Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKes jenayah keluarga yang tular kebelakangan ini, khususnya yang melibatkan pembunuhan ahli keluarga terdekat telah menggemparkan kesedaran awam dan mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat. Tragedi sebegini kelazimannya disebabkan oleh kegagalan individu, konflik kekeluargaan atau keruntuhan nilai moral. Namun begitu, penilaian yang terhad menurut dimensi peribadi semata-mata berisiko mengaburkan hakikat bahawa kes sedemikian turut berkait rapat dengan tekanan struktural dan kegagalan sistem sokongan sosial yang lebih luas, termasuklah dalam konteks dunia pekerjaan dan pengurusan sumber manusia (HRM).
Dalam landskap ekonomi moden yang semakin sengit, ketidaktentuan pasaran dan peningkatan tuntutan prestasi dalam pengurusan sumber manusia tidak wajar difahami sebagai fungsi pentadbiran semata-mata. Sebaliknya, HRM perlu ditanggapi sebagai mekanisme pengurusan insan yang holistik, merangkumi kesejahteraan psikologi, kestabilan emosi dan keharmonian sosial pekerja.
Tekanan Psikososial sebagai Fenomena Struktural
Tekanan psikologi dalam kalangan individu bekerja pada hari ini tidak terhad kepada konflik peribadi atau kelemahan daya tindak individu. Hal ini sering berpunca daripada faktor organisasi seperti beban kerja yang berlebihan, budaya kerja berorientasikan penilaian prestasi yang melampau, ketidakjaminan pekerjaan, serta kekaburan sempadan antara kehidupan profesional dengan peribadi.
Tekanan berpanjangan yang tidak ditangani secara sistematik boleh membawa kepada keletihan emosi, gangguan kesihatan mental dan kemerosotan keupayaan kawalan diri. Dalam konteks kes jenayah keluarga, tekanan psikososial yang terpendam sering dikenal pasti sebagai antara faktor pencetus, walaupun tidak pernah menjadi justifikasi terhadap perlakuan jenayah. Oleh itu, pendekatan pencegahan berasaskan sistem perlu diberikan keutamaan berbanding dengan kecenderungan menyalahkan individu semata-mata.
Keterbatasan Paradigma Produktiviti dalam HRM
Amalan pengurusan sumber manusia yang terlalu berfokuskan petunjuk prestasi utama (Key Performance Indicator – KPI), kecekapan operasi dan keuntungan organisasi berisiko menurunkan taraf pekerja kepada sumber ekonomi semata-mata. Pendekatan ini mengabaikan hakikat bahawa pekerja ialah insan yang mempunyai emosi, konflik dalaman serta tanggungjawab sosial dan kekeluargaan.
Apabila isu kesejahteraan mental dianggap sebagai urusan peribadi yang terpisah daripada tanggungjawab organisasi, HRM gagal menjalankan fungsi kemanusiaannya. Pada hakikatnya, tekanan yang dialami di tempat kerja tidak terhenti di pintu pejabat, sebaliknya dibawa pulang ke ruang domestik dan berpotensi mengganggu keharmonian keluarga serta kestabilan sosial.
Peranan Transformatif Pengurusan Sumber Manusia
Untuk menghadapi realiti ini, pengurusan sumber manusia perlu menjalankan proses anjakan paradigma daripada peranan pentadbiran kepada peranan strategik dan transformatif. HRM harus berfungsi sebagai agen kesejahteraan organisasi dengan melaksanakan pendekatan yang berfokuskan pencegahan dan sokongan yang berterusan, antaranya termasuklah:
Implikasi terhadap Polisi dan Tanggungjawab Sosial
Kes jenayah keluarga yang berlaku seharusnya dilihat sebagai isyarat peringatan kepada organisasi dan pembuat dasar bahawa kesejahteraan pekerja merupakan isu keselamatan sosial. Organisasi bukan entiti terasing daripada masyarakat, sebaliknya sebahagian daripada ekosistem sosial yang mempengaruhi kestabilan komuniti secara keseluruhan. Sehubungan dengan itu, polisi pengurusan sumber manusia perlu diselaraskan dengan prinsip tanggungjawab sosial organisasi dengan mengiktiraf pelaburan dalam kesejahteraan mental pekerja sebagai cara untuk meningkatkan produktiviti yang berpotensi mencegah tragedi kemanusiaan yang lebih besar.
Tragedi jenayah keluarga yang menggoncang masyarakat harus menjadi cerminan kepada keterbatasan pendekatan pengurusan sumber manusia yang berorientasikan produktiviti semata-mata. Mengurus manusia bukan sekadar mengoptimumkan output kerja, tetapi menuntut kefahaman yang mendalam tentang dimensi kemanusiaan yang kompleks dan saling berkait.
Dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar, pengabaian terhadap kesejahteraan mental bukan lagi isu eceran, sebaliknya risiko sosial yang nyata. Oleh itu, pengurusan sumber manusia yang berteraskan kemanusiaan tidak boleh menjadi pilihan, tetapi mestilah menjadi keperluan yang mendesak demi kesejahteraan organisasi dan masyarakat secara keseluruhan.