Diterbitkan pada 30 November 2025, 10:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan dunia kepengakapan apabila dilantik sebagai tuan rumah Latihan Induksi Jawatankuasa Pengakap Rantau Asia-Pasifik dan Jawatankuasa Kecil 2025, yang bakal menghimpunkan kira-kira 90 peserta program Latihan Induksi Jawatankuasa Pengakap Rantau Asia-Pasifik dan Jawatankuasa Kecil 2025.

Program tersebut merupakan satu program pembangunan kepimpinan anjuran Pertubuhan Pengakap Sedunia Asia-Pasifik (World Organisation of the Scout Movement – Asia-Pacific Region (WOSM-APR), yang diadakan baru-baru ini.

Menurut Pesuruhjaya Antarabangsa, Norma Noordin, perhimpunan lima hari yang dianjurkan bersama-sama Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) itu akan berlangsung dari 2 hingga 6 Disember 2025 di Dorsett Grand Subang.

“Ini merupakan perhimpunan pertama bagi Jawatankuasa Pengakap Rantau Asia-Pasifik dan ahli jawatankuasa kecil bagi penggal 2025–2028, yang dipilih pada persidangan di Kaohsiung, Taiwan, Oktober lalu. Berdasarkan keputusan yang diperoleh, Ketua Pengakap Negara, YBhg. Mejar Jeneral Profesor Dato’ Dr. Mohd. Zin Bidin turut dipilih sebagai pengerusi baharu,” katanya.

Tambah Norma Noordin, latihan induksi ini bertujuan mengukuhkan kepimpinan, meningkatkan kefahaman tentang tadbir urus serta memperkemas perancangan strategik bagi menetapkan hala tuju tiga tahun akan datang.

Beliau turut menjelaskan bahawa program tersebut membantu ahli jawatankuasa baharu memahami struktur dan fungsi WOSM, di samping menyelaraskan keutamaan serta kaedah kerja bagi tempoh  berikutnya.

Pesuruhjaya Antarabangsa, Norma Noordin ketika menyampaikan ucapannya.

Selain itu, program induksi itu memberikan tumpuan kepada tiga komponen utama, iaitu Induksi dan Orientasi yang meliputi peranan, tanggungjawab, penilaian kompetensi dan tadbir urus; Kaedah Kerja yang menekankan jangkaan kerjasama antara jawatankuasa, profesional serantau dan pentadbiran serta Tinjauan Strategik yang merangkumi penetapan keutamaan, hasil terukur dan pengukuhan budaya kerja berpasukan.

Acara ini dijangka menjadi landasan penting bagi membentuk kepimpinan yang padu dan berkesan, dengan kejelasan, keselarasan serta komitmen bersama untuk memajukan pergerakan Pengakap di rantau Asia-Pasifik.

Kredit Foto: Norma Noordin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi