Diterbitkan pada 16 Jun 2026, 20:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Landskap pendidikan global kini sedang menempuh satu transisi yang paling kritikal dalam sejarah moden. Kehadiran Generasi Z (Gen Z), iaitu kohort demografi yang lahir antara tahun 1997 hingga 2012 (menurut takrifan rasmi Pusat Penyelidikan Pew – Pew Research Center), menuntut satu anjakan paradigma yang tuntas dalam falsafah serta seni mengajar (pedagogi).

Mereka merupakan generasi digital (digital natives) yang sebenar; iaitu membesar di tengah-tengah kebangkitan Web 2.0, media sosial, dan kini kecerdasan buatan (AI). Kepantasan maklumat di hujung jari telah membentuk corak neurobiologi mereka secara berbeza. Rentetan itu, kaedah kuliah tradisional yang bersifat sehala dan kaku kini dilihat semakin kurang relevan, malah terbukti tidak lagi sesuai untuk merangsang intelek generasi yang terbiasa dengan paparan visual yang pantas ini. Persoalannya, sejauh manakah institusi pendidikan di negara ini, khususnya barisan pendidik, bersedia untuk memacu perubahan ini bagi mengelakkan krisis keciciran tumpuan di dalam kelas?

Dilema Kuliah Tradisional dan Fenomena Beban Kognitif

Bayangkan semasa berada di dalam dewan kuliah, seorang pensyarah berdiri di hadapan selama satu atau dua jam sambil membacakan teks daripada slaid yang padat dengan tulisan, manakala ratusan pelajar duduk mendengar secara pasif. Realitinya, pendekatan ini selalunya berakhir dengan kadar pengekalan ingatan yang minimum, iaitu sekitar 20 peratus sahaja. Bagi Gen Z, persekitaran pembelajaran sebegini bukan sahaja membosankan, malah turut mencetuskan keadaan yang diklasifikasikan oleh pakar psikologi pendidikan sebagai fenomena “beban kognitif berlebihan” (cognitive overload).

Kajian neurosains menunjukkan bahawa tanpa interaksi, stimulasi visual, dan dinamik dua hala, minda manusia akan mula mengalami kelesuan dan mula menerawang selepas 10 hingga 15 minit pertama. Apatah lagi bagi generasi yang terbiasa menapis lambakan maklumat pada setiap saat menerusi aplikasi seperti TikTok dan Instagram. Jika aspek pendidikan tidak mampu menyaingi corak penyampaian ini dari segi kecekapan penyampaian mesej, sistem pendidikan berisiko melahirkan graduan yang wujud secara fizikal di dalam kelas, tetapi mindanya tidak hadir sama sekali.

Prinsip Pedagogi Inovatif: Daripada Pengajar kepada Pemudah Cara

Pedagogi inovatif tidak semestinya menuntut penggunaan peranti tercanggih di dalam kelas, sebaliknya merangkumi transformasi pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar (student-centered learning). Konsep pendidik sebagai “penyampai ilmu mutlak” perlu diubah kepada “pemudah cara pembelajaran” (fasilitator). Terdapat empat tunjang utama yang mendasari revolusi pedagogi ini:

  1. Interaktif: Menukar status pelajar daripada sekadar penerima yang menyerap maklumat secara pasif kepada rakan kolaborasi yang menyumbang idea secara aktif.
  2. Visual Dinamik: Mengurangkan kebergantungan pada teks yang meleret-leret dan menggantikannya dengan peta minda, infografik, serta elemen visual yang merangsang daya analitis.
  3. Kitaran Pembelajaran Pendek: Memecahkan silibus yang padat kepada unit-unit kecil yang lebih mudah dihadamkan dan diproses oleh otak (chunking).
  4. Tugasan Autentik: Mengaitkan teori akademik yang abstrak dengan aplikasi dan cabaran sebenar dalam masyarakat mahupun industri.

Strategi Serampang Dua Mata Menuju Transformasi

Dalam mendepani cabaran dalam usaha menembusi minda Gen Z, para pendidik dicadangkan supaya mengintegrasikan lima strategi ampuh yang berikut dalam reka bentuk pengajaran mereka:

Pembelajaran Aktif yang Terarah

Teknik seperti Fikir-berpasangan-Kongsi (Think-Pair-Share) atau Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) memberikan autonomi kepada pelajar. Mereka diberikan ruang untuk memproses maklumat secara individu, berbahas secara intelek dengan rakan, dan mempertahankannya di hadapan kelas. Proses ini mencetuskan pemikiran kritis dan membina kemahiran komunikasi, iaitu dua elemen kemahiran insaniah yang paling kritikal, namun sering diperkatakan masih lemah dalam kalangan graduan di pasaran kerja.

