Diterbitkan pada 9 Mei 2026, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seberang Takir – Tujuh dekad perjalanan sesebuah institusi bukanlah suatu tempoh yang singkat. Tempoh itu merupakan rentang masa yang menyaksikan keteguhan perjuangan, kesungguhan dan pengorbanan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang tidak pernah lelah memartabatkan bahasa kebangsaan, serta memperkasakan khazanah sastera bangsa.

Demikian ucapan yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan ketika merasmikan Karnival Kembara MADANI dan Lestari Bahasa yang diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka Ke-70 Peringkat Zon Timur, di Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir, pada hari ini.

Tambah beliau,

DBP telah memainkan peranan yang amat penting sebagai institusi yang memelihara, mengembangkan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, serta bahasa ilmu di negara ini.

“DBP tidak bersendirian dan turut berterima kasih kepada penulis di seluruh tanah air kerana menghantar karya mereka kepada majalah, jurnal dan buku terbitan DBP. Selain itu, terima kasih diucapkan kepada ilustrator, pelukis, editor dan persatuan penulis kerana sentiasa memberikan komitmen yang tinggi terhadap program yang dianjurkan oleh DBP,” ulas YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan turut menghargai pelibatan penulis yang komited menghasilkan karya dengan DBP.

Beliau berkata, DBP bukan sahaja berjaya menerbitkan ribuan judul buku yang memperkaya khazanah ilmu masyarakat, malah turut melahirkan generasi penulis, penyair dan sarjana yang berwibawa, serta berperanan besar dalam memartabatkan kesusasteraan Melayu.

“Ketika saya bertugas di DBP dahulu, iaitu ketika saya sedang menyiapkan korpus biografi pengarang, saya telah mewawancara pengarang veteran untuk diterbitkan dalam buku Wajah,” kongsi beliau ketika memulakan kerjaya sebagai Pegawai Penyelidikan di DBP.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan pada majlis tersebut, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa menjelaskan bahawa pemilihan Seberang Takir, Kuala Terengganu sebagai lokasi Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 bukanlah kebetulan, tetapi amat bermakna kerana di sinilah lahirnya dua tokoh sastera besar negara, iaitu Allahyarham J.M. Aziz dan T. Alias Taib yang banyak menyumbang kepada pengayaan bahasa dan kesusasteraan Melayu.

YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Perasmian Karnival Kembara MADANI dan Lestari Bahasa.

Seberang Takir yang merupakan sebuah desa yang sederhana mampu menjadi simbol kelahiran tokoh sastera yang mengangkat martabat bahasa, sekali gus menyuntik inspirasi kepada generasi muda agar menjadi pewaris dan penerus perjuangan memartabatkan bahasa Melayu.

Ujar beliau,

Penganjuran Karnival Kembara MADANI dan Lestari Bahasa turut mencerminkan komitmen DBP untuk mendekatkan bahasa dan sastera kepada masyarakat secara lebih menyeluruh.

Pelbagai pengisian menarik telah dirancang sepanjang Karnival Kembara MADANI dan Lestari Bahasa, antaranya termasuklah Ekspresi Seni Remaja bagi Mengenang T. Alias Taib, Pementasan Teater Puisi “Penyu Menangis Siapalah Tahu” mengenang J.M. Aziz, Pantun Ria bersama TERENGGANUfm, Remaja Santun, Ekspresi Muzik Jalanan, Pertandingan Mewarna Batik, Sukaneka Bahasa, Eksplorasi Bahasa, serta pelbagai pameran, jualan buku dan produk di reruai.

Pada majlis yang sama, turut diadakan serahan cek cura kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut, Kelantan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Abdul Rahman Limbong, Terengganu.

Pemberian cek cura kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Abdul Rahman Limbong yang merupakan Sekolah Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pemberian cek cura kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut yang merupakan Sekolah Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Lembaga Pengelola DBP, iaitu YBhg. Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin, YBrs. Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy dan YBrs. Profesor Dr. Ramalinggam a/l A. Rajamanickam; Pengarah DBP Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail; Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, YBrs. Encik Mohd Zulkafli Jusoh; pegawai DBP dan pelajar yang turut serta dalam majlis tersebut.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi