Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSejak kebelakangan ini, isu berkaitan dengan kanak-kanak yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat sering menjadi topik perbincangan hangat. Hal ini disebabkan oleh sifat semula jadi manusia yang cenderung bersifat empati terhadap tragedi yang menimpa golongan kanak-kanak, termasuklah isu yang berlaku di alam maya. Satu daripada isu yang mendapat perhatian meluas ialah pengantunan seksual (sexual grooming) dalam talian, iaitu tindakan individu yang cuba mendekati dan memanipulasi kanak-kanak melalui pelbagai platform media sosial seperti Instagram, X, Facebook dan TikTok dengan niat yang tidak bermoral.
Tanggapan bahawa kanak-kanak merupakan insan yang polos tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk mengambil kesempatan terhadap mereka. Hal ini demikian kerana kanak-kanak ditakrifkan sebagai individu yang berumur 18 tahun ke bawah dan secara umumnya belum berupaya sepenuhnya membuat penilaian secara tepat antara yang baik dengan yang buruk, terutamanya dalam situasi yang berisiko tinggi. Golongan yang mempunyai kecenderungan pedofilia ini diibaratkan seperti gunting dalam lipatan, kerana peranan orang dewasa sepatutnya melindungi serta menjaga kebajikan kanak-kanak, bukannya mengkhianati kepercayaan tersebut.
Golongan ini sering memanfaatkan ketidakmatangan emosi kanak-kanak dengan mengeksploitasi serta memanipulasikan emosi mereka untuk memperoleh kepercayaan. Tindakan ini dilakukan dengan tujuan melanggar undang-undang, memandangkan kanak-kanak mudah dipengaruhi dan dikawal. Apabila mereka tidak berjaya mencapai tujuan awal seperti mendapatkan gambar atau video tidak senonoh, taktik seperti paksaan dan ugutan kerap digunakan oleh golongan tersebut. Tindakan tersebut bukan hanya mendatangkan kemudaratan emosi dan mental, malah menyebabkan trauma berpanjangan yang sukar dipulihkan.
Tidak dinafikan bahawa kemajuan teknologi dan arus pendigitalan membuka ruang kepada pelbagai risiko, antaranya termasuklah kemungkinan kanak-kanak menjadi mangsa eksploitasi siber. Hal ini berlaku kerana kurangnya kematangan mental dan emosi dalam kalangan kanak-kanak yang menjadikan mereka mudah terdedah kepada manipulasi dunia digital yang semakin canggih, sekali gus menjadi sasaran mudah bagi golongan pedofilia. Antara faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan kegiatan pedofilia di alam maya termasuklah sikap segelintir ibu bapa yang terlalu taasub mendedahkan kehidupan anak-anak dalam media sosial tanpa batasan yang jelas. Pendedahan berlebihan ini boleh menarik perhatian pihak yang berniat jahat, secara langsung mewujudkan risiko keselamatan terhadap kanak-kanak.
Pada peringkat awal usia anak-anak, ibu bapa sewajarnya membuat keputusan secara rasional sebelum membenarkan mereka menggunakan peranti digital. Hal ini demikian kerana wujudnya ibu bapa yang cenderung memandang remeh terhadap perkara ini sehingga menjadikan peranti digital sebagai alat untuk menenangkan anak-anak yang meragam, tanpa menyedari kesan negatif dalam jangka panjang. Seterusnya, kurangnya kawalan serta pemantauan masa dan kandungan yang diakses oleh kanak-kanak turut menyebabkan mereka terdedah dengan kandungan yang tidak sesuai dengan had umur atau individu berbahaya. Lebih membimbangkan, situasi ini turut memberi peluang kepada golongan pedofilia untuk beroperasi dengan lebih aktif dan bebas.
Bagi mengekang perkara ini menjadi semakin serius, peranan ibu bapa penting dalam menjadi suri teladan kepada anak-anak kerana ibu bapa seharusnya bijak dalam berkongsi perihal kehidupan anak-anak dalam media sosial dengan menetapkan had yang jelas terhadap perkara yang ingin dikongsikan. Hal ini demikian kerana bukan semua individu mempunyai hati yang nurani, bahkan ada yang terlibat dengan sindiket jenayah siber tanpa kita sedari. Oleh itu, masyarakat turut memainkan peranan penting dalam melindungi kanak-kanak daripada ancaman siber berikutan lebih sukar dibanteras kerana identiti pelaku sering kali disembunyikan atau sukar dikesan.
Dengan adanya Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang telah diluluskan oleh Dewan Negara pada 16 Disember tahun lalu, memperlihatkan keprihatinan dan komitmen kerajaan dalam memperkukuh keselamatan kanak-kanak dalam talian menerusi penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas. Pindaan ini juga bukan sahaja menjamin kesejahteraan pengguna Internet daripada pelbagai peringkat usia, bahkan menjadikan keselamatan kanak-kanak dalam talian sebagai agenda utama kerajaan dalam usaha mewujudkan ekosistem Internet yang lebih selamat, sihat dan bebas daripada ancaman siber.
Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan bukan sahaja mementingkan pembangunan negara yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi turut mengutamakan kesejahteraan serta kemakmuran hidup rakyat daripada diganggu gugat oleh ancaman siber, yang kini dianggap sebagai “pembunuh senyap”. Oleh itu, pindaan Akta 588 sangat signifikan dalam menangani segala kemungkinan yang boleh menyebabkan masyarakat menjadi mangsa jenayah siber. Menteri Komunikasi, YB Datuk Ahmad Fahmi Fadzil dalam kenyataannya ada mengatakan bahawa:
“Hal ini penting bagi memelihara kesejahteraan digital buat kanak-kanak dan keharmonian masyarakat berbilang kaum ke arah membangunkan Malaysia MADANI sebagai sebuah negara yang progresif.”
Kesimpulannya, inisiatif kerajaan menerusi Pindaan Akta 588 mampu mewujudkan persekitaran maya yang lebih sihat dan bebas daripada dominasi kandungan yang bersifat jelik dan melampau sehinggakan nyawa manusia menjadi gadaian akibat tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab. Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia juga perlu menjadi pengguna yang bijak dalam berkongsi maklumat dan mengelakkan diri terjebak menjadi agen kepada jenayah siber. Jadilah masyarakat yang melindungi kanak-kanak daripada sebarang ancaman siber tanpa sebarang pengkhianatan kerana mereka adalah pewaris bangsa, agama dan negara.