Diterbitkan pada 26 November 2025, 20:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seremban – Malaysia disarankan melaksanakan teknologi DNA Pantas (Rapid DNA) bagi mempercepat proses Identifikasi Mangsa Bencana (Disaster Victim Identification), sekali gus membolehkan pengesahan identiti dilakukan dalam tempoh seawal 90 minit.

Demikian saranan yang dibincangkan oleh pakar dan barisan profesional penguatkuasaan pada seminar  kebangsaan bertajuk “Adopting a New Approach in Disaster Victim Identification via Rapid DNA”  anjuran Crime Science Institute (CSI), Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) yang berlangsung di Kampus ELMU di Bandar Enstek, Nilai, semalam.

Naib Canselor ELMU, YBhg. Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed berkata CSI ditubuhkan bagi memacu inovasi dalam sains jenayah melalui peningkatan keupayaan forensik negara, pengukuhan penguatkuasaan berasaskan bukti dan pemindahan hasil penyelidikan kepada penyelesaian praktikal.

“CSI bertindak sebagai jambatan antara akademik, agensi penguatkuasaan, pakar industri dan pembuat dasar, dengan kepakaran dalam bidang analitik DNA, biometrik, penyiasatan forensik dan forensik jenayah kewangan.

“Kerjasama global dengan Foster & Freeman, Innovatrics, Staffordshire University, Eskan, IPS Italy dan lain-lain menampilkan Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk membina keupayaan forensik bertaraf dunia terhadap manfaat negara dan serantau,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa bencana alam, tragedi pengangkutan, insiden korban besar-besaran dan cabaran rentas sempadan telah memberikan tekanan baharu kepada agensi penguatkuasaan negara.

“Walaupun kaedah forensik sedia ada masih boleh digunakan, namun memakan masa dan sumber yang banyak. Teknologi DNA Pantas menawarkan penyelesaian transformasi, bukan untuk menggantikan kaedah tradisional, malah untuk mempercepat proses,”

Mengulas lanjut, YBhg. Profesor Datuk Dr. Kassim menegaskan bahawa ELMU melalui CSI bersedia menyokong pelaksanaan pada peringkat nasional, dengan potensi kerjasama melibatkan Jabatan Kimia Malaysia, Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi MARA.

“Negara seperti Amerika Syarikat, Perancis, Ukraine, United Kingdom, Australia dan Belanda telah melaksanakan penggunaan DNA Pantas melalui operasi dan ujian menyeluruh. Pengalaman mereka menjadi panduan kepada Malaysia untuk merangka pelan pelaksanaan nasional,” tambahnya lagi.

Nain Canselor ELMU, YBhg. Prof. Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed ketika berucap dalam majlis perasmian seminar.

Sementara itu, pembentang pertama, Timbalan Naib Canselor (Enterprise & External Engagement) ELMU, YBhg. Dato’ Dr. Yew Chong Hooi menegaskan bahawa Malaysia perlu melabur dalam pembangunan tenaga mahir untuk mengendalikan sistem forensik moden.

Beliau menambah, pengetahuan dan sokongan khidmat nasihat akan membantu agensi penguatkuasaan menyesuaikan diri dengan cabaran yang berubah dengan pantas, terutamanya dalam jenayah digital, respons bencana dan penyiasatan berasaskan teknologi.

“Aktiviti jenayah dan ancaman bencana berkembang dengan cepat. Maka, sistem dan tenaga kerja kita juga perlu berkembang pada kadar yang sama,” jelasnya.

Timbalan Naib Canselor ELMU, YBhg. Dato’ Dr. Yew Chong Hooi ketika menyampaikan ucapan aluanya.

Penyelaras Program Pengurusan Bencana, School of Leadership and Resilience ELMU, YBrs. Dr. Rabieahtul Abu Bakar dalam kertas kerja bertajuk “Strengthening Malaysia’s Disaster Risk Reduction Framework through Integrated Disaster Victim Identification (DVI) Systems” yang menekankan bahawa pengukuhan kemampuan DVI negara bukan hanya bersifat teknikal tetapi juga berkaitan dengan nilai kemanusiaan.

YBrs. Dr.Rabieahtul turut menegaskan bahawa kejayaan hanya akan tercapai jika agensi kerajaan, makmal forensik, perkhidmatan kecemasan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan komuniti saling bekerjasama.

“Kesiapsiagaan Malaysia bergantung pada keputusan yang kita buat pada hari ini. Kita mestilah membina sistem bersepadu yang memanfaatkan teknologi demi membantu keluarga dengan penuh hormat dan kasih sayang,” jelasnya lagi.

YBrs. Dr. Rabieahtul Abu Bakar ketika membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk Strengthening Malaysia’s Disaster Risk Reduction Framework through Integrated Disaster Victim Identification (DVI) Systems.

Pakar dari United Kingdom, Lewis Shaw, yang mempunyai 15 tahun pengalaman makmal dan lapangan dalam bidang forensik DNA turut berkongsi contoh penggunaan DNA Pantas secara berkesan di zon bencana, tempat kejadian jenayah dan operasi kawalan sempadan luar negara.

Lewis Shaw turut menjelaskan bahawa teknologi DNA mampu menghasilkan keputusan dalam kira-kira 90 minit dan boleh dikendalikan oleh kakitangan bukan pakar, menjadikannya sesuai digunakan secara terus di lokasi.

“Pada peringkat antarabangsa, DNA Pantas telah memudahkan pengesahan identiti, penyiasatan pemerdagangan manusia, kes imigresen dan operasi kepolisan peka masa,” jelasnya lagi.

Tambah beliau, kelebihannya yang paling besar ialah mampu mengurangkan tempoh menunggu keluarga dan mengurangkan beban logistik semasa respons bencana berskala besar.

Pakar Forensik DNA UK, Lewis Shaw berkongsi pengalaman kerjaya sebagai pakar Forensik.

Sebelum mengakhiri program, Pengarah Projek CSI, Kurian Thomas, dalam ucapan penutupan berkata, Rapid DNA harus dilihat sebagai usaha memperkukuh kemampuan forensik Malaysia.

“Dengan menyediakan keputusan awal yang pantas, pakar makmal dapat menumpukan perhatian kepada analisis yang kompleks dan berkeperluan tinggi,” tambahnya lagi.

Beliau mencadangkan agar Malaysia bergerak ke arah pelan nasional berstruktur, yang melibatkan kerjasama erat antara agensi kerajaan dengan institusi penyelidikan serta mempunyai hala tuju pelaksanaan yang jelas.

Untuk rekod, lebih 80 orang peserta dari agensi penguatkuasaan, jabatan kerajaan, akademia dan industri telah menghadiri seminar sulung yang dianjurkan oleh universiti penguatkuasaan pertama di rantau Asia Pasifik itu.

Pengarah Projek, CSI, ELMU, Kurian Thomas ketika menyampaikan ucapan penutup program.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi