Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMenurut Kamus Dewan Perdana, perkataan graduan merujuk pelajar institusi pengajian tinggi yang akan menerima sijil, diploma atau ijazah pada hari konvokesyen. Mahasiswa yang melalui sistem pendidikan tinggi seharunya muncul sebagai modal insan berkualiti, seiring dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang menekankan pembangunan bakat pembina negara yang bermatlamat, berdaya tahan serta berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat. Oleh itu, institusi pengajian tinggi berperanan besar dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki kemahiran insaniah yang memenuhi keperluan dunia pekerjaan dan pembangunan negara.
Namun begitu, realiti semasa menunjukkan bahawa wujud beberapa isu kritikal dalam kalangan graduan selepas tamat pengajian, antaranya tidak mampu berfikir secara kritis, tidak menguasai bahasa dan tidak mempunyai kemahiran komunikasi yang berkesan. Dalam konteks RPN 2026–2035, kemahiran berkomunikasi merupakan keupayaan teras yang perlu dikuasai oleh mahasiswa kerana kemahiran ini menentukan kebolehan mereka menyampaikan idea, bekerjasama dalam pasukan, serta berinteraksi secara profesional dalam pelbagai situasi. Penguasaan komunikasi yang baik bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah menyokong hasrat negara untuk melahirkan tenaga kerja berdaya saing, beretika dan mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan nasional.
Komunikasi merujuk proses penyampaian maklumat, idea, emosi atau mesej daripada pengirim kepada penerima melalui pelbagai saluran seperti lisan, penulisan dan isyarat bukan lisan bagi mencapai kesefahaman bersama. Dalam kehidupan mahasiswa, komunikasi bukan sahaja berlaku secara peribadi melalui interaksi interpersonal, malah merangkumi komunikasi profesional seperti perbincangan akademik, pembentangan, kerja berpasukan dan urusan rasmi di institusi pengajian tinggi. Penguasaan pelbagai bentuk komunikasi ini penting kerana mahasiswa kini sedang dilatih untuk menghadapi dunia pekerjaan yang menuntut keupayaan berinteraksi secara berkesan, beretika dan berkeyakinan.
Kepentingan mempelajari dan mengasah kemahiran berkomunikasi turut ditegaskan oleh tokoh komunikasi, Joseph A. DeVito menerusi bukunya The Interpersonal Communication Book, yang menyatakan bahawa kemahiran komunikasi mampu membantu seseorang mencapai kejayaan peribadi dan profesional. Selaras dengan Pelan Pendidikan Negara semasa, kemahiran berkomunikasi merupakan antara elemen utama dalam pembangunan graduan holistik yang seimbang dari aspek akademik, sahsiah dan kebolehpasaran. Oleh itu, penguasaan komunikasi yang berkesan dalam kalangan mahasiswa bukan sahaja menyokong pembentukan jati diri dan hubungan sosial yang positif, malah memperkukuh kesiapsiagaan mereka sebagai modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Komunikasi yang berkesan turut mempengaruhi kehidupan manusia. Sebahagian besar kebahagiaan dan keberkesanan hubungan dengan orang lain pada peringkat peribadi seperti hubungan kekeluargaan, persahabatan dan berpasangan juga berpunca daripada kemahiran berkomunikasi. Walaupun kebanyakan laporan memaklumkan bahawa punca perceraian di Malaysia adalah berpunca daripada masalah kewangan, namun tiada persefahaman juga merupakan antara faktor perceraian yang tidak boleh dipandang serong. Persefahaman terbina atas kelancaran dan kelicinan komunikasi.
Pada peringkat profesional, kemahiran komunikasi memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan seseorang di tempat kerja. Perkara ini turut dinyatakan sendiri oleh golongan pakar dan pemain industri. Terdapat laporan daripada majikan yang mengatakan bahawa graduan kita lemah berkomunikasi. Persoalannya, kemahiran komunikasi apakah yang diperlukan oleh majikan?
Andrew Stracuzzi dan Brian Dunphy dalam buku mereka Professional Communications: A Common Approach to Work-place Writing menjawab persoalan ini dengan menyenaraikan lima kemahiran kritikal komunikasi di tempat kerja yang harus dititikberatkan oleh graduan, iaitu:
Apakah yang boleh dilakukan oleh bakal graduan untuk mempertajam kemahiran berkomunikasi? Sewaktu peringkat pengajian, mahasiswa harus terlibat secara aktif dalam perbincangan dalam kelas. Perbincangan ini boleh terjadi melalui pembentangan, perbincangan isu dan sebagainya. Katrine Sonnenschein dan Janet Fergusan dalam kertas kerja mereka, Developing professional communication skills: Perceptions and reflections of domestic and international graduates mencadangkan kepada pensyarah supaya menggalakkan lebih banyak komunikasi di dalam kelas. Sekiranya di dalam kelas itu terdapat mahasiswa dari pelbagai negara dan bangsa, mereka hendaklah dihimpunkan dalam satu kumpulan supaya mereka boleh berkomunikasi rentas budaya.
Setiap pelajar harus diberikan peluang untuk membentangkan hasil kajian masing-masing. Perkara ini penting bagi menggalakkan mereka berkomunikasi dengan lebih bersahaja berbanding dengan membaca paparan pembentangan semata-mata. Sebahagian mahasiswa mungkin masih belum melihat kepentingan pengucapan awam dalam dunia pekerjaan, dan memandang remeh terhadap pembentangan di dalam kelas. Namun begitu, sebahagian besar kejayaan di tempat kerja adalah berpunca daripada ketajaman pengucapan awam. Yang berikut merupakan kepentingan pengucapan awam di tempat kerja.
Mahasiswa harus proaktif sewaktu di dalam kelas dan di luar kelas untuk mengasah kemahiran berkomunikasi. Mereka boleh menyertai aktiviti kesukarelawanan, persatuan, politik kampus, malah bekerja sambilan. Mahasiswa pada hari ini mempunyai peluang yang besar jika mereka mahu menjana wang sewaktu dalam pengajian. Sewaktu penulis bergelar mahasiswa juga, penulis aktif dalam aktiviti perbukuan kerana meminati bidang penulisan, sehinggalah kini penulis menjadi pensyarah di China dan mengajar bahasa Melayu.
Atas dasar itu, mahasiswa tidak haru “menunggu” usaha daripada pihak universiti untuk menambah baik kualiti berkomunikasi. Sebaliknya, mereka harus proaktif mencari ruang dan peluang untuk memajukan diri. Oleh itu, untuk meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan, kita haruslah bekerjasama dengan semua pihak untuk memastikan perkara seperti yang berikut:
Seorang pengarah ekonomi dari Burning Glass Institute, Gad Levanon mengatakan bahawa buat pertama kali dalam sejarah moden manusia, ijazah sarjana muda tidak lagi menjadi faktor penentu kepada pekerjaan. Majikan kini lebih menginginkan “kemahiran komunikasi” berbanding dengan “keputusan akademik” untuk memilih pekerja. Perkara inilah yang sering kita dengar, iaitu pembahagian antara kemahiran teknikal (hard skills) dengan kemahiran insani (soft skills).
Melalui kemahiran insani terdapat kemahiran berkomunikasi. Melalui kemahiran berkomunikasi pula terdapat kemahiran pengucapan awam, kemahiran berkomunikasi dalam pasukan, kemahiran berkomunikasi secara rentas budaya dan sebagainya. Oleh itu, kemahiran teknikal semata-mata tidak “laku” lagi pada zaman ini. Graduan mesti mempunyai kemahiran yang unik supaya lebih menonjol.
Dengan kecanggihan kecerdasan buatan (AI) kini yang membolehkan “AI berkomunikasi untuk kita”, sudah tiba masanya untuk kita menggalakkan pelajar menulis dengan sendiri idea yang hendak disampaikan dan melatih pelajar menyampaikan hujah menggunakan ayatnya sendiri, tidak bergantung pada ayat AI semata-mata.
Menulis dengan sendiri bakal menjadi satu kemahiran berkomunikasi yang langka sekiranya kita tidak berbuat sesuatu dalam menghadapi gelombang AI. Para sarjana literasi sering menyebutkan bahawa menulis itu ialah proses berfikir. Seandainya kita menyerahkan penulisan kepada AI, lama-kelamaan kita akan menyerahkan juga tugas berfikir kepada AI dan akan mengakibatkan ketumpulan berfikir dalam kalangan manusia.
Kesimpulannya, kemahiran komunikasi yang perlu kita asah dan kembangkan ini bukanlah kemahiran yang perlu berdiri sendiri dan tidak mempunyai kaitan dengan pemikiran, sebaliknya semakin kita mengasah kemahiran berkomunikasi, semakin jelaslah pemikiran kita.