Diterbitkan pada 25 November 2025, 09:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam era digital masa kini, perhatian kanak-kanak sering tertumpu pada skrin gajet berbanding dengan dunia sebenar di sekeliling mereka. Namun begitu, di Surau Darul Safwah, Alor Damat, suasana yang berbeza dapat disaksikan. Halaman surau yang sebelum ini sunyi kini dipenuhi dengan suara riang kanak-kanak yang sedang belajar mengenali tanah, menyemai benih dan memahami hubungan antara manusia dengan alam.

Melalui sokongan Geran Komuniti Program Literasi Ecobahasa untuk Kelestarian telah dilaksanakan sebagai satu usaha pendidikan berasaskan projek (Project-Based Learning) untuk menggabungkan celik ekologi, penguasaan bahasa dan pelibatan komuniti secara holistik. Program ini turut melibatkan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), surau, sekolah serta ibu bapa setempat.

Surau sebagai Pusat Pembelajaran Komuniti

Tradisi pendidikan Islam menjadikan surau bukan sahaja sebagai tempat ibadah, tetapi juga ruang penyebaran ilmu. Program ini mengembalikan fungsi tersebut dengan memperkenalkan modul pembelajaran alam dan bahasa dalam suasana yang mesra kanak-kanak.

Aktiviti penanaman sayuran seperti bayam Brazil, kangkung, cili dan herba menjadi medium pembelajaran sains asas. Kanak-kanak bukan sahaja memerhati, malah melakukan sendiri proses penyediaan tanah, menyemai biji benih, memindahkan anak pokok dan mencatat pemerhatian harian.

Aktiviti yang dilakasanakan oleh peserta di dalam surau.

Firman Allah SWT dalam Surah al-An‘am, 6:99, mengingatkan bahawa, “Dialah yang menurunkan air dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air itu segala jenis tumbuhan.

Ayat ini menjadi asas penghayatan bahawa usaha menjaga dan menghidupkan alam merupakan sebahagian daripada ibadah dan amanah manusia terhadap bumi.

Bahasa sebagai Medium Pengalaman Bermakna

Satu daripada keunikan program ini ialah pendekatan ecopendidikan berasaskan bahasa. Program ini turut menerapkan pembelajaran Bahasa Inggeris secara tidak formal melalui pengalaman konkrit yang berkait rapat dengan aktiviti harian. Dalam situasi ini, bahasa berfungsi sebagai alat komunikasi, bukan sekadar mata pelajaran.

Kanak-kanak menggunakan kosa kata berkaitan dengan tumbuhan dan penjagaan alam dalam konteks sebenar. Penggunaan bahasa secara spontan ini menjadikan pembelajaran lebih autentik, di samping meningkatkan keyakinan mereka untuk bertutur dalam situasi sebenar.

Lebih penting, penggunaan bahasa dalam interaksi sosial membantu membina karakter. Kanak-kanak digalakkan berhubung dalam kumpulan WhatsApp untuk pembahagian tugasan harian dan mingguan bagi memperkukuh nilai kerjasama, disiplin dan rasa tanggungjawab. Penggunaan bahasa yang baik dan tepat digalakkan dalam perbualan dalam talian.

Pembelajaran Bersepadu: Sains, Bahasa dan Teknologi

Program ini turut memperkenalkan kemahiran literasi digital melalui penghasilan poster menggunakan Canva dan video pendek untuk dokumentasi projek. Melalui aktiviti ini, kanak-kanak mengintegrasikan:

  • Konsep sains tumbuhan.
  • Kosa kata asas Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
  • Elemen seni visual.
  • Kemahiran teknologi.

Walaupun aktiviti yang dilaksanakan mudah dan ringkas, namun dapat memberikan pendedahan awal kepada peserta untuk mengaplikasikan kemahiran pembelajaran abad ke-21 seperti kreativiti, komunikasi digital dan pemikiran reka bentuk.

Antara aktiviti yang dilaksanakan oleh peserta program.

Menghidupkan Amalan Lestari

Mengindahkan halaman surau dengan tanaman bukan sekadar usaha fizikal, namun menjadi latihan rohani dan sosial bagi membentuk kecintaan terhadap tempat beribadah.

Kanak-kanak dapat belajar tentang memakmurkan surau bukan hanya dilakukan melalui ibadah ritual, tetapi juga melalui penjagaan ruang, kebersihan dan keramahan alam sekitar. Surau menjadi pusat pertemuan antara ilmu, nilai dan komuniti.

Model Pendidikan Komuniti yang Bersepadu

Program ini membuktikan bahawa pendidikan berkualiti tidak semestinya memerlukan perbelanjaan besar. Dengan sokongan komuniti dan pendekatan bersepadu, program seperti ini berpotensi untuk diperluas ke surau dan sekolah yang lain sebagai model pendidikan akar umbi seperti yang berikut:

  1. Mengintegrasikan keilmuan moden dan nilai keagamaan.
  2. Memupuk literasi ekologi sejak kecil.
  3. Memperkukuh penggunaan bahasa dalam konteks alami.
  4. Mendekatkan institusi pendidikan tinggi kepada masyarakat.
  5. Menggalakkan interaksi harmoni antara manusia dan alam.

Inisiatif ini menunjukkan bahawa pendidikan yang baik ialah pendidikan yang dekat dengan kehidupan. Daripada segenggam tanah dan benih kecil, tercetus minat baharu untuk mengetahui, memahami dan memelihara.

Apabila kanak-kanak belajar dengan hati yang gembira, bahasa yang mereka ucapkan menjadi lebih hidup. Apabila mereka berkebun di halaman surau, hubungan dengan pencipta dan alam menjadi lebih mendalam.

Ecopendidikan seperti ini wajar berkembang di seluruh negara sebagai usaha membentuk generasi muda yang berilmu, berjiwa lestari dan berbahasa dengan baik.

Sebagai rekod, program pemerkasaan komuniti melalui pendidikan lestari ini dilaksanakan dengan sokongan Universiti Malaysia Terengganu menggunakan Dana Knowledge and Technology Assimilation Grant Scheme (KTAGS) Tahun 2025.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi