Diterbitkan pada 27 November 2025, 09:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pendidikan tinggi percuma pernah menjadi manifesto parti politik semasa musim pilihan raya di negara kita. Janji ini akhirnya berjaya direalisasikan dalam pembentangan Belanjawan 2026 baru-baru ini apabila Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memberikan pendidikan percuma menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 5,800 orang pelajar daripada keluarga B40 untuk melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA). Inisiatif ini dilihat mampu melahirkan lebih banyak modal insan yang berkualiti dalam usaha Malaysia menjadi negara maju.

Semua orang tanpa mengira warna kulit, agama, keturunan dan pangkat berhak mendapatkan pendidikan kerana pendidikan merupakan satu daripada hak asasi manusia. Pendidikan percuma merupakan inisiatif yang cuba dilaksanakan oleh kebanyakan negara untuk melahirkan rakyat yang berpengatahuan tinggi. Terdapat lapan negara di dunia yang menawarkan pendidikan tinggi percuma atau hampir percuma, iaitu Jerman, Austria, Iceland, Norway, Sweden, Denmark, Finland, dan Amerika Syarikat. Di Jerman, kemudahan ini tidak terhad kepada warganegara mereka sahaja tetapi juga kepada pelajar luar yang mengikuti pengajian di universiti awam. Sementara itu, negara seperti Sweden, Denmark dan Finland pula menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada rakyatnya dan juga rakyat dari negara-negara Kesatuan Eropah.

Pendidikan percuma merujuk sistem pendidikan yang tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pelajar untuk mengikuti pengajian. Segala bentuk bayaran seperti yuran pengajian, buku teks dan kemudahan pembelajaran diberikan secara percuma. Di negara kita, pendidikan rendah dan menengah di sekolah kerajaan pada asasnya ditawarkan secara percuma dengan kos ditanggung oleh kerajaan. Malah, kadar tamat sekolah rendah dan menengah bagi pelajar di sekolah kerajaan adalah sangat tinggi, mendekati jumlah universal dalam kalangan mereka yang memasuki sistem pendidikan. Namun begitu, pada peringkat pendidikan tinggi, pelajar masih dikenakan bayaran yang tinggi sehingga menyebabkan mereka yang tidak berkemampumpuan, gagal menyambung pengajian.

Menurut Anas Alam Faizli dalam tulisannya mengenai lapan realiti yang mewajarkan kerajaan Malaysia membiayai pendidikan tinggi, universiti terawal dalam sejarah dunia seperti Al-Azhar, Bologna, Oxford, Palencia, Cambridge dan University of Naples telah dibina pada era tamadun awal dunia berlandaskan tujuan sebagai pusat penyelidikan, penyampaian idea, pendidikan dan pembelajaran serta perkembangan ilmu pengetahuan melalui medium penulisan. Namun begitu, realitinya pada hari ini sangat bercanggah dengan tujuan penubuhan kebanyakan universiti yang kelihatan berubah menjadi institusi pengiktirafan, pengijazahan dan perniagaan bertunjangkan keuntungan.

Selain penubuhan IPT awam, pertumbuhan IPT swasta yang pesat ibarat cendawan tumbuh selepas hujan juga telah merancakkan sistem pendidikan tinggi sebagai peluang untuk menampung pelajar yang ingin melanjutkan pengajian. IPT swasta menyediakan pendidikan untuk pelajar tempatan dan menerima kemasukan pelajar dari luar negara sebagaimana IPT awam. Namun begitu, kebanyakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada akhir-akhir ini dilihat tidak berminat untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Buktinya, Kementerian Pendidikan Malaysia melaporkan sejumlah 300,000 pelajar lepasan SPM 2023 memilih untuk tidak melanjutkan pengajian di IPT.

