Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada asalnya, universiti ditubuhkan berasaskan konteks agama dalam pendidikan yang bertujuan untuk memajukan tamadun. Sebagai contoh, Universiti al-Qarawiyyin di Fez, Maghribi yang dipercayai oleh masyarakat beragama Islam sebagai universiti pertama di dunia telah dibina pada tahun 859 Masihi dengan binaan yang bersambung dengan masjid untuk mengajar agama Islam. Sementara itu, Universiti Nalandia di India yang dipercayai oleh masyarakat lain sebagai universiti tertua di dunia yang ditubuhkan seawal abad ke-5, memiliki bangunan gereja yang amat besar dan berperanan melahirkan biksu.
Menurut George Makdisi dalam bukunya The Rise of Colleges, Universiti al-Qarawiyyin telah menjadi contoh kepada universiti-universiti di Eropah sebagai pelopor struktur pengajian formal seperti penganugerahan ijazah dan kaedah pengajaran. Universiti Nalandia pula dicatatkan oleh mahasiswanya, Xuanzang dalam The Great Tang Dynasty Record of the Western Regions sebagai destinasi utama pilihan penganut agama Buddha dari seluruh Asia.
Seterusnya, universiti di seluruh dunia telah berevolusi pada Zaman Pertengahan (Middle Ages) dari segi pengajaran bagi memenuhi keperluan manusia. Hal ini dibahaskan oleh Charles Homer Haskins dalam The Rise of Universities. Sebelum ini, ijazah menjadi penanda aras kesarjanaan teologi seseorang, namun kemudiannya telah berubah menjadi lesen untuk mengiktiraf kelayakan doktor dan peguam. Hal ini disebabkan oleh keperluan kerajaan untuk memiliki tenaga kerja pakar yang memenuhi jawatan dalam bidang profesional.
Sungguhpun universiti telah melahirkan golongan profesional, institusi ini tetap memainkan peranannya dalam mengembangkan tradisi pemikiran yang kritis dan meluas. Edward Grant dalam The Foundations of Modern Science in the Middle Ages menyatakan bahawa universiti berperanan untuk mempertahankan pemikiran rasional. Hal ini demikian kerana universiti menjadi tempat para sarjana berkongsi pandangan, berwacana dan berbincang berasaskan logik.
Perkembangan fungsi universiti bukan sahaja dapat melahirkan golongan profesional, malah pemikir dan pengembang ilmu yang hebat. Sejarah perkembangan universiti pada abad ke-19 telah dibincangkan oleh Wilhelm von Humboldt. Beliau ialah sarjana yang meletakkan asas bagi universiti moden sebagai tempat penyebaran ilmu dalam sebuah komuniti guru dan mahasiswa yang bersinergi melalui penyelidikan.
William Clark dalam bukunya, Academic Charisma and the Origins of the Research University pula menyebutkan pandangan von Humboldt tentang universiti sebagai tempat pembelajaran lanjutan yang bukan sekadar mengulangi dogma lama, tetapi juga tempat yang membentangkan ilmu baharu atau ilmu yang masih dalam proses penghasilan. Cetusan revolusi von Humboldt ini mengubah peranan profesor daripada seorang tukang ajar kepada pengkaji.
Akhir sekali, Clark Kerr dalam bukunya The Uses of the University memperkenalkan konsep Universiti Pelbagai (Multiversity). Konsep ini menekankan keseimbangan antara dua peranan, iaitu peranan vokasional dan peranan mengembangkan ilmu. Walaupun universiti moden sudah berfungsi sebagai pemberi khidmat kepada masyarakat melalui tenaga kerja profesional yang dilahirkan seperti jurutera, peguam dan doktor, Clark Kerr percaya bahawa universiti tidak boleh mengkhianati komitmen asasnya terhadap penyelidikan dan pendidikan liberal. Seandainya universiti menjadi institusi vokasional semata-mata, universiti akan kehilangan jiwanya.
Pada zaman kecerdasan buatan sekarang ini, ada dalam kalangan masyarakat yang mempersoalkan kewajaran melanjutkan pengajian di universiti kerana pekerjaan sebagai pemandu Grab dilihat mampu memberikan pendapatan yang lebih lumayan. Perbandingan sebegini sebenarnya bersifat sempit kerana penilaian terhadap pendidikan hanya dibuat dari aspek pendapatan jangka pendek, sedangkan kelulusan dari universiti menawarkan peluang kerjaya yang lebih luas dan stabil serta membina kemahiran penting seperti pemikiran kritis dan kemahiran insani (soft skill).
Walaupun kejayaan tidak boleh diukur melalui pendapatan semata-mata, kita mestilah memikirkan makna dan perkembangan kerjaya. Secara lumrahnya, manusia akan lebih bahagia apabila hobinya menjadi sebahagian daripada kerja. Orang yang suka membaca selalunya menjadi penulis, manakala orang yang meminati kereta lazimnya memilih kerjaya sebagai mekanik. Hal ini demikian kerana minat yang mendalam terhadap sesuatu bidang bukan sahaja memudahkan seseorang menguasai kemahiran, malah mendorongnya untuk terus meningkatkan pengetahuan dan kepakaran dari semasa ke semasa. Apabila hobi dijadikan kerjaya, perkembangan profesional seseorang menjadi lebih mantap kerana mereka cenderung bekerja dengan penuh komitmen, kreativiti dan kepuasan.
Di samping itu, masyarakat hendaklah mengambil tanggungjawab sosial untuk memenuhi keperluan pekerjaan bagi setiap sektor. Hal ini selaras dengan konsep fardu kifayah dalam Islam. Sekiranya semua orang digalakkan untuk menjadi peniaga, siapakah yang akan merawat peniaga ini apabila dia jatuh sakit? Maka itu, terdapat keperluan untuk masyarakat membahagikan tugas dan peranan. Ada yang jadi pemimpin, doktor, guru, jurutera dan peguam. Semua kerjaya ini mendapatkan pendidikan tinggi di universiti. Oleh itu, universiti memainkan peranan yang signifikan dalam membentuk kerjaya profesional seseorang.
Perkara paling penting yang harus diingatkan dan ditanam dalam pemikiran setiap masyarakat ialah universiti merupakan tempat utama yang mengembangkan sesuatu kajian. Pada hakikatnya, terlampau banyak hasil kajian yang kita gunakan pada hari ini adalah bersumberkan hasil kajian universiti. Sebagai contohnya, Internet yang kita nikmati sekarang ini adalah hasil penyelidikan bersama UCLA, Universiti Ultah dan lain-lain melalui Projek ARPANET. Enjin carian Google yang kita gunakan untuk mendapatkan maklumat tentang pelbagai perkara juga adalah hasil penyelidikan di universiti, iaitu ketika pengasasnya, Larry Page dan Sergey Brin, belajar di Universiti Stanford.
Oleh itu, jelaslah bahawa universiti bukan sahaja berperanan melahirkan golongan profesional, tetapi turut menjadi wadah penting dalam pengembangan ilmu. Perkembangan ilmu yang lahir dari universiti semakin nyata dalam dunia pada hari ini, namun hal tersebut sering kali tidak diberikan perhatian oleh masyarakat. Sumbangan universiti dalam penyelidikan, inovasi dan penemuan baharu sebenarnya menjadi asas kemajuan negara pada jangka panjang. Maka itu, masyarakat wajar menghargai peranan universiti sebagai institusi yang membentuk pemikiran, membina kemahiran serta memacu pembangunan negara.