Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Malaysian Amateur Radio Transmitters Society (MARTS) mengaktifkan Respons Bencana bagi seluruh rangkaian radio amatur susulan keadaan banjir yang semakin memburuk di Pantai Timur dan Utara Semenanjung.
Presidennya, YBrs. Ir. Hj. Mohd Aris Bernawi berkata pengaktifan itu bertujuan memastikan komunikasi radio amatur berfungsi sebagai sistem sokongan yang cekap, berdisiplin dan selaras dengan keperluan agensi penyelamat kerajaan.
Beliau menegaskan kepentingan prinsip “One Center, One Command” seperti yang digariskan dalam Arahan NADMA No. 1, bagi memastikan penyelarasan komunikasi yang tepat sepanjang operasi bencana.
Menurutnya, semua Ketua Koordinasi MARTS negeri dan daerah wajib melaporkan diri kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri atau Pegawai Daerah sebelum melaksanakan tugas.
YBrs. Ir. Mohd Aris turut menekankan bahawa semua pengendali radio amatur hanya boleh bertindak atas permintaan rasmi agensi utama seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
Beliau berkata lagi, pengaktifan atau pergerakan secara sukarela tanpa koordinasi rasmi adalah dilarang atas faktor keselamatan dan tatacara pentadbiran.
Bagi kelancaran operasi komunikasi, semua ahli diarahkan mematuhi etika rangkaian International Amateur Radio Union (IARU) termasuk mewujudkan Stesen Kawalan Net (NCS) bertauliah, menggunakan frekuensi kecemasan yang ditetapkan serta mendapatkan kebenaran NCS sebelum memancar.
“Keutamaan mesti diberikan kepada mesej kecemasan dan keperluan logistik. Semua laporan situasi (SITREP) wajib direkodkan secara bertulis menggunakan format mesej berstruktur, manakala perbualan tidak penting hanya dibenarkan apabila frekuensi benar-benar lengang,” katanya.
Beliau menambah bahawa keselamatan pengendali turut diberikan penekanan selaras dengan Garis Panduan Keselamatan IARU. Pengendali dilarang memasuki kawasan berisiko tinggi tanpa kelengkapan perlindungan diri dan perlu memastikan bekalan kuasa, makanan dan ubat-ubatan mencukupi untuk 72 jam operasi tanpa bantuan luar.
“Dalam situasi bencana, radio amatur bukan sekadar hobi, tetapi duta profesional komunikasi negara. Dengan menggabungkan struktur arahan NADMA dan piawaian teknikal IARU, kita memastikan setiap pancaran radio memberikan nilai kepada usaha menyelamat mangsa. Saya menyeru semua ahli mengekalkan profesionalisme dan mematuhi arahan PKOB,” katanya.
MARTS turut menggesa semua pengendali radio amatur berlesen supaya memantau frekuensi kecemasan yang diwartakan dan bersedia untuk dikerahkan apabila diperlukan. Kejadian bekalan elektrik dan telekomunikasi terputus di Hatyai, Thailand, menjadi peringatan bahawa radio amatur perlu kekal beroperasi dalam situasi kritikal seperti banjir besar.