Diterbitkan pada 2 Disember 2025, 18:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Bacaan lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR), Anggota pekerja PKNP yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, YBhg. Dato’ Mohd. Faizal Jaafar.

Kuantan – Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) menzahirkan komitmen memperkukuh integriti apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya, YBhg. Dato’ Mohd. Faizal Jaafar, mengetuai sesi melafaz serta menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama-sama dengan seluruh warga kerja PKNP. Majlis itu disaksikan oleh Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya (KPKPj) SPRM Pahang, Mohamad Shukor Mahmud, di Dewan Utama EDC, Kompleks Teruntum.

Sesi berkenaan menjadi simbol komitmen kolektif PKNP dalam menyokong usaha membanteras rasuah serta memperkukuh tadbir urus di organisasi berkenaan yang merupakan satu daripada agensi pembangunan utama negeri Pahang.

Dalam ucapan perasmiannya, YBhg. Dato’ Mohd. Faizal berkata bahawa tema sambutan pada kali ini, “Integriti Teras Kesejahteraan Negara”, adalah selaras dengan tema Bulan Integriti Nasional 2025.

“Dalam era penuh cabaran ini, tema tersebut bertepatan dengan aspirasi negara untuk memantapkan integriti dan tadbir urus. Hal ini membuktikan komitmen kerajaan dalam membudayakan integriti dalam kalangan masyarakat, khususnya penjawat awam,” ujar beliau.

Beliau menegaskan bahawa integriti bukan sekadar nilai, tetapi asas kekuatan organisasi dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang profesional serta berkesan.

YBhg. Dato’ Mohd. Faizal turut merakamkan penghargaan kepada Unit Pengurusan Kualiti, Risiko dan Integriti PKNP atas usaha memperkukuh budaya integriti di organisasi itu, serta kepada SPRM Pahang atas kerjasama strategik dalam agenda pencegahan rasuah.

YBrs. Ketua Penolong Kanan Penguasa (KPKPs), Mohamad Hussain, Pegawai Unit Pendidikan Masyarakat, SPRM Pahang semasa menyampaikan ceramah peneguhan integriti

Majlis Hari Integriti Perdana PKNP turut menampilkan ceramah peneguhan integriti oleh Ketua Penolong Kanan Penguasa (KPKPs) SPRM Pahang, YBrs. Mohamad Hussain dari Unit Pendidikan Masyarakat.

Selain itu, majlis turut menyampaikan hadiah pertandingan bersempena dengan sambutan tersebut. Puan Rohazida Harun diumumkan sebagai pemenang hadiah utama Pertandingan Teka Silang Kata, manakala Bahagian Pemasaran dan Pengurusan Harta PKNP dinobatkan sebagai johan Pertandingan Video Kreatif Integriti PKNP.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKNP, YBrs. Encik Mohd. Razif Abdul Malek, pegawai-pegawai SPRM Pahang serta warga kerja PKNP.

Bahagian Pemasaran dan Pengurusan Harta PKNP telah dinobatkan sebagai johan Pertandingan Video Kreatif Integriti PKNP.

 

Kredit Foto: Muhammad Amjad Mohamad Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi