Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) menutup tirai tahun 2025 dengan cemerlang apabila diumumkan sebagai penerima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Terbaik (Kategori Badan-badan Beruniform) pada Malam Gala Anugerah Perdana NGO Malaysia 2025 (APNM 2025) yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, Bandar Sunway, baru-baru ini.
Anugerah berprestij itu diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan berterusan PPM dalam pembangunan kanak-kanak, remaja dan belia menerusi pelbagai program kepengakapan sejak penubuhannya pada tahun 1908.
Menurut Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Dato’ Dr. Mohd Zin Bidin, pengiktirafan ini merupakan penghargaan terhadap sumbangan signifikan ahli Pengakap di seluruh negara bagi membentuk kepimpinan berwibawa, memupuk budaya kecemerlangan serta memperkukuh perpaduan nasional.
“Anugerah ini amat bermakna buat PPM kerana berjaya mengiktiraf khidmat bakti ribuan sukarelawan yang berada di barisan hadapan dalam membimbing generasi muda menjadi pemimpin masa hadapan negara.
“Sejak penubuhannya hampir 117 tahun, PPM telah berperanan sebagai sebuah universiti kehidupan kepada jutaan anak muda untuk mempelajari nilai tanggungjawab, kepimpinan, disiplin serta semangat kesukarelawanan,” jelasnya.
Demikian kata beliau setelah menerima anugerah berkenaan yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam.
Berdasarkan rekod, APNM 2025 yang dianjurkan oleh Yayasan Generasi Malaysia dengan kerjasama Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM) bertujuan mengiktiraf pertubuhan bukan kerajaan di seluruh negara yang menyumbang secara aktif dalam pelbagai bidang termasuk kemasyarakatan, kebajikan, keusahawanan dan kesukarelawanan.
Selain itu, penerima anugerah lain pada majlis berkenaan ialah Yayasan Nurjiwa, yang diasaskan oleh penyanyi tanah air, YBhg. Dato’ Seri Siti Nurhaliza, penerima Anugerah Yayasan Terbaik bagi Kategori Kebajikan atas komitmen dalam membantu golongan yang memerlukan.
