Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap kali tiba Hari Pekerja, ramai menyambutnya dengan cara yang hampir sama. Rutin seperti tidur lebih lama, keluar berjalan, atau sekadar menikmati hari tanpa tekanan kerja seakan-akan menjadi sebahagian kehidupan pada waktu cuti umum.
Secara asasnya, hari ini diwujudkan untuk menghargai sumbangan pekerja dalam menggerakkan ekonomi negara. Namun begitu, dalam realiti hari ini, makna tersebut semakin kabur apabila Hari Pekerja lebih dilihat sebagai “ganjaran cuti” berbanding dengan ruang untuk menghargai nilai kerja itu sendiri.
Lihat sahaja perbualan harian yang ditunggu bukan refleksi tentang kerjaya, tetapi rancangan ke mana hendak pergi atau perkara yang hendak dibuat sepanjang cuti. Malah, ada yang langsung tidak mengaitkan hari ini dengan identiti mereka sebagai pekerja.
Keadaan ini menimbulkan persoalan di minda kita. Adakah kita semakin jauh daripada memahami makna sebenar bekerja, atau sebenarnya kita sekadar terlalu sibuk untuk sempat memikirkannya?
Pada hakikatnya, ramai individu terus bekerja pada setiap hari bukan kerana semuanya mudah, tetapi kerana kerja telah menjadi satu keperluan yang sukar dielakkan dalam kehidupan. Dalam realiti semasa, pekerjaan bukan sekadar pilihan, sebaliknya menjadi asas untuk kelangsungan hidup. Komitmen seperti keluarga, perbelanjaan harian dan tanggungjawab sosial menjadikan kerja sesuatu yang mesti diteruskan walaupun berhadapan dengan tekanan dan keletihan.
Sebagai contoh, seorang pekerja mungkin bangun seawal pagi, meredah kesesakan jalan raya, dan menghabiskan sebahagian besar harinya di tempat kerja. Walaupun waktu kerja rasmi sekitar lapan jam sehari, tidak sedikit yang masih perlu menyiapkan tugasan tambahan atau berhadapan dengan kerja lebih masa. Keadaan ini menjadikan rutin harian terasa berpanjangan dan meletihkan.
Hal ini turut disokong oleh laporan kesihatan antarabangsa yang dikeluarkan oleh World Health Organization yang menyatakan bahawa tekanan di tempat kerja merupakan antara faktor utama masalah kesihatan mental global apabila ada pekerja yang dilanda kemurungan dan kebimbangan. Pada peringkat tempatan pula, kajian oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa sebahagian besar orang dewasa berisiko mengalami tekanan mental, dengan faktor kerja dan kewangan sebagai penyumbang utama.
Oleh itu, dalam konteks Hari Pekerja, keletihan yang dirasai oleh pekerja bukan sekadar simbol beban, tetapi juga mencerminkan daya tahan dan komitmen manusia dalam meneruskan kehidupan.
Di sebalik keletihan yang berulang, kerja sebenarnya boleh menjadi ruang untuk membina nilai diri, bukan sekadar memenuhi tuntutan hidup. Pekerjaan yang dilakukan dengan kesedaran dan tanggungjawab mampu membentuk disiplin, kesabaran dan rasa bermakna dalam diri seseorang. Dalam konteks kehidupan, kerja bukan hanya tentang hasil yang diterima pada hujung bulan, tetapi proses yang mendewasakan cara berfikir dan melihat dunia.
Perkara ini turut disokong oleh pandangan International Labour Organization (ILO) yang menekankan bahawa pekerjaan yang bermakna (decent work) bukan sahaja menjamin pendapatan, tetapi juga menyumbang kepada maruah, pembangunan diri dan kesejahteraan psikologi pekerja.
Misalnya, seorang pekerja yang setiap hari melakukan tugasan rutin seperti mengurus dokumen, melayan pelanggan, atau mengendalikan operasi harian mungkin merasakan kerja itu berulang. Namun, menurut dapatan berkaitan kesejahteraan kerja oleh ILO, rutin seperti ini secara tidak langsung membina kemahiran seperti ketekunan, pengurusan tekanan, dan tanggungjawab yang konsisten. Dari situ, ada pekerja yang mula melihat kerja bukan sekadar tugas, tetapi sebagai amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin walaupun tanpa pengiktirafan besar.
Justeru, apabila tiba Hari Pekerja, nilai kerja tidak seharusnya diukur pada keletihan semata-mata, tetapi pada sejauh mana pekerjaan itu membentuk manusia menjadi lebih berdaya tahan, berdisiplin dan bererti dalam kehidupannya.
Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa ada juga pekerjaan yang akhirnya kehilangan makna apabila dilakukan tanpa jiwa dan arah yang jelas. Apabila kerja hanya menjadi rutin yang diulang tanpa ruang untuk berkembang, seseorang mudah terperangkap dalam kitaran yang meletihkan secara fizikal dan emosi. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan motivasi, malah boleh menyebabkan individu berasa kosong walaupun segala keperluan asas telah dipenuhi.
Sebagai bukti, ada pekerja yang menerima gaji tetap pada setiap bulan, namun masih merasakan kekosongan dalam diri. Tugasan disiapkan sekadar cukup syarat, masa berlalu tanpa kepuasan, dan hari bekerja terasa seperti satu kewajipan yang tidak benar-benar difahami maknanya.
Dalam perspektif Islam, pekerjaan bukan sekadar sumber rezeki, tetapi juga satu amanah. Hal ini selari dengan konsep yang ditekankan dalam al-Quran bahawa manusia diciptakan untuk memakmurkan bumi dengan tanggungjawab dan usaha yang baik. Firman Allah yang bermaksud “Dan katakanlah: bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu…” (Surah At-Taubah: 105) menunjukkan bahawa kerja bukan sekadar rutin duniawi, tetapi mempunyai nilai di sisi Tuhan.
Pendek kata, sempena Hari Pekerja, persoalan tentang makna kerja menjadi semakin penting. Fenomena ini bukan sekadar untuk dinilai dari sudut ekonomi, tetapi untuk difikirkan semula agar kehidupan tidak terus berjalan tanpa arah dan tanpa kesedaran terhadap nilai sebenar pekerjaan.
Seterusnya, keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi turut memainkan peranan penting dalam memastikan seseorang tidak hilang arah dalam kerjaya mereka. Dalam dunia kerja moden, sempadan antara waktu kerja dengan waktu rehat semakin kabur, terutamanya apabila telefon pintar dan aplikasi mesej menjadikan urusan kerja boleh sampai bila-bila. Jika tidak dikawal, seseorang boleh berada dalam keadaan “sentiasa bekerja” walaupun secara fizikal sudah pulang ke rumah.
Dalam kehidupan seharian umpamanya, seorang pekerja pejabat mungkin sudah tamat waktu kerja pada pukul 5.00 petang, namun masih menerima mesej daripada kumpulan WhatsApp kerja pada pukul 9.00 malam. Ada dokumen yang perlu disemak segera, ada arahan yang perlu dijawab, dan kadang-kadang berlanjutan hingga ke hujung minggu. Walaupun berada dalam ruang bersama-sama keluarga, fikiran masih terikat dengan kerja yang belum selesai. Lama-kelamaan, keadaan ini boleh menyebabkan keletihan emosi, kurang fokus terhadap keluarga, dan rasa penat yang tidak benar-benar hilang walaupun sudah berehat.
Oleh hal yang demikian, sempena Hari Pekerja, amat penting untuk kita menyedari bahawa bekerja dengan tekun perlu seiring dengan kemampuan untuk berehat dan menetapkan sempadan yang sihat antara kerja dengan kehidupan peribadi agar tidak kehilangan kesejahteraan diri dalam jangka panjang.
Secara keseluruhannya, Hari Pekerja akan berlalu seperti hari-hari lain. Cuti berakhir, rutin kembali mengambil tempat, dan kehidupan bergerak seperti biasa tanpa banyak berubah.
Dalam kesibukan itu, barangkali ada baiknya kita mengingat satu pandangan daripada Confucius, iaitu pilihlah pekerjaan yang disukai, dan seseorang itu tidak akan merasa bekerja walau sehari dalam hidupnya. Ungkapan ini mungkin kedengaran ideal, tetapi sekurang-kurangnya mengingatkan kita bahawa kerja bukan sekadar beban, sebaliknya boleh menjadi ruang menemukan makna diri.
Dalam budaya kita pula, sering disebut bahawa “alah bisa tegal biasa” yang bermaksud sesuatu perkara yang sukar akan menjadi mudah apabila dibiasakan. Namun, kebiasaan tanpa kesedaran boleh menjadikan hidup sekadar berulang tanpa arah.
Sesungguhnya, Hari Pekerja bukan sekadar untuk berehat, tetapi untuk bertanya kepada diri, iaitu masihkah ada makna dalam setiap langkah yang diambil atau kita sekadar berjalan kerana sudah terlalu biasa untuk berhenti?