Pendekatan Pembelajaran Mikro (Microlearning)

Maklumat perlulah dibahagikan dan disampaikan dalam bentuk kuliah kepada modul berdurasi lima hingga 10 minit. Pada setiap akhir modul ringkas ini, diselitkan aktiviti semakan kefahaman seperti kuiz pantas atau refleksi satu minit. Kaedah ini bukan sahaja menepati kapasiti tumpuan Gen Z, malah membenarkan otak memproses memori jangka pendek menjadi memori jangka panjang dengan lebih berkesan.

Sinergi Kerangka TPACK

Kerangka Pengetahuan Pedagogi Kandungan Teknologi (TPACK) mengingatkan pendidik bahawa teknologi hanyalah wahana, bukan matlamat akhir. Pendidik perlu bijak mengadunkan kepakaran subjek (kandugnan), seni mendidik (pedagogi), dan alatan digital (teknologi). Penggunaan perisian awan seperti Padlet, Kahoot!, atau simulasi realiti maya (VR) tidak wajar digunakan sekadar untuk berseronok, sebaliknya dijadikan instrumen untuk menggambarkan konsep sains atau kejuruteraan yang kompleks agar menjadi lebih konkrit.

Penerapan Konteks Dunia Sebenar

Gen Z ialah generasi pragmatik yang sering bertanya, “Mengapakah saya perlu belajar perkara ini?”. Pembelajaran Berasaskan Kes (Case-based learning) memberikan jawapan kepada persoalan ini. Dengan menugaskan mereka untuk menyelesaikan masalah sebenar. Sebagai contoh, mereka bentuk peranti pintar untuk pesakit warga emas atau merangka kempen kesedaran alam sekitar berskala tempatan. Pelajar tidak lagi menghafal semata-mata untuk peperiksaan. Mereka melihat nilai praktikal ilmu tersebut, lantas membina kemahiran inovasi yang kalis masa hadapan (future-proof skills).

Pemerkasaan Melalui Gamifikasi

Pendekatan gamifikasi membawa mekanik permainan (seperti sistem mata, penganugerahan lencana pencapaian, dan papan pendahulu) ke dalam persekitaran bukan permainan seperti bilik darjah. Elemen ini mencetuskan pelepasan dopamin di dalam otak yang mengukuhkan tingkah laku positif. Pembelajaran berubah menjadi satu “misi cabaran” yang merangsang persaingan yang sihat dan memupuk motivasi intrinsik pelajar untuk terus mencuba walaupun pernah gagal dalam percubaan pertama.

Cabaran dan Rintangan Pelaksanaan

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh bersikap naif terhadap realiti di lapangan. Peralihan kepada pedagogi inovatif ini berhadapan dengan pelbagai halangan. Kekangan masa untuk menghabiskan silibus yang padat, kelemahan infrastruktur digital di kawasan luar bandar, serta rintangan psikologi dalam kalangan segelintir pendidik yang selesa di takuk lama merupakan antara cabaran besar. Oleh sebab itu, sokongan institusi dalam bentuk pengurangan beban pentadbiran guru dan pensyarah, penyediaan geran inovasi pengajaran, serta program latihan berterusan merupakan prasyarat untuk menjayakan revolusi ini.

Menjelang tahun-tahun mendatang yang menjanjikan lebih banyak ketidaktentuan akibat revolusi teknologi, peranan pendidikan menjadi lebih mendesak berbanding dengan sebelumnya. Aspirasi pelan pembangunan pendidikan sebelum ini untuk melahirkan modal insan kelas pertama mustahil dapat direalisasikan jika kita masih terbelenggu dengan kaedah pengajaran gaya abad ke-19 yang hanya melahirkan “robot penghafal”.

Kita perlu sedar bahawa tugas pendidik pada era ini bukan lagi sebagai penyampai maklumat semata-mata, sebaliknya sebagai “arkitek pengalaman pembelajaran”. Sudah tiba masanya sistem penyampaian guru bertransformasi daripada sekadar mengajar fakta, kepada wahana yang mendidik jiwa, merangsang daya cipta, dan membentuk pemikiran Gen Z agar mereka bersedia menjadi pelajar yang cekap dalam mengharungi lautan masa hadapan yang penuh dengan cabaran pembelajaran.

Prof Madya Dr. Alias Bin Masek, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi