Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur– Industri penerbitan buku negara perlu berani tampil sebagai hab ilmu dan pemikiran serantau sekiranya Malaysia mahu terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab pendidikan tinggi pada peringkat antarabangsa.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir menegaskan bahawa negara tidak seharusnya sekadar menjadi pengguna ilmu dari luar, sebaliknya perlu bertindak sebagai pengeluar dan penyebar pemikiran anak bangsa ke persada dunia.
Teks ucapan perasmian beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBrs. Encik Ahmad Rizal Adnan bersempena dengan Majlis Pelancaran Buku Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, hari ini.

Majlis yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu turut dihadiri oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari dan tetamu khas, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan yang juga merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.
Menurut YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry, pelancaran buku pada tahun ini amat signifikan kerana menandakan permulaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, yang menjadi kerangka utama transformasi pendidikan tinggi negara bagi tempoh sedekad akan datang.
“RPTM 2026–2035 memberikan penekanan kepada tiga agenda besar, iaitu penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi, penyepaduan teknologi dengan nilai dan etika kemanusiaan serta pembentukan institusi pendidikan tinggi yang tangkas, responsif dan berorientasikan masa hadapan,” katanya.
Beliau menambah bahawa agenda besar berkenaan tidak akan mampu berkembang secara bermakna tanpa budaya penulisan, pendokumentasian dan penerbitan yang kukuh kerana buku merupakan jambatan utama yang menghubungkan ilmu dengan keperluan masyarakat.
Dalam kerangka RPTM tersebut, usaha penerbitan buku dikesan berkaitan rapat dengan dua lonjakan utama, iaitu Lonjakan Keempat: Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersialan Berimpak, serta Lonjakan Kesembilan: Nilai, Etika dan Kepemimpinan.
Buku baharu terbitan DBP yang dilancarkan merangkumi tiga bidang utama yang saling melengkapi dalam aspek pembangunan insan dan negara, iaitu agama sebagai tunjang nilai, akhlak, dan adab bangsa; sains dan teknologi sebagai enjin kemajuan, inovasi dan daya saing negara; serta sains sosial dan kemasyarakatan sebagai asas memahami manusia, komuniti dan perubahan masyarakat.

Melalui pembahagian ini, KPT berhasrat untuk melahirkan graduan dan masyarakat yang bukan sahaja menguasai aspek teknologi, tetapi juga sarat dengan nilai, hikmah, akhlak dan keprihatinan sosial.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa PBAKL merupakan ruang strategik bagi DBP untuk membawa hasil kerja penulis, penyelidik dan cendekiawan keluar dari ruang akademik untuk dimanfaatkan oleh masyarakat umum.
“DBP bertanggungjawab membina, menerbitkan dan menyebarluaskan karya berkualiti serta menterjemahkan hasil penyelidikan kepada bahan bacaan yang mudah diakses,” jelas beliau.

Beliau turut menyatakan komitmen DBP yang sentiasa bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan sektor swasta bagi memindahkan ilmu dari makmal serta penulisan akademik kepada buku rujukan, buku teks dan bahan bacaan umum yang berpotensi untuk dikomersialkan.
Mengakhiri majlis, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry menyeru semua pihak agar terus memberikan sokongan padu kepada penulis tempatan demi menyuburkan ekosistem penerbitan negara, memandangkan setiap naskhah yang diterbitkan merupakan satu bentuk pelaburan berharga terhadap modal insan dan masa hadapan Malaysia.