Diterbitkan pada 22 Januari 2026, 18:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) kini giat memperkukuh aspek kesiapsiagaan bantuan bencana negara menerusi penubuhan Skuad Bantuan Bencana Pengakap pada peringkat kebangsaan.

Ketua Pengakap Negara, YBhg. Mejar Jeneral (B) Profesor Dato’ Dr. Haji Mohd Zin Bidin mengumumkan bahawa skuad ini akan beroperasi secara bersepadu melalui kerjasama strategik antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada setiap peringkat bermula pada peringkat kebangsaan, negeri dan seterusnya daerah.

Menurut beliau, penubuhan skuad ini merupakan perancangan jangka masa panjang yang kini diperkasakan menerusi pelantikan satu jawatankuasa khas. Jawatankuasa ini berperanan merangka program menyeluruh yang merangkumi pemilihan anggota skuad yang berkelayakan, pelaksanaan latihan intensif perolehan peralatan operasi, serta penempatan dan mobilisasi pasukan ketika bencana, khususnya semasa banjir.

“Mereka (mantan pengakap) peka terhadap situasi semasa negara dan memilih pengakap sebagai saluran rasmi untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan hal ini merupakan langkah yang baik,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan pek bantuan keperluan asas untuk mangsa banjir oleh Persaudaraan B-P (B-P Guild) kepada PPM di Ibu Pejabat PPM.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 80 pek keperluan asas telah diserahkan oleh Presiden Persaudaraan B-P Kuala Lumpur, Encik M. Chenteral Velo kepada YBhg. Mejar Jeneral (B) Profesor Dato’ Dr. Haji Mohd Zin.

Mengulas mengenai kerjasama tersebut, beliau menegaskan bahawa hubungan erat antara PPM dengan Persaudaraan B-P wajar diperkukuh. Hal ini demikian kerana ahli persatuan tersebut terdiri daripada mantan pengakap yang masih mengekalkan semangat khidmat sukarela dan keprihatinan yang tinggi terhadap kebajikan masyarakat.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Presiden Persaudaraan B-P Kebangsaan, YBhg. Datin Norliza Mohd Noor dan ahli Persaudaraan B-P Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Chong Lian Foo.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi