Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Kerajaan melancarkan Program Geran Padanan bagi Penggantian Kenderaan Lama sebagai satu inisiatif bersasar dan berimpak tinggi untuk meningkatkan keselamatan jalan raya di negara ini.
Langkah ini dilihat sebagai usaha serampang dua mata untuk membantu rakyat beralih kepada penggunaan kenderaan yang lebih selamat, cekap dan mesra alam.
Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat (YB) Tuan Anthony Loke Siew Fook berkata bahawa program tersebut dirangka khusus bagi memberikan manfaat langsung kepada pemilik kenderaan lama.
Golongan ini sering kali terpaksa menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi selain berhadapan dengan risiko keselamatan akibat penggunaan kenderaan yang sudah uzur.
“Realitinya, masih ramai rakyat Malaysia menggunakan kenderaan yang berusia lebih 20 tahun bukan kerana mereka tidak mahu menukar kenderaan, tetapi kerana kekangan kewangan dan keperluan harian,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program tersebut pada Selasa.
Menurut YB Tuan Anthony Loke Siew, program ini diwujudkan bagi menawarkan pilihan yang lebih baik kepada rakyat agar mereka dapat memiliki kenderaan yang lebih moden dan selamat tanpa menghadapi tekanan kewangan yang mendadak.
Jelasnya lagi, inisiatif ini bukan sahaja menjamin keselamatan pengguna, malah turut membantu peralihan kepada kenderaan yang lebih menjimatkan dan mesra alam.