Pelbagai alasan diberikan oleh golongan yang memilih untuk tidak menyambung pengajian tinggi. Antaranya termasuklah kos sara hidup yang tinggi, minat yang berkurangan terhadap pendidikan formal, terpengaruh dengan persepsi bahawa sijil akademik tidak lagi menjadi jaminan kejayaan dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif dan pertumbuhan minat terhadap ekonomi gig. Tidak dinafikan bahawa kos sara hidup di Malaysia yang meningkat saban tahun turut memberikan kesan secara langsung kepada pelajar IPT. Hal ini demikian kerana pelajar bukan sahaja perlu memikirkan yuran pengajian, tetapi kos lain seperti tempat kediaman, buku rujukan, perbelanjaan makan dan minum.

Semasa perbahasan mengenai Belanjawan 2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini, ahli parlimen, Yang Berhormat (YB) Tuan Haji Mohd Misbahul Munir Masduki menyatakan bahawa hasil laporan dan kajian yang diperolehi menunjukkan kapasiti penempatan pelajar di universiti awam utama adalah sangat rendah sehingga menyebabkan banyak mahasiswa terpaksa menyewa di luar kampus dengan kos yang tinggi. Kos yang semakin tinggi ini sedikit sebanyak mempengaruhi pelajar lepasan SPM memutuskan untuk tidak menyambung pengajian ke IPT, terutamanya golongan B40 yang bergantung penuh pada biasiswa atau pinjaman pendidikan.

Tambahan pula, terdapat banyak hantaran tular di media sosial mengenai pelajar lepasan SPM yang memohon bantuan kewangan untuk menyambung pengajian ke IPT. Hal ini menunjukkan bahawa masih ada pelajar yang tidak berkemampuan untuk melanjutkan pengajian di IPT akibat kos yang tinggi walaupun mereka berminat untuk belajar lebih tinggi. Oieh sebab itu, pengumuman tentang pendidikan percuma yang baru-baru ini dilihat bagai pucuk dicita ulam mendatang kepada golongan yang tidak berkemampuan.

Pembiayaan pengajian tinggi oleh kerajaan memerlukan pengorbanan dari segi peruntukan tetapi pelaburan tersebut amat berbaloi untuk menghasilkan modal insan yang berkualiti kepada negara. Pendidikan tinggi percuma mampu meningkatkan akses pendidikan kepada golongan sasaran yang sememangnya merupakan golongan yang selalu berhadapan dengan masalah kewangan untuk menyambung pengajian. Di samping itu, pemberian tersebut mewujudkan peluang yang sama rata untuk masyarakar kerana pelajar daripada keluarga miskin tidak lagi tercicir daripada menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Malah, pendidikan percuma mampu menjadi alat mobiliti sosial yang berkesan untuk membawa seseorang keluar dari lembah kemiskinan, sekali gus membolehkan mereka meningkatkan taraf hidup keluarga.

Pakar Pengurusan Pendidikan, Perancangan dan Polisi, Pusat Pengajian Ilmu Pendiidkan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Aziah Ismail menyatakan keputusan kerajaan memberikan pendidikan percuma kepada golongan berpendapatan rendah merupakan langkah bijaksana ke arah akses pendidikan yang saksama serta dapat meringankan beban kewangan pelajar.  Tambahan pula, halangan terbesar bagi golongan pelajar miskin bukanlah disebabkan oleh kekurangan bakat atau motivasi untuk belajar, tetapi disebabkan oleh faktor kewangan keluarga yang terhad.

Pengumuman tentang pelaksanaan pendidikan tinggi percuma dalam pembentangan Belanjawan 2026 telah membuka lembaran baharu dalam ekosistem pendidikan tinggi negara. Keputusan berkenaan juga merupakan langkah permulaan bagi menjayakan strategi jangka masa panjang untuk memberikan akses pendidikan percuma yang inklusif di seluruh Malaysia. Diharap agar inisiatif ini mampu membantu pelajar yang tidak berkemampuan untuk mencapai impian mereka, seterusnya menjadi penyumbang dan penggerak aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju pada suatu hari nanti.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi