Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan –Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) atas pencapaian cemerlang dalam membangunkan negeri itu sejak penubuhannya pada 27 Disember 1965 dalam Jamuan Diraja sempena sambutan 60 tahun PKNP yang bertemakan An Evening with PKNP, a Diamond Jubilee Celebration di Hotel Zenith, Kuantan, baru-baru ini.
Titah baginda,
“Beta mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Pahang di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang dan khususnya PKNP di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, YBhg.Dato’ Mohd Faizal Jaafar. Alhamdulillah, pada tahun ini PKNP telah berusia 60 tahun.”
Dalam majlis tersebut, KDPB Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah turut menitahkan bahawa baginda mempunyai banyak pengalaman berinteraksi dan bekerjasama dengan PKNP sejak dahulu, termasuk ketika baginda berkhidmat sebagai Tengku Mahkota Pahang sejak dahulu.
“Pelbagai projek telah dipersembahkan kepada beta pada ketika itu. Beta berasa bangga dengan pencapaian dan prestasi yang telah diteruskan daripada legasi kepimpinan terdahulu. Syabas diucapkan kepada barisan pengarah serta seluruh warga PKNP,” titah baginda lagi.
Baginda turut menzahirkan rasa bangga terhadap prestasi PKNP sebagai sebuah agensi negeri yang mempunyai pengurusan kewangan yang baik serta tidak dibebani dengan hutang yang besar.
“Beta berharap PKNP dapat menjadi contoh yang baik kepada agensi lain dan segala perancangan masa hadapan dapat diteruskan dengan jayanya agar Kuantan terus berkembang pesat dan maju melalui kualiti perkhidmatan serta komitmen semua pihak terhadap kemajuan negeri,” ujar baginda lagi.

Turut berkenan berangkat mencemar duli ke Jamuan Diraja tersebut ialah KDPB Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj serta KDPM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Yang turut hadir termasuklah Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail selaku Pengerusi PKNP; Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, YBhg. Dato’ Mohd Faizal Jaafar serta barisan pengurusan tertinggi PKNP.