Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBintulu – Gerakan pengakap bukan sekadar aktiviti kokurikulum, sebaliknya merupakan platform penting dalam pembentukan sahsiah dan pembangunan kepimpinan yang mantap serta berkesan melalui kaedah pendidikan luar sekolah yang komprehensif dan berstruktur.
Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, pendekatan itu bukan sahaja menekankan pembangunan kepimpinan, kemahiran asas, kemahiran vokasional serta khidmat masyarakat, malah turut menerapkan nilai-nilai murni dan membentuk sahsiah holistik dalam kalangan belia.
“Pendekatan sedemikian amat penting dalam melahirkan individu yang seimbang dari segi jasmani, mental, emosi dan rohani,” katanya dalam teks ucapan yang dibaca oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, YB Dato’ Sri Dr. Stephen Rundi Utom pada Majlis Pelancaran Rasmi Penubuhan Pasukan Pengakap Berasaskan Komuniti dan Sahabat Pengakap di Wisma Bintulu, di sini, hari ini.
Beliau berkata, konsep Pengakap Berasaskan Komuniti merupakan satu pendekatan alternatif yang berpotensi besar dalam membimbing golongan remaja dan belia agar menjauhi ancaman sosial, di samping mengukuhkan hubungan mereka dengan komuniti setempat.
“Saya berpandangan bahawa penubuhan Pasukan Pengakap Berasaskan Komuniti ini sememangnya tepat pada masanya dan amat relevan dengan keperluan serta cabaran semasa. Pada ketika ini, golongan belia dan remaja kita semakin terdedah kepada pelbagai ancaman sosial yang membimbangkan.”
“Hampir setiap bulan, kita didedahkan dengan laporan dan liputan media mengenai masalah sosial yang melibatkan remaja, sama ada berkaitan dengan tingkah laku negatif, kemerosotan akhlak, mahupun isu disiplin seperti buli, yang sebahagiannya telah membawa kepada hukuman oleh pihak mahkamah terhadap pesalah juvana,” tambahnya.
Pergerakan Pengakap di Sarawak yang kini berusia 113 tahun merupakan satu gerakan yang telah teruji dan berpengalaman, serta sentiasa membuktikan keupayaannya untuk menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.
“Pelibatan dalam gerakan ini memberikan pendedahan luas, membina keyakinan diri serta menyediakan platform terbaik bagi melahirkan pemimpin masa hadapan yang berwibawa, bertanggungjawab dan berakhlak mulia,” tambah beliau.

Sebelum ini, Ketua Pengakap Negara, YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Prof. Dr. Mohd Zin Bidin menegaskan pendekatan Pengakap Berasaskan Komuniti dapat memperluas capaian pergerakan pengakap agar lebih inklusif serta responsif terhadap keperluan masyarakat setempat.
“Pengakap Berasaskan Komuniti membuka peluang kepada semua golongan belia dari kawasan kampung, kawasan perumahan dan komuniti setempat untuk menyertai Pengakap tanpa mengira latar belakang pendidikan, selain membolehkan program kepengakapan dilaksanakan secara lebih dekat dengan komuniti,” ujarnya.
Yang turut hadir dalam majlis ini termasuklah Penasihat di Jabatan Premier Sarawak merangkap Presiden Majlis Pengakap Sarawak, YB Tan Sri Dato’ Sri William Mawan Ikom; Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, YB Tuan Johnny Pang Leong Ming, serta Timbalan Presiden Majlis Pengakap Negara, YBhg. Dato’ Haji Ahmad Shazilly Ismail Bakti.