan empati dalam sukatan pelajaran melalui modul Social Emotional Learning (SEL) yang berteraskan nilai Islamik seperti ihsan, rahmah dan tanggungjawab sosial.
  • Melaksanakan aktiviti kolaboratif seperti mentor menti, program khidmat masyarakat dan sukarelawan untuk menanam empati secara praktikal.
  • Memastikan ibu bapa menanam nilai kasih dan hormat melalui komunikasi terbuka di rumah dan bukan sekadar arahan serta hukuman.
  1. Kelemahan Institusi Sekolah

Sesetengah sekolah terlalu menekankan kecemerlangan akademik sehingga menafikan kepentingan pembangunan moral dan kesejahteraan mental pelajar. Lebih malang, ada kes yang disenyapkan atas alasan “menjaga nama baik sekolah.”

Langkah yang disarankan:

  • Melaksanakan reformasi kurikulum untuk menyeimbangkan pencapaian akademik dan pembinaan sahsiah.
  • Menambah bilangan kaunselor profesional dan menyediakan ruang selamat bagi pelajar mendapatkan bantuan.
  • Mewujudkan budaya sekolah yang seimbang. Dengan memperkenalkan Indeks Kesejahteraan Pelajar (Wellbeing Index) yang diukur secara berkala sebagai penanda aras kejayaan sesebuah sekolah.
  1. Pengawasan Lemah dan Polisi Keselamatan yang Longgar

Masih banyak sekolah tidak mempunyai garis panduan keselamatan yang jelas. Tiada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berisiko, tiada latihan kecemasan dan tiada mekanisme pelaporan yang berkesan.

Cadangan konkrit:

  • Setiap kes buli atau jenayah mestilah disiasat secara profesional dan bukannya diselesaikan “secara dalaman” demi menjaga imej sekolah.
  • Guru dan pelajar perlu diberikan latihan pengurusan risiko serta kemahiran mengenal pasti tanda-tanda awal keganasan.
  • Kerjasama antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), polis komuniti dan agensi sosial perlu diperkukuh bagi memastikan keselamatan pelajar menjadi tanggungjawab bersama.
  1. Sokongan Psikologi yang Rapuh dan Tidak Menyeluruh

Kebanyakan kes buli dan jenayah pelajar berpunca daripada tekanan emosi, kemurungan atau trauma yang tidak ditangani. Selain itu, turut disebabkan oleh sistem sokongan psikologi di sekolah yang masih bersifat reaktif, iaitu hanya bertindak selepas tragedi berlaku.

Langkah penambahbaikan:

  • Melaksanakan sistem intervensi awal untuk mengenal pasti pelajar yang berisiko tinggi.
  • Melatih guru dan warden asrama dengan pendekatan trauma-informed care, iaitu pendekatan menyeluruh dalam penjagaan yang sedar bahawa trauma boleh menjejaskan individu, agar mereka bertindak dengan lebih empati.
  • Menormalisasikan program kesedaran kesihatan mental dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan institusi agama tempatan bagi menghapuskan stigma.
  1. Pengaruh Media Sosial dan Budaya Digital yang Tidak Bertapis

Generasi muda kini hidup dalam dunia digital tanpa sempadan, di mana kekerasan dan kelucahan menjadi “hiburan.” Mereka menonton tanpa menilai dan menyerap tanpa berfikir. Tanpa literasi media yang kukuh, mereka akan mudah terpesong dari landasan yang benar.

 Cadangan yang disyorkan:

  • Meningkatkan pendidikan literasi media agar pelajar mampu menilai kandungan secara kritikal.
  • Memperkenalkan panduan mengenai tingkah laku dan etika yang betul dalam dunia digital atau Code of Digital Ethics di sekolah sebagai panduan etika dalam penggunaan media sosial.

Kita Semua Bertanggungjawab

Isu keselamatan pelajar bukan hanya tanggungjawab sekolah atau kerajaan, tetapi cerminan masyarakat keseluruhannya. Kita mungkin boleh menambah kamera, pagar dan pengawal, namun selagi hati tidak dididik dengan nilai kemanusiaan, semuanya hanya sia-sia sahaja.

Pendidikan moral dan sivik mesti dihidupkan bukan sekadar di atas kertas, tetapi dalam budaya dan jiwa setiap warga sekolah. Guru, pelajar dan pentadbir sekolah perlu membina komuniti yang berasaskan nilai kasih sayang, saling menghormati dan tanggungjawab.

Apabila sesuatu insiden berlaku di sekolah, implikasinya akan menjalar ke seluruh masyarakat, pelajar mengalami trauma, guru mengalami tekanan, ibu bapa akan hilang kepercayaan. Maka, langkah pencegahan bukan lagi pilihan, tetapi kewajipan moral bersama. Pepatah Melayu ada menyebut; “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.” Jangan tunggu tragedi berikutnya untuk kita benar-benar sedar bahawa keselamatan pelajar bukan sekadar statistik, namun soal nyawa, masa hadapan dan nilai kemanusiaan bangsa.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi