Diterbitkan pada 8 April 2026, 09:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Sebanyak 22 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor menerima Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dalam satu majlis penuh bermakna sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun 2025, yang berlangsung di Dewan Bakawali, Ibu Pejabat JBPM negeri Selangor, baru-baru ini.

Penyampaian sijil tersebut merupakan simbol penghargaan tertinggi jabatan kepada para wira merah yang telah menabur bakti lebih tiga dekad dalam perkhidmatan kebombaan. 

Sepanjang tempoh tersebut, mereka bukan sahaja melaksanakan tugas rutin, malah sentiasa bersedia menghadapi situasi berisiko tinggi, termasuk operasi menyelamat nyawa dan harta benda, kebakaran besar serta bencana alam. 

Mereka sanggup bergadai nyawa demi memastikan keselamatan rakyat sentiasa terpelihara ketika menjalankan tanggungjawab ini.

Sehubungan dengan itu, pemberian Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dilihat sebagai satu bentuk pengiktirafan bermakna bagi menghargai jasa dan pengorbanan anggota yang telah lama berkhidmat dengan penuh dedikasi, komitmen serta semangat juang yang tinggi.

Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Yang Amat Setia Dato’ Othman Abdullah. Turut hadir ialah Pengarah JBPM Negeri Selangor, Yang Setia Dato’ Wan Md Razali Wan Ismail. 

Selain itu, majlis berkenaan turut meraikan sebanyak 127 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta empat penerima Sijil Perkhidmatan Terpuji. 

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Yang Amat Setia, Dato’ Othman Abdullah menyampaikan penghargaan kepada penerima anugerah yang telah menjalankan tugas dengan penuh iltizam.

Kesemua penerima ini dipilih berdasarkan prestasi kerja cemerlang, disiplin tinggi serta komitmen berterusan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Penganjuran majlis ini merupakan manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada seluruh warga JBPM Negeri Selangor atas segala jasa, sumbangan dan pengorbanan sebagai penjawat awam. 

Kesungguhan para wira ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan dalam tugasan rasmi, malah turut mengambil kira penglibatan aktif dalam aktiviti sukan, sosial dan kemasyarakatan.

Majlis seumpama ini diharapkan dapat menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga jabatan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, di samping memupuk budaya kerja cemerlang, berintegriti dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran tugas kebombaan yang semakin kompleks pada masa hadapan.

Kredit Foto: Mohd Nazrullah Abdul Aziz
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi